oleh Hisyam
Hj Basabah, 19/11/2013.copyright
Sang Saka Bangsa
Sebagai sebuah parti paling dominan
dalam komponen BN serta mengungguli kerusi terbanyak di dalam Dewan rakyat semenjak
sekian lama, penulis melihat ada bibit-bibit keretakkan yang kini sedang
mengasak dari dalam parti UMNO. Sekian lama, bahtera perjuangan parti yang
pernah dan sedang dikemudikan oleh tujuh orang presiden dan kini oleh Dato Sri
Najib Razak semacam semakin kuat dibadai oleh gelora politik negara. Lupakan
tentang peristiwa mati hidup semula UMNO pada krisis 1988, kerana selepas
krisis tersebut UMNO dilihat kembali gagah dalam mengenepikan semua
pesaing-pesaingnya. Tetapi politik negara pasca era Mahathir memperlihatkan
kelompangan yang nyata kerana UMNO kini tidak sekukuh dahulu sekalipun jika
dilihat kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada PRU13 baru-baru ini meningkat
daripada yang dimenanginya pada PRU12. Penulis tidak berhasrat untuk menuding
jari kepada parti lain yang memberi saingan kepada UMNO tetapi sebagai ahli
akar umbi, penulis terpanggil untuk mengulas berkenaan hal-hal domestik yang
melanda UMNO mengikut kaca mata penulis sebagai ahli kerdil di dalam parti.
UMNO pasca PRU13 masih kekal sebagai
parti hegemoni di dalam BN mahupun di dalam dewan rakyat.
Secara kasar dapatlah dibuat kesimpulan betapa rakyat khususnya majoriti kaum
Melayu masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinan UMNO untuk menjadi wakil,
suara dan pemimpin mereka ke peringkat nasional. Tetapi persoalannya sejauh
mana UMNO dapat memikul aspirasi para penyokong dan pengundi setianya? Sejauh
mana UMNO mampu dengan gagah menghunus keris pusaka kepada musuh-musuh yang
cuba mencabar hak-hak bangsa Melayu sebagai bangsa bumiputera di negara ini?
Adakah para pemimpin yang berada di puncak kuasa dalam parti benar-benar ikhlas
berjuang demi rakyat? ataupun UMNO seperti mana yang sering dinyatakan oleh
parti pembangkang sedang nazak menanti sakaratul maut kerana dilihat semakin
ditolak oleh rakyat khususnya generasi muda yang idealis? Ya, amat mudah untuk
menuding jari kepada parti-parti lain khususnya pembangkang yang mengakibatkan
bencana golongan muda tidak lagi bersama UMNO, tetapi sebelum itu, tanya dahulu
kepada diri adakah UMNO kini cukup telus dalam perjuangan?
Telus yang penulis maksudkan juga
dapat difahami dengan maksud keikhlasan, mengutamakan kepentingan parti dan
rakyat dengan mengenepikan nafsu tembolok sendiri, serta menjadi seorang
pemimpin yang bersih dari segala “kedurjanaan”
yang menyentap kepercayaan rakyat. Persoalannya mengapa penulis sebagai
seorang anak muda masih bersama UMNO sedangkan majoriti teman-teman penulis
memilih parti pembangkang sebagai pegangan ideologi politik mereka? Mengapa
penulis masih mampu menahan telinga daripada nistaan teman-teman yang
menyamakan penulis bodoh seperti lembu kerana masih tegar bersama UMNO? Ia
adalah kerana kasihnya penulis terhadap parti keramat ini kerana perjuangan
UMNO bukan bermula dari tahun 1998 (PKR), bukan juga bermula dari 1952 (PAS)
tetapi perjuangan parti keramat ini telah bermula lebih awal dari itu. Penulis
masih lagi bersama UMNO kerana political
will yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu menjadikan penulis
sebagai anak muda yang celik ilmu dan mempunyai pelajaran. Kesetiaan yang masih
bertaut terhadap UMNO juga didorong oleh dasar-dasar dan perlembagaan parti
yang lebih jelas dan “ berpijak di bumi yang nyata” berbanding dengan
perlembagaan dan dasar-dasar parti lain yang begitu populis tetapi tidak
mempunyai track record yang
membanggakan. UMNO telah terbukti menakhoda zaman sehingga kini dengan pelbagai
kejayaan. Tetapi sejarah lalu tetap berlalu, dan tidak lebih hanya kisah
kegemilangan semalam.
Kasihnya penulis terhadap UMNO tidak
menjadikan penulis seorang yang jumud dan bacul dari mempersoal dan mengkritik
parti. Penulis juga tidak akan menutup mulut dan memejamkan mata terhadap
segala persundalan yang berlaku di dalam parti keramat ini, kerana kasihnya
penulis bukan dengan cara berdiam diri apatah lagi berpaling dari parti.
Kasihnya penulis dengan cara bersuara menegur kepincangan yang berlaku .Pemimpin
datang dan pergi, tetapi parti akan kekal sebagai wadah perjuangan rakyat, maka
dengan ini penulis lebih memilih parti dari pemimpin. Meminjam kata-kata
sahabat penulis yang juga merupakan senior penulis ketika di alam pengajian, ”saya
adalah anak Melayu Kota Tinggi dan Johor yang dipupuk dengan kesetiaan. Maka,
adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berjuang dari dalam, walaupun saya
mungkin terbuang atau bakal kecundang. Seperti yang telah saya katakan,
menjahit kekoyakan dari dalam lebih payah daripada bertukar kepada baju baru.
Kepayahan adalah pilihan saya”[1]. Penyataan tersebut adalah
manifestasi terhadap suara anak muda yang menongkah arus perdana budaya
pemikiran anak muda masa kini dan tidak hanyut bersama trend semasa yang cenderung ke parti pembangkang. Ia adalah lambang
aktivis sejati yang mempunyai stand yang
kukuh seperti mana yang disentuh di dalam artikel penulis sebelum ini.[2]
UMNO semakin tidak popular dalam
kalangan anak muda dan masyarakat Melayu kerana mutakhir ini suara UMNO semakin
lemah dalam memperjuangkan kepentingan-kepentingan orang Melayu. UMNO juga
dilihat tidak tegas dalam menangani permasalahan ini dan adakalanya tunduk
dengan desakan-desakan golongan ultrakiasu yang seakan melampau mempersoalkan
hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Penulis teringat dengan suatu
peristiwa ketika di dalam salah satu edisi persidangan UMNO yang lalu, yang
mana Ketua Pemuda pada masa itu mencium keris sebagai tanda semangat perjuangan
bangsa Melayu. Sejurus selepas itu beliau memohon maaf terhadap parti-parti
pemimpin di atas tindakan beliau setelah didesak oleh pemimpin parti-parti
perkauman yang lain. Mungkin tindakan memohon maaf beliau boleh dianggap mulia
kerana sudi berkompromi dan bertoleransi dalam menjaga hati kaum-kaum yang lain
tetapi tidak oleh sebilangan besar orang Melayu . Tindakan memohon maaf oleh
beliau mencerminkan pemimpin UMNO yang tunduk terhadap desakan kaum-kaum lain
kerana pada anggapan sebilangan rakyat, keris hanyalah lambang perjuangan dan
kegagahan bangsa Melayu dan bukannya menakut-nakutkan bangsa lain ataupun
memberi amaran kepada kaum lain. Maka tindakan memohon maaf sewajarnya tidak
berlaku.
Keikhlasan para pemimpin dan imej
mereka yang terpalit dalam skandal juga menyebabkan orang Melayu khususnya
golongan muda menjauhi UMNO dan menganggap UMNO sebagai parti yang korup.
Barang diingat, golongan muda masa kini majoritinya adalah golongan terpelajar,
golongan yang celik dengan maklumat serta golongan idealis. Mereka akan menilai
kepimpinan seseorang pemimpin melalui daya keintelektualan walaupun ada juga
yang hanya terikut-ikut dengan keinginan untuk berubah. Sebagai anak muda,
penulis juga mendambakan perubahan seperti mana slogan “Ubah” oleh parti
pembangkang, tetapi bukannya konsep perubahan seperti yang ditaja oleh mereka.
Penulis menginginkan dan menuntut perubahan dalam UMNO secara holistik yakni
dari peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat cawangan. Perdana Menteri yang
juga Presiden UMNO begitu gigih melancarkan dasar transformasi, tetapi adakah
UMNO telah ditransformasikan dalam erti kata yang sebenar? Penulis melihat
masih ramai pemimpin-pemimpin yang kurang bersih masih menjawat jawatan
tertinggi dalam parti dan juga di peringkat bahagian. Golongan-golongan
pemimpin UMNO yang cuba membawa ideologi politik baharu seperti Dato Saifudin
Abdullah, bekas Ahli Parliemn Temerloh tersembam dek percaturan permainan
segelintir pemimpin UMNO yang mungkin khuatir dengan idealism yang dibawakan
oleh beliau. Tidak ketinggalan perebutan kerusi Ketua UMNO bahagian di bahagian
penulis yang mana permainan political
proxy berjaya mengekalkan ketua UMNO
yang kini tidak lagi memegang jawatan sebagai ahli parlimen terus menerajui
bahagian sekalipun dicabar oleh seorang pemimpin yang kini berada di dalam
kabinet negeri Johor yang dilihat lebih efisien dan mempunyai idealism yang
lebih segar. Bagi penulis, ia mungkin berpunca daripada teori interdependent antara pemimpin politik
dan juga ahli perniagaan/korporat. Penulis tertarik dengan kenyatan Dr Ridhuan
Tee iaitu “Hal ini kerana wujudnya elit Melayu yang dibantu oleh UMNO ,menjadi
jutawan dan ahli korporat berjaya.Mereka terus bergantung kepada elit politik
UMNO untuk memastikan kemandirian perniagaan mereka terjamin. Sementara elit
politik pula bergantung kepada elit ekonomi untuk mengekalkan kekuasaan.[3] Oleh kerana itu, tembok
kronisme dan proksi akan terus menghalang UMNO daripada dibersihkan. UMNO akan
terus dilihat sebagai parti yang mengutamakan kroni, korup, serta eksklusif
sekiranya pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti ini terus disimpan. Maka
natijahnya, UMNO akan tersungkur serta dikuburkan dalam arena politik negara
sekiranya tidak berlaku transformasi besar-besaran dari akar umbi hingga ke
kepimpinan tertinggi.
Bukan UMNO yang harus dipersalahkan,
tetapi pemimpin-pemimpin yang korup harus dipersalahkan. Penulis lebih
mengutamakan kepentingan parti dan rakyat daripada mahu mengekalkan political giant yang tidak lagi
produktif. Tetapi ia tidak bermakna
penulis seorang yang tidak mengenang jasa apatah lagi seperti kacang lupakan
kulit, tetapi haruslah berpada apabila memilih pemimpin. Pemimpin harus dinilai
dengan idealisme serta imej yang bersih selain perlu mempunyai KPI yang
cemerlang. Bukan semata-mata kejayaan lampau yang sudah berpuluh tahun ataupun
semata-mata kerana mereka adalah legasi kepada pemimpin terdahulu. Kepimpinan
UMNO harus lebih terbuka dan jangan wujudnya unsur-unsur feudalisme yang mana
kekuasaan berkisar kepada segelintir elit politik.
Penulis hanya ingin melihat parti
keramat dengan kibaran megah Sang Saka Bangsa kembali relevan dan juga menjadi payung
kepada orang Melayu berlindung. Penulis menginginkan juga politik baharu yang
bersandarkan idealisme dan keintelektualan menggantikan tempat politik yang korup di dalam UMNO.
Penulis juga mahu parti UMNO menjadi sebuah parti yang bersih dari
amalan-amalan yang merugikan negara dan merosakkan bangsa. Penulis menulis
kerana ingin melihat umat Melayu/Islam kembali bersatu dan digeruni oleh bangsa
lain. Penulis juga mahu merasai kepimpinan seorang pemimpin yang berpegang
dengan jati diri, etika dan nilai keislaman yang mantap. Mungkin harapan dan cita-cita
ini dapat dicapai bukan ketika penulis masih lagi bernafas, tetapi
sekurang-kurangnya generasi selepas penulis dapat menikmati era kepimpinan
seperti mana yang penulis idamkan. Ia bukan angan-angan ataupun utopia, tetapi
ia mampu dicapai sekiranya adanya keinginan ke arah itu.
-MHB-
[1]
beliau adalah Sdri Haziqah Nasirah, Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
merangkap Naib Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi.
[2]
sila lihat PEMBANGKANG DAN “PEMBANGANG” : ANALISIS RINGKAS PERSAMAAN DALAM
KONTEKS POLITIK DAN MASYARAKAT, http://hisyambasabah.blogspot.com/.
[3] Dr
Ridhuan Tee ,2008, “Politik Bukan Untuk Kaya” dalam Nasib Melayu di Bumi
Melayu,2010,Utusan Publications,Kuala Lumpur, hal 125
Oakley Titanium Glass - Shop | TITaniumArt
BalasPadamOakley Titanium Glass is a titanium framing hammer glass glass micro touch hair trimmer with a gr5 titanium stainless titanium vs ceramic flat iron steel handle on top. The glass features stainless steel handles and handles with titanium flashlight metal knobs, $9.00