Selasa, 12 November 2013

NASIB ANAK BANGSA DI IPTS ( coretan pengalaman dan pemerhatian)


Sekilas Pandang.
Sekian lama saya memerhatikan senario pendidikan tinggi di kolej swasta yang beraneka ragam dan rencam, sekian lama juga saya merasakan dosa kepada anak bangsa yang semakin lama semakin tidak tertanggung di bahu kiri saya. Sebagai seorang kakitangan kolej saya juga terikat dengan kesetiaan dan etika ebagai kakitangan kolej yang seharusnya tegar menjaga nama baik kolej sebagai IPTS yang bercita-cita ingin menjadi kolej terunggul di dalam bidang pengajian tinggi negara. Tetapi saya tidak sanggup melihat nasib anak bangsa saya terumbang ambing dek kerakusan sesetengah pihak yang melahap keuntungan atas nama pendidikan kerana bagi saya pendidikan tidak akan seekali menjadi sebuah komoditi yang boleh diniagakan.

Saya merasa terpangil untuk menulis artikel ini adalah tidak lain tidak bukan kerana perasaan kasih dan sayang kepada masa depan dan nasib anak bangsa saya yang belajar di IPTS di negara kita ini.Mungkin sebagai kakitangan kolej swasta, saya mampu berkongsi sesuatu kepada anak bangsa saya khsusnya pemilihan IPT yang terbaik untuk mereka melanjutkan pengajian. Saya juga ingin anak bangsa saya mempunyai cita-cita yang jelas agar mereka tidak tersalah percaturan kerana terpengaruh dengan unit pemasaran IPTS yang begitu licik mempengaruhi mereka agar memilih IPTS yang mereka wakili sebagai destinasi pengajian kepada para remaja lepasan SPM khususnya. Apa yang ingin saya nukilkan dalam penulian ini adalah cetusan rasa selain pengalaman dan pemerhatian saya terhadap senario dan isu pendidikan di IPTS di negara kita.

IPTS  oh IPTS…….
Rata –rata dari kita mempunyai pandangan bahawa syarat kemasukkan ke IPTS adalah sangat rendah dengan hanya perlu mendapatkan 3 kredit sahaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma berbanding 5 kredit untuk pengajian diploma IPTA. Ya, dengan syarat kemasukkan yang longgar itulah memungkinkan pelajar-pelajar yang tercicir dari mendapatkan tempat ke IPTA dapat menyambung cita-cita mereka bergelar mahasiswa dan menggapai pelangi kejayaan sekalipun terpaksa membayar harga yang berlipat kali ganda .Tetapi itulah harga yang harus dibayar oleh anak bangsa yang yang tercicir ke IPTA. Mungkin untuk pelajar-pelajar berketurunan Cina, ia tidak menjadi masalah kerana mereka disokong oleh kewangan yang kukuh dari keluarga selain sesetengah dari mereka yang sememangnya meilih IPTS sebagai destinai pengajian mereka khsusnya di Kolej Universiti Tunku Abd Rahman atau TARC yang dibina hasil usaha MCA sebagai wadah pendidikan terhadap anak –anak Cina walaupun ia juga dibuka kepada semua bangsa. Tetapi penulisan saya ini ingin menyoroti nasib anak bangsa saya iaitu anak Melayu yang berasal dari keluarga pertengahan, keluarga miskin, anak-anak peneroka FELDA dan juga tidak ketinggalan anak petani yang tercicir ke IPTA tetapi bersemangat untuk bangkit semula menggapai impian memajukan diri dan membahgiakan ibu dan ayah.

Sekiranya saya menyenaraikan satu persatu kolej-kolej dan kolej universiti swasta di negara ini, mungkin penulisan ini tidak cukup menampung betapa banyaknya bilangan IPTS di Malaysia dewasa ini. Tetapi sejauh mana IPTS di negara ini berkualiti dalam memastikan pendidikan tinggi yang diberikan kepada pelajar setanding dengan yuran yang dibayar oleh para pelajar? Adakah ia setanding juga dengan infrastruktur dan kemudahan di kolej merangkumi asrama, pusat riadah serta tidak ketinggalan bilik kuliah? Ini kerana, melalui pemerhatian saya, sebilangan IPTS baru di negara ini boleh diibaratkan begitu mengejar keuntungan semata-mata dengan meminggirkan tanggungjawab hakiki mereka untuk membantu anak bangsa yang ingin Berjaya. Saya berkata sedemikian kerana, sesetengah IPTS cuba bertopengkan mereka adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membantu pelajar-pelajar khususnya anak Melayu . Mereka juga tanpa segan silu menjanjikan bulan dan bintang kepada bakal penuntut dengan pelbagai janji yang sebenarnya amat sukar dan hampir mustahil mereka tunaikan. Selepas pelajar ini mendaftarkan diri mereka di IPTS tersebut, barulah para pelajar mengetahui tembelang yang sebenarnya dan pada ketika itu adalah terlewat bagi pelajar kerana segala perjanjian yang melibatkan soal kewangan sekiranya mereka ingin berhenti dari IPTS tersebut terpaksa ditanggung.Mahu tidak mahu, anak bangsa yang pada asalnya meluap-luap semangat ingin Berjaya ini terkubur aspirasinya. Maka bersenang lenanglah pihak yang tidak bertanggungjawab itu dengan mengaut keuntungan hasil pemerasan wang anak bangsa yang terpaksa berhutang dengan pembiaya pelajaran sehingga mencecah ratusan ribu ringgit hanya semata-mata sekeping diploma! Dalam masa yang sama perkhidmatan terbaik tiodak diberikan kepada penuntut dan hanya berkata “nanti, segala infrastruktur tersebut akan siap dalam waktu terdekat”.


Coretan Pengalaman di IPTS
Bukan semua IPTS bersikap sedemikian, malah ada di antaranya yang begitu cemerlang dalam melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan mampu memenuhi aspirasi nasional dengan kepakaran yang mereka perolehi dari IPTS-IPTS tertentu. Tetapi apa yang ingin saya kupas dalam penulisan ini adalah IPTS yang menjadikan pendidikan sebagai komoditi utama bagi mengaut keuntungan dengan mengenepikan nasib anak bangsa terutamanya Melayu. Seperti yang kita sedia maklum, bahawa hamper semua IPT di negara kita mempunyai majlis perwakilan pelajar yang berperanan sebagai mewakili suara pelajar kepada pihak pengurusan selain menjadi perantara antara penuntut dan juga pihak pengurusan IPT dan ia tidak terkecuali IPTS. Persoalannya adalah sejauh mana berkesannya majlis perwakilan pelajar ini di sesetengah IPTS? Penuntut adalah pelanggan dan kolej adalah penyedia perkhidmatan. Sekiranya falsafah “ Customer Always Right” atau “ Customer First” di teliti, maka seharusnya pihak kolej mesti mengutamakan pelajar kerana mereka adalah pelanggan dan tanpa mereka mustahil sesebuah IPTS itu mampu beroperasi dan seharusnya juga tuntutan-tuntutan mereka yang menuntut janji pihak kolej agar mengotakan janji ketika ingin menarik mereka melanjutkan pengajian di kolej tersebut dipenuhi. Dari kaca mata saya sebagai pemerhati, pihak kolej begitu mudah membisukan majlis perwakilan pelajar ini dengan menggertak atau secara diam-diam melakukan sabotaj terhadap keputusan peperiksaan mereka sekiranya mereka agresif menentang dan juga menuntut sesuatu dari pihak kolej.Natijahnya, anggota perwakilan pelajar ini terpaksa mengulang sesetengah subjek untuk lulus dan dalam masa yang sama juga terpaksa membayar ratusan ringgit untuk mengambil peperiksaan ulangan. Ini adalah suatu bentuk penindasan dan persundalan yang nyata dilakukan oleh sesetengah pihak pengurusan IPTS!
Pengalaman saya juga menyaksikan betapa tinggi dan menggunungnya harapan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke IPTS ini kerana beranggapan anak-anak mereka kelak akan menjadi seorang yang berjaya sekalipun puluhan ribu ringgit terpaksa dilaburkan oleh mereka. Ada juga dari kalangan mereka ini yang datang dari pedalaman Sabah dan Sarawak semata-mata terpengaruh dengan “prestij” yang dicanangkan oleh unit pemasaran sesetengah IPTS , dan sekiranya kita perhalusi terlalu banyak yang dikorbankan mereka bukan sahaja wang ringgit tetapi juga perjudian masa hadapan. Bukan seorang dua penuntut dari Sabah atau Sarawak yang saya saksikan terpaksa kembali semula ke kampong halaman kerana berasakan diri mereka tertipu dengan apa yang dijanjikan oleh pihak pengurusan sesetengah IPTS, selain tidak mampu lagi meneruskan kehidupan mereka di kota metropolitan yang segalanya memerlukan wang. 

Saya pernah berhadapan dengan seorang penuntut dari Kedah yang begitu bersemangat untuk melanjutkan pengajian beliau ke salah sebuah IPTS di Johor Bahru, berbekalkan dua buah beg pakaian yang lusuh dan bertemankan seorang bapa yang telah uzur yang mana perkiraan saya umurnya dalam lingkungan awal 70-an, anak muda Melayu ini jika mengikut dari pencapaian SPM beliau adalah dalam katogori pelajar yang cemerlang, bersemangat menyatakan IPTS tersebut mampu menjadikan beliau sebagai anak bangsa yang unggul selain ingin sekali berkhidmat dan berbakti kepada bapanya kelak yang telah uzur. Ketika sesi pembayaran yuran, saya begitu terkejut kerana bapa pelajar tersebut mengeluarkan wang sebanyak RM2000 dari sakunya dan dalam benak saya memikirkan mereka ini mestilah bukan dari calang-calang keluarga sekalipun rupa mereka sangat daif. Setelah saya dan beberapa orang rakan sejawat selidiki, rupa-rupanya bapa pelajar itu hanyalah seorang pesawah yang memerah keringat di bendang selama hampir 4 bulan semata-mata untuk menyediakan RM 2000 sebagai yuran pendaftaran anaknya. Alangkah sedih dan terharunya kami, sehinggakan ada sesetengah rakan tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata kerana terlalu sedih. Kami sepakat membuat keputusan yang sekiranya diketahui oleh pengurusan kolej, sudah tentu kami akan dipecat serta merta dengan memberikan semangat kepada pelajar tersebut untuk menyambung pengajiannya di IPTA kerana beliau tidak ada masalah untuk melanjutkan pengajian ke IPTA berbekalkan keputusannya yang cemerlang di dalam SPM. Kami berasakan ketika itu kewajiban terhadap masa depan seorang anak bangsa jauh mengatasi tanggungjawab kami terhadap majikan dan sekiranya kedapatan, kami rela dipertanggungjawabkan atas tindakan kami ini. Itu adalah secebis pengalaman saya terhadap sebuah persoalan yang kerap dimainkan oleh pihak pengurusan IPTS yang kononnya menganggap mereka sebagai pejuang nasib anak bangsa. Sekiranya ingin menjadi pejuang, anda seharusnya memberikan persekitaran yang kondusif agar ia setanding dengan yuran pengajian yang berpuluh ribu ringgit selain hanya mengambil keuntungan setakat mana kewajaran dan tidak berlebih-lebihan. Ia tidak mencerminkan apa yang anda katakan kerana walaupun kolej anda baru sahaja beroperasi tidak sampai tiga tahun, anda begitu gah membina sebuah kampus yang bertaraf dunia, gah membina ruang pejabat anda yang juga bertaraf dunia tetapi bagaimana pula dengan janji-janji anda kepada penuntut? Sebagai pemimpin,anda seharusnya mempunyai ilmu,dan ilmu yang dimaksudkan itu adalah ilmu memahami keutamaan.Keutamaan “jamaah” seharusnya mengatasi keutamaan sendiri ( keuntungan segera)[1]. Memperbesarkan perkara yang kecil iaitu kehebatan ruang pejabat anda dan mengabaikan perkara yang besar iaitu janji anda kepada penuntut adalah suatu perkara yang merugikan masa hadapan kolej anda kerana sudah semestinya para pelajar akan “berkempen” dalam senyap dengan memburukkan kolej anda dan tidak sesekali mempromosikan kolej anda agar menjadi pilihan dan destinasi adik-adik serta rakan taulan mereka.

Kesimpulan
Saya berharap agar semua IPTS mengutamakan dasar keilmuan sebagai perkara terpenting dan jangan sesekali anda melacurkan pendidikan semata-mata ingin cepat mengaut keuntungan. Berikan pendidikan yang terbaik kepada anak bangsa kerana merekalah penerus legasi kita di hari mendatang…Jangan terlalu enak bermain kata dan retorik untuk menutup segala kepincangan yang berlaku di kolej anda . Berikan hak mereka kembali sebagai “customer” dan jangan jadikan mereka sebagai musuh anda.Harus diingat, terutamanya bagi IPTS yang baru, pemilihan pegawai tertinggi yang akan mengetuai IPTS anda juga harus diambil kira kerana tanpa seorang ketua yang cemerlang, maka hayat institusi pengajian yang anda asaskan akan berakhir dengan segera!

-MHB-






[1] Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah,”Meneruskan legasi pemimpin terdahulu”, Melayu Menjadi Minoriti dalam Majoriti, Utusan Publications,Kuala Lumpur,hal75.

10 ulasan:

  1. Cik dekat mane bleh saya contact ?

    BalasPadam
  2. tapi..dari aspek pengajaran lecturer sndiri..ipts mempunyai kelebihan dkt fokus pd murid..sy sbgai pengajar kolej slma 7 tahun brkhidmat .. rasanya hubungan dgn pelajar sy lebih close brbanding masa sy di uitm..di uitm lecturer langsung tk kenai sy..masuk memberi teori dan tkde hubungan baik pun dgn pelajar..maybe mereka merasa titile proff madya trllau high kot utk jd close dgn student...tp di ipts..kami sgt menjaga student..tkde student yg ditggl..bila diorg tk dtg kami call wsp follow up sllau selidik dn bg nasihat dn kaunseling tye apa mslh....di ipta? uall tk dtg? tkdenyer lect uall nak beriaa carik uall kan??

    itulah point yg sy nk ckp... as lect... kami perlu jaga customer dgn baik dn sumbgan kami utk pastikan budak2 dpt pointer trbaik mereka..infact...my ex student still contact i dn mereka mempunyai close relationship untill now ...cos lect di ipts sgt menjaga student mereka..

    itulah bezanya..this my real expr...jus share..ade pro and con ipta n ipts..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Benar, ada pro dan kontra. saya tidak nafikan ada sebahagian IPTS yang mempunyai tenaga pengajar berkualiti, pengurusan yang mampan dan segalanya terbaik. Cuma segelintir yang bersifat sebegini. Segelintir inilah yang perlu dibenteras.

      Padam
  3. btw.. jika ade adik2 brminat nk tahu psl program apa i ajar..bole pm 011-16930576..i will share and advice.

    BalasPadam