Khamis, 14 November 2013

PEMBANGKANG DAN “PEMBANGANG” : ANALISIS RINGKAS PERSAMAAN DALAM KONTEKS POLITIK DAN MASYARAKAT

oleh Hisyam Hj Basabah, 14/11/2013


Pusat pentadbiran negara-Putrajaya

Susur galur dan budaya pemerintahan Malaysia secara faktanya dicedok dari sistem Westminster , legasi pemerintahan yang ditinggalkan oleh penjajah British. Sistem inilah yang diguna pakai oleh Malaysia semenjak merdeka hingga ke hari ini. Melalui sistem ini juga status quo Barisan Nasional (dahulu Perikatan) terus bertakhta di puncak kekuasaan tanpa pernah tewas di gelanggang pilihanraya. Tetapi sejauh mana politik Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai politik matang? Artikel ringkas yang ditulis oleh penulis ini cuba untuk memaparkan dan menggali fakta secara akademik walaupun tajuk yang penulis pilih ini boleh menjadikan penulis  sebagai sasaran kutukan dari pengikut PR khususnya. Struktur artikel ini akan penulis bahagikan kepada beberapa bahagian iaitu bab pengenalan kepada sistem pemerintahan dan pilihanraya Malaysia, bahagian kedua penulis cuba menganalisis berkenaan siapa “pembangang” yang penulis  maksudkan seperti tajuk artikel, dan bahagian ketiga tentang persamaan pembangkang dan “pembangang”.

Artikel ini adalah pandangan , pengamatan dan analisis ringkas penulis berkenaan isu-isu yang melingkari kehidupan masyarakat hari ini. Pendapat penulis adalah tiada orang sebenarnya mampu menafikan mereka bebas dari cengkaman politik dan tidak mahu mengambil kisah tentang politik, kerana politik adalah perkara terpenting dalam kehidupan. Ketenangan jiwa datangnya dari masyarakat yang harmoni, masyarakat yang harmoni pula datangnya dari mutu kehidupan atau kos sara hidup yang mantap (ekonomi), dan ekonomi yang mapan lahir dari kestabilan politik, kerana melalui kestabilan politik menyebabkan ekonomi negara berkembang dengan baik,pelabur-pelabur asing yakin dengan kestabilan ekonomi dan politik negara, dasar-dasar yang baik untuk kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan melalui political will [1], serta meningkatkan taraf ekonomi , mutu sara hidup dan sosial rakyat.Sekiranya taraf ekonomi rakyat berkembang dan dalam keadaan yang baik, maka pembentukkan keluarga dan komuniti masyarakat yang sejahtera dapat dicapai seterusnya penghasilan akhlak yang baik dan modal insan yang berkualiti dapat dilahirkan, dan itulah ketenangan jiwa oleh setiap makhluk yang bernama manusia bagi penulis.

Sistem Pemerintahan dan Pilihanraya Malaysia

Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen , kecuali bagi suatu tempoh yang singkat iaitu antara tahun 1969-1972 yang diletakkan di bawah MAGERAN yang diberikan kuasa luar biasa melalui pengisytiharaan darurat, rentetan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969yang hampir-hampir membawa negara ke dalam satu kancah perang saudara dan bencana besar.[2] Yang Dipertuan Agong (YDPA) yakni ketua majlis raja-raja Melayu sebagai ketua negara. Ciri-ciri utama sistem politik negara yang lain ialah Dewan Negara (Senat) dan Dewan Rakyat (Dewan Perwakilan yang kerusinya amat didambakan oleh BN dan PR untuk memerintah negara) merupakan badan penggubal undang-undang yang utama dan kehakiman yang bebas. Di bawah struktur pentadbiran persekutuan ,sebuah badan eksekutif cara kabinet bertanggungjawab kepada badan perundangan yang dipilih. Sejak merdeka,negara hanya diperintah oleh sebuah kerajaan campuran yang berbilang kaum (BN) dan UMNO merupakan rakan kongsi yang dominan.[3] Perdana Menteri Malaysia lazimnya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN sehingga kini. Walaupun jawatan Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas hanya untuk orang Melayu tetapi itulah hakikat dan ia difahami oleh parti komponen BN , ia secara tidak langsung melambangkan ikatan persefahaman yang kolektif dan jitu dalam BN.

Pilihanraya adalah menifestasi terhadap amalan demokrasi di Malaysia dan pada pendapat penulis, sebenarnya demokrasi tulen tidak pernah wujud di mana-mana negara moden pada hari ini. Yang hanya wujud adalah demokrasi saduran yang juga mengandungi elemen autokratik dan feudalsime terutamanya di negara kita ini. Pilihanraya Malaysia adalah alat untuk parti-parti politik dan politikus mendapatkan kuasa mentadbir negara dengan memenangi kerusi majoriti di parlimen. Buat masa ini kerusi parlimen adalah sebanyak 222 selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya dan BN memenangi sebanyak 134 kerusi dan PR melalui DAP, PKR dan PAS sebanyak 88 kerusi yakni sama banyak dengan kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada PRU13. Sayangnya, pada pemerhatian penulis, politikus lebih menjadikan kuasa politik sebagai matlamat berbanding menjadikan ia sebagai alat. Penulis berpegang kepada prinsip bahawa politik adalah alat bukan matlamat, kerana matlamat akhir adalah kesejahteraan rakyat marhaen. Kerana ingin dan rakus mendapatkan kuasa, maka kita dapat lihat banyak tindakan-tindakan politik yang tidak matang digendangkan oleh kedua dua pihak bagi memenangi hati rakyat. Penulis berpendapat, pada situasi politik negara waktu ini, baik BN mahupun PR masing-masing banyak keburukkan dan ketempangan yang jelas terlihat dan sebagai rakyat, penulis beranggapan ini adalah masa untuk memilih parti mana yang kurang melakukan keburukkan kerana ternyata di mata penganalisis politik seperti Prof Dr Agus Yusof, Prof Madya Dr Ridhuan Tee, Dr Zaini Othman dan Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid kedua dua entiti ini harus mengurangkan keburukkan dan kesilapan mereka di mata rakyat.


Malaysia mengamalkan sistem undi elektorial semenjak merdeka lagi dan bukannya undi popular. Undi elektorial ialah undi majoriti kerusi parlimen manakala undi popular merujuk kepada undi dari bilangan sesebuah populasi seperti yang diamalkan oleh negara-negara republik dan kepresidenan.Pada PRU13 baru baru ini, kita menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah BN tewas dalam undi popular tetapi masih mengekalkan majoriti undi elektorial manakala PR buat pertama kalinya juga memenangi undi popular. Terdapat juga suara-suara mereka yang pro pembangkang menyatakan BN telah tewas dan sepatutnya PR yang memerintah, tetapi mengapakah dakwaan ini tidak pernah timbul pada 12 edisi PRU yang lalu?Dan tahukah mereka negara mengamalkan undi elektorial sejak berzaman lagi? Tepuk dahi, tanyalah akal dan akal akan memberitahu jawapannya ada pada ilmu![4]

Siapa “pembangang”?

Perbezaan istilah dan definisi antara penyokong (dalam istilah alam cyber sebagai macai),aktivis dan politikus amat berbeza sebenarnya. Penyokong atau “macai”  ini secara amnya adalah pengikut tegar yang hanya mendengar, mengkaji dan dipengaruhi oleh sesuatu fahaman politik tanpa membuka hati dan akal menimba ilmu secara ilmiah. Bahan-bahan rujukan mereka hanyalah akhbar terbitan sesebuah parti sahaja, mendengar video-video dan ceramah-ceramah tokoh-tokoh tertentu parti yang diminati, bersosial di laman sosial dengan tarikan yang kuat terhadap blog dan laman pro parti yang dipercayai oleh mereka sahaja. Aktivis pula adalah mereka yang terpelajar tetapi menjadikan ideologi politik sesebuah parti sebagai pegangan mereka,Aktivis lazimnya adalah golongan baris hadapan memperjuangkan sesuatu isu dan kefahaman politik mereka sama ada secara diplomasi ataupun radikal. Selain itu aktivis politik sejati adalah orang-orang yang mempunyai idealisme dan prinsipnya sendiri dalam dunia politik, tak kiralah samada mereka mendapat gelaran atau jawatan tertentu dalam dunia politik ataupun tidak, namun tetap setia pada idealisme dan prinsip yang dipegang lalu memberikan sumbangan idea dan semangatnya dengan caranya sendiri. Mungkin melalui penulisan, forum atau dialog atau mungkin dengan sekadar bersembang santai dengan masyarakat sekitar sambil mewarnai pola berfikir mereka dengan idealisme dan prinsip politik yang diyakini benar.[5] Mereka ini lazimnya dari golongan terpelajar, dan pemikir yang tidak mudah goyah pegangannya atau “lompat parti”.

Politikus pula atau ahli politik ialah orang-orang yang menganggotai sesebuah pertubuhan dan parti politik dengan jawatan-jawatan yang diperolehi . Ahli politik adalah seorang individu yang terlibat di dalam politik untuk memegang kuasa di dalam perkhidmatan awam/kerajaan.Di dalam demokrasi Barat, perkataan ini secara umumnya lebih menjurus kepada mana-mana pegawai yang ingin mengekalkan kedudukan mereka menerusi kempen-kempen pilihan raya.[6]Mereka ini pada pandangan penulis lazimya adalah seorang oportunis, licik, seorang pemidato hebat, pintar berdebat dan juga kuat keinginan mencapai sesuatu.

Perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini adakalanya menjadi satu iaitu “pembangang”. Mungkin agak kasar penggunaan istilah yang penulis gunakan tetapi anggaplah ia sebagai ubat yang pahit tetapi terkandung penawarnya. Tidak kira BN atau PR mereka juga ada barisan “pembangang” sendiri yang meyokong membuta tuli dan membela mereka tanpa ragu-ragu. Sebagai contoh, penulis melihat khususnya di laman cyber (FB) , rata-rata mereka menegakkan pendapat dan saling menghentam tanpa ada nilai-nilai ilmiah dan secara tidak langsung menampakkan rantaian ganas kejumudan yang melingkari leher mereka. Perhimpunan-perhimpunan yang dikelolakan oleh PR contohnya dihadiri lebih ramai golongan “pembangang” daripada aktivis dan pemimpin politik PR , natijahnya, penjahanaman terlihat di sini sana. BN juga tidak terkecuali dari kebobrokan “pembangang” mereka. Apabila aktiviti konvoi contohnya dianjurkan oleh pemimpin BN, akan ada aksi-aksi rempit yang memualkan masyarakat sekeliling dan kebaikan dari sesebuah aktiviti itu akan segera terpadam. Itulah kesan yang dibawakan oleh “pembangang” .

Persamaan Pembangkang dan “pembangang”

Pada sesi perdebatan parlimen, rakyat selalu disajikan dengan aksi perdebatan antara YB-YB dari BN dan PR melontarkan soalan, hujah dan tidak ketinggalan provokasi sesama mereka. Penulis berasa kesal apabila pada suatu sesi perbahasan, apabila YB dari BN  mengusulkan sesuatu cadangan yang pada dasar akademiknya adalah baik untuk rakyat khasnya bangsa Melayu/Bumiputera, YB-YB dari PR khususnya DAP akan segera membangkang dengan menyatakan kesaksamaan antara kaum dari segi bantuan dan peruntukan harus seimbang dan membangkang dengan sekerasnya usul penambahbaikan taraf hidup Bumiputera dipersetujui. Nama-nama seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Teressa Kok, Tian Chua, Gobind Singh Deo adalah antara figura politik yang kerap membantah usul yang membawa kemajuan kepada Bumiputera dan nasional dengan alasan konsep kesaksamaan. Antara usul yang dibantah adalah Bahasa Melayu dan isu sekolah vernakular.

Bagi penulis,seharusnya agenda nasional yang berteraskan Bumiputera harus didaulatkan dan sekolah sekolah vernakular ini sebenarnya menyemai semangat perkauman dan melahirkan golongan ultrakiasu yang jauh menyimpang dari semangat kebangsaan dan tidak akan ada warna Malaysia.Yang hanya ada adalah semangat “kecinaan” yang begitu tebal sehinggakan bahasa kebangsaan tidak dapat dikuasai dengan baik serta lahirnya masyarakat yang mempunyai jurang sosial antara kaum yang begitu luas. Seperti mana kenyataan Dr Ridhuan Tee,”Apalah erti tinggal dalam sebuah negara merdeka ini, jika agenda negara langsung tidak dipedulikan. Inilah akibatnya jika kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan perkauman (vernakular).Lebih malang lagi apabila ada di antara kita yang tidak sanggup merombak kurikulum Unified Examination Certificate (UEC) disesuaikan dengan jati diri negara, hanya kerana jika rombakan dilakukan sijil tersebut tidak diiktiraf oleh Taiwan dan China.[7] Persoalan yang berlegar di minda penulis, penting sangatkah pengiktirafan dar negara tersebut sekiranya mereka mengakui yang mereka adalah rakyat Malaysia? Perkara ini jugalah yang dipertahankan oleh DAP ,manakala PAS hanya membisu seribu bahasa tanpa bingkas mempertahankan usul YB dari BN yang mengusulkan sudah sampai masanya Malaysia mengamalkan sekolah satu aliran atau menambah masa pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular, sedangkan itu adalah agenda Melayu yang menjadi teras agenda nasional,pun tidak dipertahankan oleh PAS.


Bagi penulis, kesaksamaan dan keadilan sosial bukan boleh diukur menggunakan konsep 3=3, tetapi harus diletakkan kepada yang lebih berhak melalui pembahagian kek ekonomi dan sosial yang adil. Bumiputera sebagai bangsa peribumi dan bangsa majoriti harus mendapat hak yang selayaknya berpandukan populasi dan hak yang termaktub di dalam perlembagaan. Pembangkang seharusnya menjadi check and balance kepada kerajaan dan tidak membangkang dengan membabi buta sahaja sekalipun mereka digelar sebagai pembangkang.

Seandainya mereka hanya tahu membangkang dengan membabi buta dan diam apabila suatu perkara yang salah disuarakan oleh rakan politik mereka, maka tiada beza untuk mereka antara pembangkang dan juga “pembangang” dan di situlah titik persamaan antara kedua duanya. Sebagai politikus yang diberikan mandat oleh rakyat, mereka seharusnya menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya dan tidak meletakkan agenda politik peribadi sebagai matlamat utama. Kuasa adalah suatu pinjaman, ia boleh hilang atau ditarik balik pada bila-bila masa sahaja seperti yang pernah berlaku terhadap Dato Sri Anwar Ibrahim.

Konklusi

Oleh itu, politik dan kenegaraan adalah sebuah bidang yang sangat kompleks skopnya dan ia bukan suatu perkara atau cabang ilmu yang boleh dibicarakan semata-mata mengikut teori logik semata, tetapi pelbagai teori dan metodologi penyelidikan fakta seperti idiosinkratik, realism dan idealism, teori konspirasi ,serta sistemik dan pengaruh luar harus di ambil kira oleh si pembicara tatkala lembaran halaman politik ingin ditelaah dan dibincangkan.Penulis akan cuba menulis dan menganalisis berkenaan persoalan faktor idiosinkratik pemimpin dan dasar-dasar politiknya selain melihat faktor luaran yang mempengaruhi pembuatan keputusan atau dasar politik seseorang pemimpin itu.

-MHB-




[1] bermaksud kehendak politik dan kemahuan politikus menjalankan pemerintahan dan pentadbiran dengan berkesan. Tanpa political will yang berkesan,maka pentadbiran yang licin tidak dapat dijalankan.
[2] GKA Kumaraseri, 1995, Diplomasi Profesional dan Pengurusan Hal Ehwal Luar Negeri : Pengalaman Malaysia, DBP, Kuala Lumpur,hal 49.
[3] Rujuk Gullick,John dan Bruce Gale,1986,Malaysia and Its Political and Economic Development.Pelanduk Publisher,Petaling Jaya dalam GKA Kumaraseri, 1995, Diplomasi Profesional dan Pengurusan Hal Ehwal Luar Negeri : Pengalaman Malaysia, DBP, Kuala Lumpur,hal 49.
[4] ilmu sejarah pembentukan negara, kontark sosial,perlembagaan, politik dan kenegaraan.
[7] Dr Ridhuan Tee Abdullah,2010,Apabila Agenda Bangsa Menguasai Agenda Negara dalam Melayu Menjadi Minaroti dalam Majoriti,2013,Utusan Publications,Kuala Lumpur.hal 59

2 ulasan:

  1. harap penulisan sahabat ku dpat di pertingkatkan lgii...luahan hatii...dlm penulisan terserlah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Trm ksh sahabat....barangkali aku tdk knl siapa kamu krn kamu memilih tanpa nama sebagai pengenalan diri,ttpi yg nyata aku senang dgn komen kamu yg bagiku membina...trm ksh sekali lagi.

      Padam