Semalam pada 24/11/2013 aku dan keluarga telah menghantar adikku melanjutkan pengajiannya ke peringkat diploma di Politeknik Merlimau, Melaka. Terpancar kegembiraan di raut wajah adikku kerana berjaya mendapat tempat melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan ibu dan ayahku terukir senyuman bangga dan dalam masa yang sama turut bersedih kerna terpaksa berjauhan dengan adikku. Kini tinggallah adik bongsuku menemani kedua ibu dan ayahku di rumah kerna masih lagi di bangku sekolah menengah. Ya, apalah sangat dengan diploma,mungkin itulah kata sesetengah orang dan apalah sangat dengan kejayaan melanjutkan pengajian ke politeknik sedangkan ramai lagi anak bangsa yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang profesional seperti doktor ,akauntan,undang-undang dan sebagainya. Aku akur dengan pandangan skeptikal masyarakat khususnya bangsaku, dan aku juga mengerti pandangan sesetengah pihak yang pesimis terhadap "kejayaan" adikku mendapat tempat di politeknik yang pada anggapan mereka sebagai pusat pengajian kelas kedua berbanding UIA,USM,UiTM dan semcam lagi U!. Sedangkan siswazah yang mempunyai ijazah pun terkial-kial mencari arah hidup inikan pula taraf pelajar diploma di politeknik yang mengambil jurusan pengajian perniagaan. Nanti dulu! sebelum lancar lidah menuturkan kata, dan sebelum penaku lincah menari menjawab persoalan itu, inginku bertanya kepada diriku dan juga bangsaku, Melayu, adakah nilai ilmu hanya diukur semata-mata kerna nama gah universiti? adakah anda yakin graduan dari universiti tersohor akan terus berjaya tanpa perlu menganggur? adakah keilmuan yang diperoleh dari politeknik, IKBN, Kolej komuniti serta IPTS yang berlambak di negara kita adalah ilmu kelas kedua?pastikah anda hanya graduan yang memperolehi kelulusan dari universiti tersohor sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan negara?Aku tinggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh anda dengan menggunakan akal,budi dan nilai keintelektualan yang adil tanpa didasari persepsi klise bangsa Melayu.
Keilmuan dan keintelektualan tidak akan berkualiti dan berguna sekiranya si pembawa atau individu itu tidak membangunkan potensi dan menjadikan ilmu itu sebagai budaya. Melalui pemerhatian aku, aku dapati majoriti siswa di negara ini menyambung pengajian hanya untuk lulus peperiksaan dan mendapatkan sekeping kertas tanda pengakuan kelulusan. Selepas itu, segala ilmu yang ditimba akan luput seperti mana luputnya embun di hujung rumput setelah mentari memancarkan sinarnya. Bagiku, walau di mana sahaja kita ditempatkan untuk belajar, ia bukan persoalan pokok yang menyesakkan kepala, tetapi yang lebih penting adalah keazaman, keikhlasan, kegigihan serta tidak ketinggalan keinginan yang meluap menimba ilmu dan bukan semata-mata hanya mendapatkan segulung diploma atau ijazah. Barang diingat, gelar sarjana bukanlah kayu pengukur sebenar tahap keintelektualan kita, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari di luar bilik kuliah. Untuk adikku dan juga mereka yang menyambung pengajian ke institusi selain Universiti, ia bukan bermakna anda adalah calon terbuang, bukan juga menunjukkan anda lebih rendah tahap pemikiran berbanding teman-teman yang berjaya ke universiti. Ia adalah petunjuk dan bukti yang jelas anda diperlukan untuk mengisi kekosongan yang lain yang tidak mampu diisi oleh teman-teman anda yang lain.
Mungkin sesetengah dari anda akan merasa rendah diri apabila cuti semester datang bertandang. Kerana sesetengah rakan-rakan anda pabila pulang menceritakan kehebatan universiti-universiti mereka yang sememangnya tersohor di negara ini.Lebih-lebih lagi apabila dua atau lebih rakan-rakan anda berada di universiti yang sama manakala hanya anda sahaja yang belajar di politeknik,IKBN,Kolej Komuniti dan tidak ketinggalan tingkatan enam.Ia ditambah lagi dengan riak kebanggaan keluarga teman-teman anda yang sinis melihat anda hanya belajar di politeknik,IKBN,Kolej Komuniti dan juga tingkatan enam.Biarkan, kerana mereka yang jumud tidak pernah mengerti apa itu ilmu dan padagogi keilmuan. Jangan khuatir kerna aku juga pernah merasai pengalaman sebegitu. Hanya aku seorang sahaja melanjutkan pengajian ke tingkatan enam manakala majoriti teman-temanku pula menyambung pengajian ke peringkat diploma di UiTM. Ya sememangnya aku berasa amat rendah diri, dan malu tetapi telah aku tanamkan tekad bahawa aku mempunyai sesuatu yang tidak ada pada diri teman-temanku iaitu kepayahan bermula dari bawah.Ingin juga aku buktikan lulusan STPM mampu menguak pintu sarjana muda dengan pencapaian yang membanggakan dan aku mampu melakukannya. Jika aku boleh tidak ada sebab mengapa adik-adikku tidak boleh!
Untuk menjadi pemuda dan pemudi yang berjaya,tidak semestinya anda harus bergraduasi dari universiti tersohor, tetapi buktikan melalui pencapaian akademik anda . Tidak guna sekiranya belajar di UIA tetapi hanya mampu mencapai PNGK 2.5 berbanding anda yang belajar di politeknik mampu mencapai PNGK 3.5!Buktikan anda boleh, ubah dan tukar corak pemikiran mereka yang kolot itu dengan pencapaian dan ilmu anda, bisukan mulut mereka dengan kejayaan anda.Destinasi anda,anda yang tentukan.Salam sayang dari aku sebagai seorang abang untuk adik-adikku yang baru memulakan ekspedisi penggalian ilmu di gedung ilmu!
-MHB-
-MHB-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan