Sebagai anak marhaen, aku melihat
semakin banyak kecelaruan yang terpampang di depan mataku, segalanya kerna
dunia kian songsang , dayus dan semakin keparat oleh mereka yang berkuasa. Aku
sedar, ramai lagi marhaen yang berkubang penderitaan untuk melangsungkan
kesinambungan kehidupan yang dipinjamkan oleh
Yang Maha Esa yang entah sampai bila. Tetapi sekurang-kurangnya terdetik
di hati mereka kiranya dapatlah meneguk sedikit nikmat kesenangan hidup di
dunia. Aku kerap terfikir ketika di usia remajaku, mengapa aku tidak dilahirkan
sebagai anak raja atau anak bangsawan, yang hidupnya tidak pernah melalui
penderitaan dan kesengsaraan? Mengapa aku dilahirkan sebagai anak marhaen yang
hidupnya sentiasa dicatur dan ditindas oleh orang atasan? Sampai bila harus kehidupan
aku dibuli dan ditekan? Bagaimanakah legasi yang akan aku tinggalkan pabila aku
pulang kepada Sang Pencipta kelak? Ahhh, persoalan ini seakan membenakkanku
untuk terus berfikir...Persoalan ini semakin mengasak sehingga aku termengah
bernafas. Ya, mungkin aku ditakdirkan untuk hidup dalam dunia yang anarki ini,
Mungkin juga telah tertulis ranjau kehidupanku tidak semudah mereka yang lain.
Sekiranya begitu, takdir sebenarnya telah mendidik aku menjadi seorang anak
muda yang memiliki sosok yang cekal dan tabah. Aku seharusnya berbangga kerna
mereka yang lain tidak merasai pengalaman berharga yang kukutip dalam
penghidupan yang singkat ini..Aku seharusnya berbangga dengan kedua orang tuaku
kerna dari benih keturunan mereka aku lahir dalam penghidupan marhaen agar aku
lebih kenal ketabahan, arti cinta yang lebih mendalam kepada maha pencipta,
juga agar aku tidak hanyut dibuai gelodak nafsu nafsi sekiranya lahirnya aku
sebagai anak bangsawan!
Usiaku kini menginjak ke frasa
penghidupan terpenting. Terpenting bagiku kerna di usia sebegini harusku usaha
seolah-olah tiada lagi kehidupan yang bakal kuhirup pada hari esok. Agar apa
yang kugali dan ku cungkil bisa menjadi bekalan kepada pewaris keturunanku,
semoganya! Aku pasrah kiranya takdir Tuhan telah menetapkan sekian rezekiku,
tetapi aku tidak tegar mengalah kiranya ada sinar yang bisa ku jala tetapi
dibiarkan sahaja ia berlalu! Mungkin berkat didikan orang tuaku, mungkin juga
kerna kehidupan sebagai anak marhaen telah mendidikku sedikit sebanyak agar
pantang menyerah! Lumrah hidup marhaen, ditindas dan tertindas. Lumrah juga
bagi marhaen retorik si penguasa menjadi santapan halwa telinga. Aku juga
yakin, mereka yang sama denganku mampu membezakan antara keikhlasan dan juga
retorik! Kerna itu, tidak hairan mengapa acapkali kulihat sang pendemonstran
sanggup berasak, berpekikan bagaikan disampuk serta bersolidariti mengancam
sang penguasa walaupun adakala mereka sendiri tidak tahu arti sebuah perjuangan
yang sebenarnya.Aku juga seperti mereka, adakalanya perasaan membara kepanasan
kerna persundalan dan perselingkuhan yang telah dilakukan si penguasa pabila
memegang kuasa. Berselindung di sebalik retorik yang membuai tidak mampu
mententeramkan hati mereka yang berasakan diri ditindas. Tetapi itu tidak
pernah menghambat jiwa mudaku agar turut membuntuti cara sebegitu. Bagiku,
perubahan totok yang dituntut itu seharusnya dimulakan dengan merobah
skeptikal, idealisme, personaliti yang berasaskan ilmu bagi mereka yang
berdemonstrasi. Ahhhh, bukan itu yang
menjadi pokok catitanku ini, tetapi apa yang inginku laksanakan dalam
penghidupan yang semakin mencemburuiku!! Persetankan sahaja apa yang mahu
mereka lakukan, kerna di dalam dunia ini bukan semua manusia diberikan sikap
yang sama.
Adakalanya aku terfikir, apa yang ingin
kukejar di dalam penghidupan ini? Terdetik juga untuk aku mendaki ke puncak
kuasa agar segalanya dapat aku kawal dengan mutlak. Juga agar dapat ku raih
kuasa semoga tiada siapa lagi yang bisa memijak dan membangsatiku seperti mana
kini. Mungkin aku mampu menjadi sebegitu tetapi adakah aku juga cukup hebat
pabila di hari pengadilan nanti yang mana si penguasa adalah golongan pertama
bakal di adili oleh yang Maha Kuasa??Aku sendiri khuatir terhadap kemampuan diriku
berdepan sepak terajang dan godaan pabila di puncak kuasa....Mungkin seharusnya
biarkan saja aku menjadi seorang pendidik dan aktivis. Menggali ilmu
semahu-mahunya dan kemudian mendidik anak-anak bangsa yang dahagakan ilmu agar
mereka tidak kecundang di hari muka. Mungkin dengan apa yang ku pelajari dan ku
hadapi hari ini mampu menjadi azimat pada anak-anak didikku, siapa tahu? Atau
mungkin juga bisa ku tebarkan ideaku agar ia sebati di setiap pelosok kota dan
desa walaupun tidak sehebat Hamka, sekurang-kurangya setitis dari kehebatannya
cukup sudah bagiku. Mungkin juga itulah yang cocok buat diriku, menghambakan
diri menjadi pendidik dan seorang aktivis! Aku sedar, bukan mudah menjadi
seorang Syed Husin Ali, seorang ilmuan dan aktivis yang pernah terpenjara kerna
idealisma yang dibawakannya, sukar juga menjadi seperti mana Pramoedya Ananta
Toer yang terpenjara di kamar besi lebih dua dekad hanya kerna kegusaran
pemerintah terhadap ketajaman mata penanya, serta amat sukar menjadi seorang
Nelson Mandela yang sebelum ditabalkan ke puncak kuasa meringkuk lebih dua
dekad di dalam tirai besi kerana radikalnya dia dalam memperjuangkan keadilan! Mungkinkah
aku akan meraung seperti keanak-anakan sekiranya perkara sebegitu terjadi ke
atasku? Aduh, payah dan sukar menjadi seperti mereka, tetapi apa yang dapat
kita lihat kini? Nah, sekalipun Prem telah tiada dan Mandela baru sahaja
dicabut nyawa, tetapi idea, ilmu serta semangat perjuangan mereka akan tetap
hidup mungkin buat selamanya. Prem juga pernah menukilkan, betapa menulis itu
adalah bekerja untuk keabadian, makanya tepat apa yang dinukilkan olehnya itu.
Menulis atau memberi ilmu adalah jasa yang tidak mampu dipadam sekalipun oleh
sejarah! Tuntas di sini, aku ingin menjadi seperti mereka, kalaupun bukan harta
yang akan ku tinggalkan untuk legasiku, semoganya ilmu dan penulisanku akan
terus menemani mereka. Kalaulah persoalan takut menjadi seorang aktivis itu
menjadi alasan bagiku serta sekalian hamba marhaen, maka menjadi tragedi dalam
peradaban manusia kerna berakhir sudah kelahiran pemuda yang kuat jati diri dan
semangatnya!
Ayuh teman, ayuh sekalian hamba
marhaen sepertiku, cukuplah kita menjadi keldai tunggangan politikus-politikus
oportunis walau apa jua parti mereka. Kerna
pernah guruku bertitah politikus itu adalah raksasa yang rakus! Rakus membaham
dan memanipulasikanmu sekiranya kamu tidak cukup akal! Cukup juga menjadi abdi
kepada aristokrat dan kapitalis jalang yang menghirup kejam darah sang proletariat.
Sebarkan ideamu dengan kekuatan ilmumu nescaya namamu akan kekal terpahat dalam
lipatan sejarah.
-MHB-
saya nampak tulisan ini sebenarnya sarkastik...penulis membahasakan "aku" merujuk dirinya dan juga masyarakat khasnya org muda.....penulis ingin sampaiakan majoriti politician xblh dpercayai seratus peratus.....org yg benak akan menganggap tulisan ini seperti menghentam pemerintah,ya mungkin...tetapi dalam masa yang sama menghentam macai-macai dan pembangkang yang memanipulasikan kebengapan penyokong2 dia...
BalasPadam