Rabu, 13 November 2013

Bolasepak Johor : Sebuah Perspektif

Bolasepak negeri Johor pernah melewati zaman kegemilangannya sebagai sebuah kuasa besar bolasepak negara pada akhir 80an dan awal 80 an yang mana kemuncaknya Johor menjuarai Piala Malaysia pada 1986 dan 1991, yang boleh diibaratkan sebagai piala keagungan bolasepak Malaysia. Tetapi selepas itu, Johor mulai hilang secara beransur-ansur dari peta kegemilangan bolasepak Malaysia dan ia diburukkan lagi dengan skandal rasuah yang melanda arena bolasepak negara. Kemalapan pasukan negeri dan kelab Johor berlarutan hingga ke tahun 2013 yang mana secara tiba-tiba ramai yang memperkatakan sebuah kelab yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC kini melalui penjenamaan semula sebagai Johor Darul Takzim FC (JDT) . 

Seluruh negeri Johor khasnya dan negara amnya mulai memperkatakan berkenaan pasukan ini sama ada dalam nada positif mahupun negatif dan sebagai anak jati negeri Johor juga aku tidak terkecuali terkena tempias ini. Kini di mana sahaja aku pergi pasti terlihat sosok mereka tidak kira tua atau muda waima pakcik yang berumur 60 tahun serta anak kecil yang masih bayi mengenakan jersi pasukan JDT. Ia suatu fenomena yang tidak pernah aku lihat sebelum ini, malahan tidak pernah terlintas di fikiran aku. Ketika aku masih di alam pengajian, pasukan Johor adalah sebuah pasukan belasahan dan pada waktu itu juga pasukan seperti Kedah dan Kelantan adalah kuasa besar bolasepak negara. Oleh kerana pada ketika itu aku mempunyai ramai rakan-rakan dari Kelantan, ketika aksi final yang melibatkan Kelantan,aku diheret oleh teman-temanku agar menyokong Kelantan.Sungguh sadis keadaan aku ketika itu, dan agak kejam perlakuan rakan-rakanku membuli seseorang rakan berasal dari negeri yang mempunyai pasukan bolasepak negeri tang tidak segagah pasukan mereka! Mahu tidak mahu, aku juga ikut bersorak apabila pasukan Kelantan menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Walaupun sorakkanku tertumpu untuk meraikan kemenangan pasukan Kelantan, tetapi dalam benakku aku sempat berimaginasi bahawa alangkah indahnya jika pasukan yang menjaringkan gol dan menjulang piala itu adalah pasukan JOHOR! Penulisan aku ini adalah dari perspektif peribadi aku sebagai peminat kecil bolasepak negara dan Johor.Aku bukan seorang pakar atau penganalisis sukan tetapi aku berpegang dengan perlembagaan persekutuan yang mengizinkan kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang,dan menyentuh sensitiviti orang lain. (Sekiranya ada, aku memohon sepuluh jari tanda kemaafan) Perkembangan pasukan JDT ini bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) mula mengambil alih jawatan sebagai Presiden PBNJ dan beliau melakukan transformasi besar-besaran dengan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain ternama negara dan pemain-pemain import yang mempunyai nama yang agak besar. Aku melihat kebanyakkan penyokong-penyokong negeri lain ada yang kurang senang dengan dasar ini kerana bagi mereka pasukan JDT sebuah pasukan yang rakus berbelanja besar dan "merembat" pemain-pemain tonggak negeri masing-masing, dan jika dilihat dengan mata kasar sememangnya benar dan mungkin juga faktor ini menyumbang kepada kebencian mereka terhadap JDT. Rata-rata pula pemain yang menyarung jersi JDT bukan berasal dari negeri Johor, dan ia menguatkan lagi dakwaan mereka pasukan JDT menggunakan wang untuk membeli bakat pemain. Sebagai peminat bolasepak negeri Johor aku agak kurang setuju PBNJ membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli pemain-pemain ternama. Ya, aku mengakui betapa nama-nama besar harus ada dalam memperkuatkan pasukan tetapi janganlah majoriti pemain di dalam pasukan bertaraf " superstar"..Pelbagai faktor negatif boleh memberikan kesan terhadap pasukan dan pemain antaranya ialah ia secara tidak langsung membunuh karier pemain kerana apabila persaingan sengit berlaku antara pemain untuk mendapatkan tempat kesebelasan utama, sudah tentu akan ada yang tersingkir, natijahnya apabila pemain yang dalam ketogori "A" ini kerap tidak bermain, ia juga memberi kesan terhadap mutu permainan mereka. Fakta kes : Safee Sali. Selain itu, menurut pemerhatianku kebanyakkan pasukan yang dibanjiri pemain bintang sukar memperagakan aksi berpasukan dalam erti kata sebenarnya.Kebanyakkan dari mereka lebih senang bermain secara individu sekalipun bolasepak adalah sukan berpasukan. Ia juga menjadikan yuran perpindahan para pemain beserta gaji mereka melambung dengan begitu tinggi. Mungkin faktor ini tidak memberi apa-apa masalah kepada pasukan kaya atau pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh tetapi bagaimana pula pasukan negeri yang keadaan kewangan mereka goyah? Sebagai contoh pasukan Perlis, pada suatu ketika dahulu antara pasukan yang menjadi pencabar terkuat dan salah sebuah kuasa besar bolasepak negara pada tahun awal 2000, kini tidak mampu lagi membayar gaji pemain mereka, dan dengar kata pasukan Perlis tidak bermain di dalam liga Malaysia dalam waktu terdekat ini. Pasukan seperti Kelantan ( agak boleh tahan kaya) juga menurut berita baru-baru ini terpaksa melepaskan beberapa pemain tonggak kerana tidak mampu memberi gaji seperti yang dituntut oleh beberapa pemainnya.(sesetengah pemain2 tersebut berpindah ke JDT) cuma sebagai pemerhati, aku amat memuji kepada sesetengah pemain Kelantan sekalipun ditawarkan gaji yang sangat lumayan oleh pasukan lain, tetapi masih memilih untuk berkhidmat bersama pasukan Kelantan , fakta kes : Badhri Radzi (Piya). Sejujurnya, aku melihat disebalik kejayaan pasukan Kelantan muncul sebagai kuasa besar bolasepak Tanah Air, adalah kerana semangat, jati diri, serta keinginan yang kuat untuk mengangkat negeri mereka sebagai juara. 

Johor juga mampu menjadi seperti itu dan In Shaa Allah mungkin lebih lagi tetapi bukan dengan terus menerus membeli dan melaburkan jutaan ringgit kepada pemain tetapi membina akademik bolasepak negeri diseluruh pelosok negeri Johor. Seperti mana yang aku lihat, kemasukkan Pablo Aimar ke dalam skuad Johor bukan semata-mata sebagai pemain tetapi untuk pembangunan bolasepak Johor dalam jangka masa yang panjang dengan mencari dan membangunkan bakat-bakat muda anak jati negeri Johor melalui akademik bolasepak negeri. Tetapi apa yang aku harapkan, dibina akademik secara meyeluruh di kesemua 10 daerah dalam Johor tanpa hanya memusatkan pembangunan bakat semata-mata di Johor Bahru. Johor tidak hanya mempunyai Johor Bahru sahaja tetapi juga mengandungi Mersing,Kota Tinggi,Kulaijaya,Kluang,Segamat,Ledang,Muar,Batu Pahat dan juga Pontian.Kerjasama antara PBNJ dan juga Jabatan Belia dan Sukan setiap daerah amat penting selain penjenamaan semula liga bolasepak negeri Johor. Aku berharap selepas ini pembangunan yang holistik mampu dilaksanakan tanpa bergantung dengan pemain luar negeri Johor semata-mata dan jadikan sekiranya boleh, jadikan Johor sebagai pengeksport dan pengeluar pemain-pemain bolasepak yang menjadi rebutan pasukan-pasukan lain di Malaysia.... 

 -MHB-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan