Isnin, 25 November 2013

Skeptikal Masyarakat Terhadap Institusi Pengajian Tinggi Selain Universiti.

Semalam pada 24/11/2013 aku dan keluarga telah menghantar adikku melanjutkan pengajiannya ke peringkat diploma di Politeknik Merlimau, Melaka. Terpancar  kegembiraan di raut wajah adikku kerana berjaya mendapat tempat melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan ibu dan ayahku terukir senyuman bangga dan dalam masa yang sama turut bersedih kerna terpaksa berjauhan dengan adikku. Kini tinggallah adik bongsuku menemani kedua ibu dan ayahku di rumah kerna masih lagi di bangku sekolah menengah. Ya, apalah sangat dengan diploma,mungkin itulah kata sesetengah orang dan apalah sangat dengan kejayaan melanjutkan pengajian ke politeknik sedangkan ramai lagi anak bangsa yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang profesional seperti doktor ,akauntan,undang-undang dan sebagainya. Aku akur dengan pandangan skeptikal masyarakat khususnya bangsaku, dan aku juga mengerti pandangan sesetengah pihak yang pesimis terhadap "kejayaan" adikku mendapat tempat di politeknik yang pada anggapan mereka sebagai pusat pengajian kelas kedua berbanding UIA,USM,UiTM dan semcam lagi U!. Sedangkan siswazah yang mempunyai ijazah pun terkial-kial mencari arah hidup inikan pula taraf pelajar diploma di politeknik yang mengambil jurusan pengajian perniagaan. Nanti dulu! sebelum lancar lidah menuturkan kata, dan sebelum penaku lincah menari menjawab persoalan itu, inginku bertanya kepada diriku dan juga bangsaku, Melayu, adakah nilai ilmu hanya diukur semata-mata kerna nama gah universiti? adakah anda yakin graduan dari universiti tersohor akan terus berjaya tanpa perlu menganggur? adakah keilmuan yang diperoleh dari politeknik, IKBN, Kolej komuniti serta IPTS yang berlambak di negara kita adalah ilmu kelas kedua?pastikah anda hanya graduan yang memperolehi kelulusan dari universiti tersohor sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan negara?Aku tinggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh anda dengan menggunakan akal,budi dan nilai keintelektualan yang adil tanpa didasari persepsi klise bangsa Melayu.

Keilmuan dan keintelektualan tidak akan berkualiti dan berguna sekiranya si pembawa atau individu itu tidak membangunkan potensi dan menjadikan ilmu itu sebagai budaya. Melalui pemerhatian aku, aku dapati majoriti siswa di negara ini menyambung pengajian hanya untuk lulus peperiksaan dan mendapatkan sekeping kertas tanda pengakuan kelulusan. Selepas itu, segala ilmu yang ditimba akan luput seperti mana luputnya embun di hujung rumput setelah mentari memancarkan sinarnya. Bagiku, walau di mana sahaja kita ditempatkan untuk belajar, ia bukan persoalan pokok yang menyesakkan kepala, tetapi yang lebih penting adalah keazaman, keikhlasan, kegigihan serta tidak ketinggalan keinginan yang meluap menimba ilmu dan bukan semata-mata hanya mendapatkan segulung diploma atau ijazah. Barang diingat, gelar sarjana bukanlah kayu pengukur sebenar tahap keintelektualan kita, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari di luar bilik kuliah. Untuk adikku dan juga mereka yang menyambung pengajian ke institusi selain Universiti, ia bukan bermakna anda adalah calon terbuang, bukan juga menunjukkan anda lebih rendah tahap pemikiran berbanding teman-teman yang berjaya ke universiti. Ia adalah petunjuk dan bukti yang jelas anda diperlukan untuk mengisi kekosongan yang lain yang tidak mampu diisi oleh teman-teman anda yang lain.

Mungkin sesetengah dari anda akan merasa rendah diri apabila cuti semester datang bertandang. Kerana sesetengah rakan-rakan anda pabila pulang menceritakan kehebatan universiti-universiti mereka yang sememangnya tersohor di negara ini.Lebih-lebih lagi apabila dua atau lebih rakan-rakan anda berada di universiti yang sama manakala hanya anda sahaja yang belajar di politeknik,IKBN,Kolej Komuniti dan tidak ketinggalan tingkatan enam.Ia ditambah lagi dengan riak kebanggaan keluarga teman-teman anda yang sinis melihat anda hanya belajar di politeknik,IKBN,Kolej Komuniti dan juga tingkatan enam.Biarkan, kerana mereka yang jumud tidak pernah mengerti apa itu ilmu dan padagogi keilmuan. Jangan khuatir kerna aku juga pernah merasai pengalaman sebegitu. Hanya aku seorang sahaja melanjutkan pengajian ke tingkatan enam manakala majoriti teman-temanku pula menyambung pengajian ke peringkat diploma di UiTM. Ya sememangnya aku berasa amat rendah diri, dan malu tetapi telah aku tanamkan tekad bahawa aku mempunyai sesuatu yang tidak ada pada diri teman-temanku iaitu kepayahan bermula dari bawah.Ingin juga aku buktikan lulusan STPM mampu menguak pintu sarjana muda dengan pencapaian yang membanggakan dan aku mampu melakukannya. Jika aku boleh tidak ada sebab mengapa adik-adikku tidak boleh!

Untuk menjadi pemuda dan pemudi yang berjaya,tidak semestinya anda harus bergraduasi dari universiti tersohor, tetapi buktikan melalui pencapaian akademik anda . Tidak guna sekiranya belajar di UIA tetapi hanya mampu mencapai PNGK 2.5 berbanding anda yang belajar di politeknik mampu mencapai PNGK 3.5!Buktikan anda boleh, ubah dan tukar corak pemikiran mereka yang kolot itu dengan pencapaian dan ilmu anda, bisukan mulut mereka dengan kejayaan anda.Destinasi anda,anda yang tentukan.Salam sayang dari aku sebagai seorang abang untuk adik-adikku yang baru memulakan ekspedisi penggalian ilmu di gedung ilmu!

-MHB-

Selasa, 19 November 2013

KELANGSUNGAN UMNO : PILIH PARTI ATAU PEMIMPIN?


oleh Hisyam Hj Basabah, 19/11/2013.copyright

                                                                                             Sang Saka Bangsa
                                                
Sebagai sebuah parti paling dominan dalam komponen BN serta mengungguli kerusi terbanyak di dalam Dewan rakyat semenjak sekian lama, penulis melihat ada bibit-bibit keretakkan yang kini sedang mengasak dari dalam parti UMNO. Sekian lama, bahtera perjuangan parti yang pernah dan sedang dikemudikan oleh tujuh orang presiden dan kini oleh Dato Sri Najib Razak semacam semakin kuat dibadai oleh gelora politik negara. Lupakan tentang peristiwa mati hidup semula UMNO pada krisis 1988, kerana selepas krisis tersebut UMNO dilihat kembali gagah dalam mengenepikan semua pesaing-pesaingnya. Tetapi politik negara pasca era Mahathir memperlihatkan kelompangan yang nyata kerana UMNO kini tidak sekukuh dahulu sekalipun jika dilihat kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada PRU13 baru-baru ini meningkat daripada yang dimenanginya pada PRU12. Penulis tidak berhasrat untuk menuding jari kepada parti lain yang memberi saingan kepada UMNO tetapi sebagai ahli akar umbi, penulis terpanggil untuk mengulas berkenaan hal-hal domestik yang melanda UMNO mengikut kaca mata penulis sebagai ahli kerdil di dalam parti.

UMNO pasca PRU13 masih kekal sebagai parti hegemoni  di dalam BN mahupun di dalam dewan rakyat. Secara kasar dapatlah dibuat kesimpulan betapa rakyat khususnya majoriti kaum Melayu masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinan UMNO untuk menjadi wakil, suara dan pemimpin mereka ke peringkat nasional. Tetapi persoalannya sejauh mana UMNO dapat memikul aspirasi para penyokong dan pengundi setianya? Sejauh mana UMNO mampu dengan gagah menghunus keris pusaka kepada musuh-musuh yang cuba mencabar hak-hak bangsa Melayu sebagai bangsa bumiputera di negara ini? Adakah para pemimpin yang berada di puncak kuasa dalam parti benar-benar ikhlas berjuang demi rakyat? ataupun UMNO seperti mana yang sering dinyatakan oleh parti pembangkang sedang nazak menanti sakaratul maut kerana dilihat semakin ditolak oleh rakyat khususnya generasi muda yang idealis? Ya, amat mudah untuk menuding jari kepada parti-parti lain khususnya pembangkang yang mengakibatkan bencana golongan muda tidak lagi bersama UMNO, tetapi sebelum itu, tanya dahulu kepada diri adakah UMNO kini cukup telus dalam perjuangan?

Telus yang penulis maksudkan juga dapat difahami dengan maksud keikhlasan, mengutamakan kepentingan parti dan rakyat dengan mengenepikan nafsu tembolok sendiri, serta menjadi seorang pemimpin yang bersih dari segala “kedurjanaan”  yang menyentap kepercayaan rakyat. Persoalannya mengapa penulis sebagai seorang anak muda masih bersama UMNO sedangkan majoriti teman-teman penulis memilih parti pembangkang sebagai pegangan ideologi politik mereka? Mengapa penulis masih mampu menahan telinga daripada nistaan teman-teman yang menyamakan penulis bodoh seperti lembu kerana masih tegar bersama UMNO? Ia adalah kerana kasihnya penulis terhadap parti keramat ini kerana perjuangan UMNO bukan bermula dari tahun 1998 (PKR), bukan juga bermula dari 1952 (PAS) tetapi perjuangan parti keramat ini telah bermula lebih awal dari itu. Penulis masih lagi bersama UMNO kerana political will yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu menjadikan penulis sebagai anak muda yang celik ilmu dan mempunyai pelajaran. Kesetiaan yang masih bertaut terhadap UMNO juga didorong oleh dasar-dasar dan perlembagaan parti yang lebih jelas dan “ berpijak di bumi yang nyata” berbanding dengan perlembagaan dan dasar-dasar parti lain yang begitu populis tetapi tidak mempunyai track record yang membanggakan. UMNO telah terbukti menakhoda zaman sehingga kini dengan pelbagai kejayaan. Tetapi sejarah lalu tetap berlalu, dan tidak lebih hanya kisah kegemilangan semalam.


Kasihnya penulis terhadap UMNO tidak menjadikan penulis seorang yang jumud dan bacul dari mempersoal dan mengkritik parti. Penulis juga tidak akan menutup mulut dan memejamkan mata terhadap segala persundalan yang berlaku di dalam parti keramat ini, kerana kasihnya penulis bukan dengan cara berdiam diri apatah lagi berpaling dari parti. Kasihnya penulis dengan cara bersuara menegur kepincangan yang berlaku .Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti akan kekal sebagai wadah perjuangan rakyat, maka dengan ini penulis lebih memilih parti dari pemimpin. Meminjam kata-kata sahabat penulis yang juga merupakan senior penulis ketika di alam pengajian, ”saya adalah anak Melayu Kota Tinggi dan Johor yang dipupuk dengan kesetiaan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berjuang dari dalam, walaupun saya mungkin terbuang atau bakal kecundang. Seperti yang telah saya katakan, menjahit kekoyakan dari dalam lebih payah daripada bertukar kepada baju baru. Kepayahan adalah pilihan saya”[1]. Penyataan tersebut adalah manifestasi terhadap suara anak muda yang menongkah arus perdana budaya pemikiran anak muda masa kini dan tidak hanyut bersama trend semasa yang cenderung ke parti pembangkang. Ia adalah lambang aktivis sejati yang mempunyai stand yang kukuh seperti mana yang disentuh di dalam artikel penulis sebelum ini.[2]

UMNO semakin tidak popular dalam kalangan anak muda dan masyarakat Melayu kerana mutakhir ini suara UMNO semakin lemah dalam memperjuangkan kepentingan-kepentingan orang Melayu. UMNO juga dilihat tidak tegas dalam menangani permasalahan ini dan adakalanya tunduk dengan desakan-desakan golongan ultrakiasu yang seakan melampau mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Penulis teringat dengan suatu peristiwa ketika di dalam salah satu edisi persidangan UMNO yang lalu, yang mana Ketua Pemuda pada masa itu mencium keris sebagai tanda semangat perjuangan bangsa Melayu. Sejurus selepas itu beliau memohon maaf terhadap parti-parti pemimpin di atas tindakan beliau setelah didesak oleh pemimpin parti-parti perkauman yang lain. Mungkin tindakan memohon maaf beliau boleh dianggap mulia kerana sudi berkompromi dan bertoleransi dalam menjaga hati kaum-kaum yang lain tetapi tidak oleh sebilangan besar orang Melayu . Tindakan memohon maaf oleh beliau mencerminkan pemimpin UMNO yang tunduk terhadap desakan kaum-kaum lain kerana pada anggapan sebilangan rakyat, keris hanyalah lambang perjuangan dan kegagahan bangsa Melayu dan bukannya menakut-nakutkan bangsa lain ataupun memberi amaran kepada kaum lain. Maka tindakan memohon maaf sewajarnya tidak berlaku.

Keikhlasan para pemimpin dan imej mereka yang terpalit dalam skandal juga menyebabkan orang Melayu khususnya golongan muda menjauhi UMNO dan menganggap UMNO sebagai parti yang korup. Barang diingat, golongan muda masa kini majoritinya adalah golongan terpelajar, golongan yang celik dengan maklumat serta golongan idealis. Mereka akan menilai kepimpinan seseorang pemimpin melalui daya keintelektualan walaupun ada juga yang hanya terikut-ikut dengan keinginan untuk berubah. Sebagai anak muda, penulis juga mendambakan perubahan seperti mana slogan “Ubah” oleh parti pembangkang, tetapi bukannya konsep perubahan seperti yang ditaja oleh mereka. Penulis menginginkan dan menuntut perubahan dalam UMNO secara holistik yakni dari peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat cawangan. Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO begitu gigih melancarkan dasar transformasi, tetapi adakah UMNO telah ditransformasikan dalam erti kata yang sebenar? Penulis melihat masih ramai pemimpin-pemimpin yang kurang bersih masih menjawat jawatan tertinggi dalam parti dan juga di peringkat bahagian. Golongan-golongan pemimpin UMNO yang cuba membawa ideologi politik baharu seperti Dato Saifudin Abdullah, bekas Ahli Parliemn Temerloh tersembam dek percaturan permainan segelintir pemimpin UMNO yang mungkin khuatir dengan idealism yang dibawakan oleh beliau. Tidak ketinggalan perebutan kerusi Ketua UMNO bahagian di bahagian penulis yang mana permainan political proxy  berjaya mengekalkan ketua UMNO yang kini tidak lagi memegang jawatan sebagai ahli parlimen terus menerajui bahagian sekalipun dicabar oleh seorang pemimpin yang kini berada di dalam kabinet negeri Johor yang dilihat lebih efisien dan mempunyai idealism yang lebih segar. Bagi penulis, ia mungkin berpunca daripada teori interdependent antara pemimpin politik dan juga ahli perniagaan/korporat. Penulis tertarik dengan kenyatan Dr Ridhuan Tee iaitu “Hal ini kerana wujudnya elit Melayu yang dibantu oleh UMNO ,menjadi jutawan dan ahli korporat berjaya.Mereka terus bergantung kepada elit politik UMNO untuk memastikan kemandirian perniagaan mereka terjamin. Sementara elit politik pula bergantung kepada elit ekonomi untuk mengekalkan kekuasaan.[3] Oleh kerana itu, tembok kronisme dan proksi akan terus menghalang UMNO daripada dibersihkan. UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang mengutamakan kroni, korup, serta eksklusif sekiranya pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti ini terus disimpan. Maka natijahnya, UMNO akan tersungkur serta dikuburkan dalam arena politik negara sekiranya tidak berlaku transformasi besar-besaran dari akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi.

Bukan UMNO yang harus dipersalahkan, tetapi pemimpin-pemimpin yang korup harus dipersalahkan. Penulis lebih mengutamakan kepentingan parti dan rakyat daripada mahu mengekalkan political giant yang tidak lagi produktif. Tetapi ia tidak bermakna penulis seorang yang tidak mengenang jasa apatah lagi seperti kacang lupakan kulit, tetapi haruslah berpada apabila memilih pemimpin. Pemimpin harus dinilai dengan idealisme serta imej yang bersih selain perlu mempunyai KPI yang cemerlang. Bukan semata-mata kejayaan lampau yang sudah berpuluh tahun ataupun semata-mata kerana mereka adalah legasi kepada pemimpin terdahulu. Kepimpinan UMNO harus lebih terbuka dan jangan wujudnya unsur-unsur feudalisme yang mana kekuasaan berkisar kepada segelintir elit politik.

Penulis hanya ingin melihat parti keramat dengan kibaran megah Sang Saka Bangsa kembali relevan dan juga menjadi payung kepada orang Melayu berlindung. Penulis menginginkan juga politik baharu yang bersandarkan idealisme dan keintelektualan menggantikan  tempat politik yang korup di dalam UMNO. Penulis juga mahu parti UMNO menjadi sebuah parti yang bersih dari amalan-amalan yang merugikan negara dan merosakkan bangsa. Penulis menulis kerana ingin melihat umat Melayu/Islam kembali bersatu dan digeruni oleh bangsa lain. Penulis juga mahu merasai kepimpinan seorang pemimpin yang berpegang dengan jati diri, etika dan nilai keislaman yang mantap. Mungkin harapan dan cita-cita ini dapat dicapai bukan ketika penulis masih lagi bernafas, tetapi sekurang-kurangnya generasi selepas penulis dapat menikmati era kepimpinan seperti mana yang penulis idamkan. Ia bukan angan-angan ataupun utopia, tetapi ia mampu dicapai sekiranya adanya keinginan ke arah itu.

-MHB-



[1] beliau adalah Sdri Haziqah Nasirah, Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Naib Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi.
[2] sila lihat PEMBANGKANG DAN “PEMBANGANG” : ANALISIS RINGKAS PERSAMAAN DALAM KONTEKS POLITIK DAN MASYARAKAT, http://hisyambasabah.blogspot.com/.
[3] Dr Ridhuan Tee ,2008, “Politik Bukan Untuk Kaya” dalam Nasib Melayu di Bumi Melayu,2010,Utusan Publications,Kuala Lumpur, hal 125

Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Benarkah Pas kuat?

Laman Xtive Utusan Malaysia - Artikel: Benarkah Pas kuat?

Khamis, 14 November 2013

PEMBANGKANG DAN “PEMBANGANG” : ANALISIS RINGKAS PERSAMAAN DALAM KONTEKS POLITIK DAN MASYARAKAT

oleh Hisyam Hj Basabah, 14/11/2013


Pusat pentadbiran negara-Putrajaya

Susur galur dan budaya pemerintahan Malaysia secara faktanya dicedok dari sistem Westminster , legasi pemerintahan yang ditinggalkan oleh penjajah British. Sistem inilah yang diguna pakai oleh Malaysia semenjak merdeka hingga ke hari ini. Melalui sistem ini juga status quo Barisan Nasional (dahulu Perikatan) terus bertakhta di puncak kekuasaan tanpa pernah tewas di gelanggang pilihanraya. Tetapi sejauh mana politik Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai politik matang? Artikel ringkas yang ditulis oleh penulis ini cuba untuk memaparkan dan menggali fakta secara akademik walaupun tajuk yang penulis pilih ini boleh menjadikan penulis  sebagai sasaran kutukan dari pengikut PR khususnya. Struktur artikel ini akan penulis bahagikan kepada beberapa bahagian iaitu bab pengenalan kepada sistem pemerintahan dan pilihanraya Malaysia, bahagian kedua penulis cuba menganalisis berkenaan siapa “pembangang” yang penulis  maksudkan seperti tajuk artikel, dan bahagian ketiga tentang persamaan pembangkang dan “pembangang”.

Artikel ini adalah pandangan , pengamatan dan analisis ringkas penulis berkenaan isu-isu yang melingkari kehidupan masyarakat hari ini. Pendapat penulis adalah tiada orang sebenarnya mampu menafikan mereka bebas dari cengkaman politik dan tidak mahu mengambil kisah tentang politik, kerana politik adalah perkara terpenting dalam kehidupan. Ketenangan jiwa datangnya dari masyarakat yang harmoni, masyarakat yang harmoni pula datangnya dari mutu kehidupan atau kos sara hidup yang mantap (ekonomi), dan ekonomi yang mapan lahir dari kestabilan politik, kerana melalui kestabilan politik menyebabkan ekonomi negara berkembang dengan baik,pelabur-pelabur asing yakin dengan kestabilan ekonomi dan politik negara, dasar-dasar yang baik untuk kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan melalui political will [1], serta meningkatkan taraf ekonomi , mutu sara hidup dan sosial rakyat.Sekiranya taraf ekonomi rakyat berkembang dan dalam keadaan yang baik, maka pembentukkan keluarga dan komuniti masyarakat yang sejahtera dapat dicapai seterusnya penghasilan akhlak yang baik dan modal insan yang berkualiti dapat dilahirkan, dan itulah ketenangan jiwa oleh setiap makhluk yang bernama manusia bagi penulis.

Sistem Pemerintahan dan Pilihanraya Malaysia

Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen , kecuali bagi suatu tempoh yang singkat iaitu antara tahun 1969-1972 yang diletakkan di bawah MAGERAN yang diberikan kuasa luar biasa melalui pengisytiharaan darurat, rentetan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969yang hampir-hampir membawa negara ke dalam satu kancah perang saudara dan bencana besar.[2] Yang Dipertuan Agong (YDPA) yakni ketua majlis raja-raja Melayu sebagai ketua negara. Ciri-ciri utama sistem politik negara yang lain ialah Dewan Negara (Senat) dan Dewan Rakyat (Dewan Perwakilan yang kerusinya amat didambakan oleh BN dan PR untuk memerintah negara) merupakan badan penggubal undang-undang yang utama dan kehakiman yang bebas. Di bawah struktur pentadbiran persekutuan ,sebuah badan eksekutif cara kabinet bertanggungjawab kepada badan perundangan yang dipilih. Sejak merdeka,negara hanya diperintah oleh sebuah kerajaan campuran yang berbilang kaum (BN) dan UMNO merupakan rakan kongsi yang dominan.[3] Perdana Menteri Malaysia lazimnya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN sehingga kini. Walaupun jawatan Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas hanya untuk orang Melayu tetapi itulah hakikat dan ia difahami oleh parti komponen BN , ia secara tidak langsung melambangkan ikatan persefahaman yang kolektif dan jitu dalam BN.

Pilihanraya adalah menifestasi terhadap amalan demokrasi di Malaysia dan pada pendapat penulis, sebenarnya demokrasi tulen tidak pernah wujud di mana-mana negara moden pada hari ini. Yang hanya wujud adalah demokrasi saduran yang juga mengandungi elemen autokratik dan feudalsime terutamanya di negara kita ini. Pilihanraya Malaysia adalah alat untuk parti-parti politik dan politikus mendapatkan kuasa mentadbir negara dengan memenangi kerusi majoriti di parlimen. Buat masa ini kerusi parlimen adalah sebanyak 222 selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya dan BN memenangi sebanyak 134 kerusi dan PR melalui DAP, PKR dan PAS sebanyak 88 kerusi yakni sama banyak dengan kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada PRU13. Sayangnya, pada pemerhatian penulis, politikus lebih menjadikan kuasa politik sebagai matlamat berbanding menjadikan ia sebagai alat. Penulis berpegang kepada prinsip bahawa politik adalah alat bukan matlamat, kerana matlamat akhir adalah kesejahteraan rakyat marhaen. Kerana ingin dan rakus mendapatkan kuasa, maka kita dapat lihat banyak tindakan-tindakan politik yang tidak matang digendangkan oleh kedua dua pihak bagi memenangi hati rakyat. Penulis berpendapat, pada situasi politik negara waktu ini, baik BN mahupun PR masing-masing banyak keburukkan dan ketempangan yang jelas terlihat dan sebagai rakyat, penulis beranggapan ini adalah masa untuk memilih parti mana yang kurang melakukan keburukkan kerana ternyata di mata penganalisis politik seperti Prof Dr Agus Yusof, Prof Madya Dr Ridhuan Tee, Dr Zaini Othman dan Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid kedua dua entiti ini harus mengurangkan keburukkan dan kesilapan mereka di mata rakyat.


Malaysia mengamalkan sistem undi elektorial semenjak merdeka lagi dan bukannya undi popular. Undi elektorial ialah undi majoriti kerusi parlimen manakala undi popular merujuk kepada undi dari bilangan sesebuah populasi seperti yang diamalkan oleh negara-negara republik dan kepresidenan.Pada PRU13 baru baru ini, kita menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah BN tewas dalam undi popular tetapi masih mengekalkan majoriti undi elektorial manakala PR buat pertama kalinya juga memenangi undi popular. Terdapat juga suara-suara mereka yang pro pembangkang menyatakan BN telah tewas dan sepatutnya PR yang memerintah, tetapi mengapakah dakwaan ini tidak pernah timbul pada 12 edisi PRU yang lalu?Dan tahukah mereka negara mengamalkan undi elektorial sejak berzaman lagi? Tepuk dahi, tanyalah akal dan akal akan memberitahu jawapannya ada pada ilmu![4]

Siapa “pembangang”?

Perbezaan istilah dan definisi antara penyokong (dalam istilah alam cyber sebagai macai),aktivis dan politikus amat berbeza sebenarnya. Penyokong atau “macai”  ini secara amnya adalah pengikut tegar yang hanya mendengar, mengkaji dan dipengaruhi oleh sesuatu fahaman politik tanpa membuka hati dan akal menimba ilmu secara ilmiah. Bahan-bahan rujukan mereka hanyalah akhbar terbitan sesebuah parti sahaja, mendengar video-video dan ceramah-ceramah tokoh-tokoh tertentu parti yang diminati, bersosial di laman sosial dengan tarikan yang kuat terhadap blog dan laman pro parti yang dipercayai oleh mereka sahaja. Aktivis pula adalah mereka yang terpelajar tetapi menjadikan ideologi politik sesebuah parti sebagai pegangan mereka,Aktivis lazimnya adalah golongan baris hadapan memperjuangkan sesuatu isu dan kefahaman politik mereka sama ada secara diplomasi ataupun radikal. Selain itu aktivis politik sejati adalah orang-orang yang mempunyai idealisme dan prinsipnya sendiri dalam dunia politik, tak kiralah samada mereka mendapat gelaran atau jawatan tertentu dalam dunia politik ataupun tidak, namun tetap setia pada idealisme dan prinsip yang dipegang lalu memberikan sumbangan idea dan semangatnya dengan caranya sendiri. Mungkin melalui penulisan, forum atau dialog atau mungkin dengan sekadar bersembang santai dengan masyarakat sekitar sambil mewarnai pola berfikir mereka dengan idealisme dan prinsip politik yang diyakini benar.[5] Mereka ini lazimnya dari golongan terpelajar, dan pemikir yang tidak mudah goyah pegangannya atau “lompat parti”.

Politikus pula atau ahli politik ialah orang-orang yang menganggotai sesebuah pertubuhan dan parti politik dengan jawatan-jawatan yang diperolehi . Ahli politik adalah seorang individu yang terlibat di dalam politik untuk memegang kuasa di dalam perkhidmatan awam/kerajaan.Di dalam demokrasi Barat, perkataan ini secara umumnya lebih menjurus kepada mana-mana pegawai yang ingin mengekalkan kedudukan mereka menerusi kempen-kempen pilihan raya.[6]Mereka ini pada pandangan penulis lazimya adalah seorang oportunis, licik, seorang pemidato hebat, pintar berdebat dan juga kuat keinginan mencapai sesuatu.

Perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini adakalanya menjadi satu iaitu “pembangang”. Mungkin agak kasar penggunaan istilah yang penulis gunakan tetapi anggaplah ia sebagai ubat yang pahit tetapi terkandung penawarnya. Tidak kira BN atau PR mereka juga ada barisan “pembangang” sendiri yang meyokong membuta tuli dan membela mereka tanpa ragu-ragu. Sebagai contoh, penulis melihat khususnya di laman cyber (FB) , rata-rata mereka menegakkan pendapat dan saling menghentam tanpa ada nilai-nilai ilmiah dan secara tidak langsung menampakkan rantaian ganas kejumudan yang melingkari leher mereka. Perhimpunan-perhimpunan yang dikelolakan oleh PR contohnya dihadiri lebih ramai golongan “pembangang” daripada aktivis dan pemimpin politik PR , natijahnya, penjahanaman terlihat di sini sana. BN juga tidak terkecuali dari kebobrokan “pembangang” mereka. Apabila aktiviti konvoi contohnya dianjurkan oleh pemimpin BN, akan ada aksi-aksi rempit yang memualkan masyarakat sekeliling dan kebaikan dari sesebuah aktiviti itu akan segera terpadam. Itulah kesan yang dibawakan oleh “pembangang” .

Persamaan Pembangkang dan “pembangang”

Pada sesi perdebatan parlimen, rakyat selalu disajikan dengan aksi perdebatan antara YB-YB dari BN dan PR melontarkan soalan, hujah dan tidak ketinggalan provokasi sesama mereka. Penulis berasa kesal apabila pada suatu sesi perbahasan, apabila YB dari BN  mengusulkan sesuatu cadangan yang pada dasar akademiknya adalah baik untuk rakyat khasnya bangsa Melayu/Bumiputera, YB-YB dari PR khususnya DAP akan segera membangkang dengan menyatakan kesaksamaan antara kaum dari segi bantuan dan peruntukan harus seimbang dan membangkang dengan sekerasnya usul penambahbaikan taraf hidup Bumiputera dipersetujui. Nama-nama seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Teressa Kok, Tian Chua, Gobind Singh Deo adalah antara figura politik yang kerap membantah usul yang membawa kemajuan kepada Bumiputera dan nasional dengan alasan konsep kesaksamaan. Antara usul yang dibantah adalah Bahasa Melayu dan isu sekolah vernakular.

Bagi penulis,seharusnya agenda nasional yang berteraskan Bumiputera harus didaulatkan dan sekolah sekolah vernakular ini sebenarnya menyemai semangat perkauman dan melahirkan golongan ultrakiasu yang jauh menyimpang dari semangat kebangsaan dan tidak akan ada warna Malaysia.Yang hanya ada adalah semangat “kecinaan” yang begitu tebal sehinggakan bahasa kebangsaan tidak dapat dikuasai dengan baik serta lahirnya masyarakat yang mempunyai jurang sosial antara kaum yang begitu luas. Seperti mana kenyataan Dr Ridhuan Tee,”Apalah erti tinggal dalam sebuah negara merdeka ini, jika agenda negara langsung tidak dipedulikan. Inilah akibatnya jika kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan perkauman (vernakular).Lebih malang lagi apabila ada di antara kita yang tidak sanggup merombak kurikulum Unified Examination Certificate (UEC) disesuaikan dengan jati diri negara, hanya kerana jika rombakan dilakukan sijil tersebut tidak diiktiraf oleh Taiwan dan China.[7] Persoalan yang berlegar di minda penulis, penting sangatkah pengiktirafan dar negara tersebut sekiranya mereka mengakui yang mereka adalah rakyat Malaysia? Perkara ini jugalah yang dipertahankan oleh DAP ,manakala PAS hanya membisu seribu bahasa tanpa bingkas mempertahankan usul YB dari BN yang mengusulkan sudah sampai masanya Malaysia mengamalkan sekolah satu aliran atau menambah masa pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular, sedangkan itu adalah agenda Melayu yang menjadi teras agenda nasional,pun tidak dipertahankan oleh PAS.


Bagi penulis, kesaksamaan dan keadilan sosial bukan boleh diukur menggunakan konsep 3=3, tetapi harus diletakkan kepada yang lebih berhak melalui pembahagian kek ekonomi dan sosial yang adil. Bumiputera sebagai bangsa peribumi dan bangsa majoriti harus mendapat hak yang selayaknya berpandukan populasi dan hak yang termaktub di dalam perlembagaan. Pembangkang seharusnya menjadi check and balance kepada kerajaan dan tidak membangkang dengan membabi buta sahaja sekalipun mereka digelar sebagai pembangkang.

Seandainya mereka hanya tahu membangkang dengan membabi buta dan diam apabila suatu perkara yang salah disuarakan oleh rakan politik mereka, maka tiada beza untuk mereka antara pembangkang dan juga “pembangang” dan di situlah titik persamaan antara kedua duanya. Sebagai politikus yang diberikan mandat oleh rakyat, mereka seharusnya menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya dan tidak meletakkan agenda politik peribadi sebagai matlamat utama. Kuasa adalah suatu pinjaman, ia boleh hilang atau ditarik balik pada bila-bila masa sahaja seperti yang pernah berlaku terhadap Dato Sri Anwar Ibrahim.

Konklusi

Oleh itu, politik dan kenegaraan adalah sebuah bidang yang sangat kompleks skopnya dan ia bukan suatu perkara atau cabang ilmu yang boleh dibicarakan semata-mata mengikut teori logik semata, tetapi pelbagai teori dan metodologi penyelidikan fakta seperti idiosinkratik, realism dan idealism, teori konspirasi ,serta sistemik dan pengaruh luar harus di ambil kira oleh si pembicara tatkala lembaran halaman politik ingin ditelaah dan dibincangkan.Penulis akan cuba menulis dan menganalisis berkenaan persoalan faktor idiosinkratik pemimpin dan dasar-dasar politiknya selain melihat faktor luaran yang mempengaruhi pembuatan keputusan atau dasar politik seseorang pemimpin itu.

-MHB-




[1] bermaksud kehendak politik dan kemahuan politikus menjalankan pemerintahan dan pentadbiran dengan berkesan. Tanpa political will yang berkesan,maka pentadbiran yang licin tidak dapat dijalankan.
[2] GKA Kumaraseri, 1995, Diplomasi Profesional dan Pengurusan Hal Ehwal Luar Negeri : Pengalaman Malaysia, DBP, Kuala Lumpur,hal 49.
[3] Rujuk Gullick,John dan Bruce Gale,1986,Malaysia and Its Political and Economic Development.Pelanduk Publisher,Petaling Jaya dalam GKA Kumaraseri, 1995, Diplomasi Profesional dan Pengurusan Hal Ehwal Luar Negeri : Pengalaman Malaysia, DBP, Kuala Lumpur,hal 49.
[4] ilmu sejarah pembentukan negara, kontark sosial,perlembagaan, politik dan kenegaraan.
[7] Dr Ridhuan Tee Abdullah,2010,Apabila Agenda Bangsa Menguasai Agenda Negara dalam Melayu Menjadi Minaroti dalam Majoriti,2013,Utusan Publications,Kuala Lumpur.hal 59

Rabu, 13 November 2013

MALAYSIA DALAM KRISIS IRIAN JAYA : Aktor-aktor yang terlibat.

oleh Hisyam Hj Basabah, 13/11/2013.copyright

Irian Jaya ( kini Papua )


Pada masa perang dingin,peta politik global lebih banyak dipengaruhi oleh percaturan antara dua kuasa besar dunia dan peranan state adalah amat dominan dalam mewarnai percaturan politik antarabangsa. Namun setelah berakhirnya Perang Dingin, politik dunia dihiasi pula oleh kemunculan aktor non-state seperti organisasi-organisasi antara pemerintah di pelbagai peringkat.Sebagai contoh,beberapa organisasi pemerintah di peringkat global adalah seperti PBB, Bank Dunia,WTO,International Labour Organization,dan juga International Atomic & Energy Agency(IAEA).
           
Selain itu,terdapat juga beberapa organisasi peringkat regional seperti ASEAN,OIC,NAM,OPEC,NATO & G7 yang menjadi contoh kepada pemerintah yang berbentuk organisasi di peringkat serantau dan terhadap Negara-negara yang mempunyai persefahaman dalam sesuatu isu..Selain organisasi pemerintah berkembang pula organisasi bukan pemerintah dan bukan perusahan iaitu INGO.Sebagai contoh,Greenpeace,Human Right Watch,dan Refugee International yang menjalankan fungsi sebagai badan penggerak kepada organisasi pemerintah seperti PBB dan juga organisasi yang berbentuk pemerintah yang lain.Organisasi dan juga aktor-aktor yang dijelaskan tadi mempunyai pengaruh secara langsung dan juga tidak langsung kepada konflik Papua ini.
           
Menurut kajian pasukan kajian Papua ,LIPI tahun 2004,secara anggaran besar terdapat 3 aktor utama yang terlibat dalam konflik di Papua dan beberapa isu di peringkat domestik juga di peringkat antarabangsa iaitu state,society dan market.Tiga perkara ini adalah aktor yang terpenting dalam menganalisis permasalahan yang wujud dalam konflik Papua ini.Aktor state iaitu Negara luar yang terlibat dalam isu Papua ini antaranya ialah Australia.Ini kerana,kedudukan Australia yang amat dekat dengan wilayah Papua dalam kedudukan georgrafi amat penting kerana Australia mempunyai pengaruh yang amat jelas di Negara-negara Pasifik Selatan.Kanada juga mempunyai pengaruh politik dalam konflik Papua ini dengan dorongan pemerintah kanada yang bijak secara eksplisit dengan menyokong implementasi autonomi khusus di Papua secara konsekuen berdasarkan undang-undang 21,tahun 2001 dengan menghormati hak rakyat Papua.Selain iti,Senegal iaitu salah satu Negara di Afrika yang secara jelas menyokong kemerdekaan Papua daripada Indonesia.Ianya adalah berdasarkan pada fahaman negritude solidritasi antara ras kulit hitam seluruh dunia.
             
Negara-negara Asia seperti Malaysia,Filipina,Korea Selatan,Jepun,China dan India juga tidak ketinggalan mempunyai peranan dan kepentingan sama ada dalam ekonomi dan juga politik terhadap konflik yang berlaku di wilayah Papua,Indonesia ini.Sebagai contoh bagi menunjukkan kepentingan wilayah Papua kepada Malaysia,Papua adalah pengeksport kayu utama di Malaysia iaitu 70%.Hal ini jelas menunjukkan kepentingan wilayah Papua kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi Malaysia.Analisis terhadap konflik di wilayah Papua ini sebenarnya secara tidak langsung mengheret Malaysia mendepani persoalan mengapa Malaysia tidak begitu kritikal dan lebih banyak mendiamkan diri dalam konflik Papua ini?Jika kita mengkaji berkenaan  kepentingan ekonomi dan juga politik,ia adalah sebab utama mengapa Malaysia seperti mahu tidak mahu terlibat dalam konflik Papua ini walaupun ia melibatkan kebebasan dan hak rakyat Papua dalam menentukan kerajaan sendiri.Hal ini kerana,dalam sudut kepentingan ekonomi selain Papua adalah pembekal utama kayu ke Malaysia,Papua juga adalah wilayah yang terdapat syarikat-syarikat Malaysia yang menjalankan kegiatan ekonomi dalam bidang perladangan dan juga hartanah seperti syarikat Guthrie dan juga Golden Hope.Malaysia,dalam bidang politik pula tidak mahu melukakan hati Indonesia,tambahan pula Malaysia dan Indonesia mempunyai pertalian yang amat-amat rapat dalam hubungan diplomatik selain mempunyai pelbagai persamaan dari rumpun bangsa,bahasa,bahasa dan budaya yang sama.Ini adalah sebab mengapa Malaysia lebih banyak berdiam diri daripada bersuara terhadap konflik di wilayah Papua.

-MHB-
Penulisan penulis ketika alam pengajian

KONFLIK ARAB-ISRAEL : BUKTI KEGAGALAN DIPLOMASI

Israel yang dikelilingi oleh negara-negara Arab


Konflik arab Israel merupakan salah satu bukti kegagalan diplomasi disebabkan masalah ketidakkeselamatan dalaman antara  negara Israel dan pihak Palestin. Hal ini dapat dilihat dengan kegagalan perjanjian Oslo yang telah ditandatangani di antara kedua-dua pihak. Perjanjian Oslo ini ditandatangani antara Israel dan pertubuhan pembebasan palestin (PLO)  di Washington DC. Dalam perjanjian ini Israel di tuntut supaya mengiktiraf PLO, berundur dari semenanjung Gaza dan JericHo dan beberapa lagi pengunduran tambahan yang tidak dikhususkan dalam tempoh sementara selama lima tahun. Namun antara penyebab utama kegagalan diplomasi diantara Israel dan PLO adalah disebabkan oleh faKtor dalaman Israel itu sendiri yang mana sering kalinya pertukaran pucuk kepimpinan Israel menyebabkan kegagalan persetujuan yang telah ditandatangani. Keghairahan pemimpin Israel iaitu Simon Peres dalam proses Oslo menjadi punca kepada proses perjanjian namun demikian pembunuhan Yitzhak Rabin telah menukar pendirian beliau dari ingin menggerakkan proses kerjasama kepada sebaliknya. Pembunuhan Rabin dan latarbelakang pembunuhan itu menimbulkan masalah kepada Israel dalam menerusan proses perundingan yang telah dipersetujui.

Selain itu keradikalan tentera Israel dalam dua dekat sebelumnya memainkan peranan dalam menghancurkan proses damai. Hal ini kerana ejen yang menggerakkan pembunuhan keatas Rabin juga merupakan ejen yang bekerja bagi pihak gerakan fundamentalis dalam pasukan keselamatan Israel. Sejak 1967 tentera Israel menjadi radikal disebabkan unsur ekstrem yang berkembang subur dalam masyarakat Israel. Perjanjian ini ditambah lagi Peres yang dahulunya inginkan proses perdamaian nampaknya telah mengambil langkah menggunakan kesempatan ini untuk kepentingannya. Beliau menjadi agresif dengan mengeluarkan arahan arahan pembunuhan seorang rakyat Palestin Islam radikal yang berada dibawah keselamatan Palestin walaupun pada masa itu Hamas mengurangkan operasi memerangi pihak Israel. Hal ini telah menyebabkan kepada kitaran keganasan yang baru berlaku di mana meningkatnya semula aktiviti gerakan Islam seperti serangan berani mati oleh pihak Hamas dan seterusnya merencatkan proses damai di antara Israel dan Palestin. Orang Yahudi yang berasa tidak selamat dengan keseluruhan proses damai tersebut lalu mengundi Netanyahu dan mendukung idea populisme. Akibat terdesak oleh tuntutan baru masyarakat Israel untuk keselamatan, Netanyahu menangguhkan pelaksanaan perjanjian yang telah ditandatangani oleh tampuk pemerintahan sebelumnya supaya seluruh proses itu akhirnya lenyap dan perjanjian Wye River telah menyebabkan kejatuhan Netanyahu dan di gantikan dengan Ehud Barak.

Ehud Barak yang memegang kuasa untuk mendapat jaminan keselamatan yang lebih besar kepada rakyat Israel mendakwa proses damai yang dijalankan berasaskan resolusi 242 majlis keselamatan PBB tidak memerlukan Israel untuk berundur kerana Ehud Barak mendakwa tidak pernah wujud sempadan antarabangsa yang telah dirersetujui di antara Israel dan tebing barat. Ehud Barak juga dilihat enggan melakukan sebarang pengunduran baru sehingga rangka rundingan akhir dicapai. Hal sebegini telah menyebabkan terencatnya perundingan yang telah dipersetujui diantara Israel dan Palestin.

kegagalan diplomasi di timur tengah khususnya dalam konflik arab Israel bukan sahaja dapat dilihat di negara Israel dan di pihak palestin  itu namun ia juga dapat dilihat dengan peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat sebagai orang tengah kepada rundingan di antara pihak Israel dengan PLO. Dasar Amerika Syarikat ini berubah-ubah dalam setiap perundingan yang telah di buat. Ia berubah daripada peranan sebagai pemudah cara, menjadi tuan rumah kepada pihak yang terlibat hinggalah kepada ‘rakan kongsi penuh’ yang menentukan kompromi dan mengenakannya keatas rakan kongsi mereka yang lemah. Secara keseluruhannya, amerika syarikat sebagai kuasa diplomatic dan politik yang merangka kompromi dan menulis surat jaminan kepada pihak yang terlibat. Kemudian, amerika syarikat menjadi hakim, juri dan pendakwa raya secara serentak.

Washington adalah pihak utama yang bertanggungjawab atas kegagalan proses Oslo kerana dasarnya yang ingin memuaskan hati Israel dan pengabaiannya ke atas pengesahan antarabangsa pasti akan membawa kepada kegagalan. Sebaik sahaja tercetusnya bantahan ke atas proses proses damai yang tidak adil itu dan Israel menggunakan helikopter yang dilengkapi senjata, kereta kebal dan kenderaan perisai buatan amerika bagi menumpaskan penunjuk perasaan palestin, setiausaha Amerika Syarikat yang pada ketika itu Madelaine Albright, mendesak mereka supaya ‘mengawal diri’ dan memuji ‘komitmen barat kepada keamanan’. Manakala Arafat dituntut supaya menghentikan perbuatan membaling batu dan mengganas.

Terdapat empat faktor mencirikan usaha diplomatic Amerika Syarikat sejak persetujuan Oslo yang ditandatangani di perkarangan Rumah Putih pada 13 september 1993. Pertama, hubungan ideology-strategi debgan Israel. Kedua, tekanan politik dalaman, terutamanya daripada pelobi-pelobi Israel, iaitu lobi paling terkenal disebabkan kemampuannya menaikkan, menjatuhkan atau menghalang kerjaya politik dan anggota kongres. Ketiga, keasyikan dengan penubuhan zon perdagangan yang dikuasai oleh Amerika Syariakat dan kerjasama keselamatan di Mediterranean timur yang disetai Turki. Keempat, memastikan masyarakat antarabangsa, penguasa undang-undang dalam negara Amerika Syarikat dam PBB tidak terlibat dalam proses penyelesaian konflik itu.

Tindakan Amerika Syarikat yang dilihat bias dalam perundingan Oslo ini dapat dilihat dengan prinsip yang diadakan oleh pihak Amerika Syariakat yang mana prinsip yang telah ditetapkan perlu dihormati sepanjang masa rundingan yang dijalankan bagi memastikan prose situ berterusan. Iaitu memastikan kestabilan dan kesejahteraan politik dan ekonomi Israel dan menawarkan sokongan penuh dan tanpa syarat kepada kerajaan Rabin, Peres dan Barak, serta mengesahkan kerajaan kepimpinan Netanyahu dan Sharon. Selain itu, Amerika Syarikat telah menerima sepenuhnya hujah keselamatan Israel dengan alasan Israel lebih tahu mengenai keselamatannya daripada pihak lain selain mengekalkan keungulan tentera Israel mengatasi gabungan semua negara lain di rantau ini. Amerika syarikat telah mengekalkan undang-undang dan kuasa tentera yang tidak seimbang di antara Israel dengan palestin supaya palestin terus bergantung kepada Israel. Selain itu, dari segi moral, Amerika Syarikat telah menunjukkan tingkah laku moralyang tidak seimbang antara Israel dan palestindengan melebihkan negara zionis yang ‘demokrasi’ dan ‘pemurah’ yang prinsip moralnya jauh berbeza daripada rakyat palestin yang ‘tidak bersyukur’ dan ‘tidak beradab’. Terakhir sekali Amerika Syarikat telah memastikan semua usaha dan tindakan yang diambil dalam proses ini diselaraskan dengan Israel terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke meja rundingan.

Dalam konteks ini, Amerika Syarikat dilihat bukanlah ‘pendamai’ yang sebaiknya. Hal ini kerana Amerika Syarikat dilihat bersifat memaksa dalam pendekatannya dan wawasannya pula bersifat penjajah. Sikap berat sebelah Amerika Syarikat kepada sekutunya Israel kepada Palestin sebagai ‘cadangan damai Amerika Syarikat’. Apabila Palestin menolak cadangan tersebut, Washington mengatakan Palestin tidak mematuhi kandungan dan semangat kesahan antarabangsa. Selain itu Amerika Syarikat berikrar akan menyokong Israel jika Zionis mengambil ‘risiko’ yang perlu bagi keamanan, dan berjanji akan terus berada dipihak Israel jika ‘risiko’ itu dirasakan terlalu besar. Dengan kata lain Israel kebal daripada sebarang tekanan jika ia enggan melaksanakan perjanjian itu atau mencabul resolusi PBB yang menjadi asas rundingan tersebut terutamanya resolusi 242 PBB yang meminta supaya pertukaran wilayah dilakukan bagi mencapai keamanan.

Dalam proses diplomasi diantara Israel dan juga palestin, Amerika syarikat dilihat telah menggunakan ‘diplomasi memaksa’ dalam menyelesaikan masalah diantara kedua-dua pihak. Amerika Syarikat dikatakan telah memberikan janji- janji ‘ manis’ kepada Israel dan telah mengugut Palestin. Amerika Syarikat telah mengguna pakai pendirian Israel apabila ia menuntut perjanjian damai sebagai syarat pengunduran separa dan bukan pengunduran sebagai perintis jalan bagi perjanjian damai selepas 33 tahun ia menduduki Palestin. Semasa pentadbiran Clinton, beliau mengabaikan isu penempatan dan merujuk isu ini sebagai ‘tidak membantu’ bahkan ia bukanlah menghalang proses damai kerana Clinton telah meneruskan usaha damai ketika kegiatan penempatan masih diteruskan.

Selain itu, timbalan setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Timur Tengah, Robert Pelletreau, telah memberitahu kepada kongres bahawa peluasan penempatan, selepas perjanjian Oslo bukan lagi penghalang kepada proses damai tetapi hanya faktor yang merumitkan proses damai. Selain itu, Robert Pelletreau mengatakan peluasan penempatan tidak bercanggah dengan perisytiharan prinsip. Amerika Syarikat juga melihat peluasan penempatan oleh Yahudi di baitulmuqaddis tidak dianggap oleh kuasa hegemoni itu sebagai tindakan satu pihak yang menjejaskan keputusan rundingan status akhir. Dengan apa yang dikatakan dan tindakan oleh Amerika Syarikat ini telah menyebabkan proses diplomasi diantara pihak Israel dan Palestin amat sukar untuk diselesaikan.

Kredit to IR Batch 08/11,UMS ( artikel ini bukan hasil penulisan saya, tetapi hasil penulisan rakan-rakan sepengajian, oleh itu saya menerbitkan semula artikel ini sebagai tanda dedikasi kepada mereka )




Bolasepak Johor : Sebuah Perspektif

Bolasepak negeri Johor pernah melewati zaman kegemilangannya sebagai sebuah kuasa besar bolasepak negara pada akhir 80an dan awal 80 an yang mana kemuncaknya Johor menjuarai Piala Malaysia pada 1986 dan 1991, yang boleh diibaratkan sebagai piala keagungan bolasepak Malaysia. Tetapi selepas itu, Johor mulai hilang secara beransur-ansur dari peta kegemilangan bolasepak Malaysia dan ia diburukkan lagi dengan skandal rasuah yang melanda arena bolasepak negara. Kemalapan pasukan negeri dan kelab Johor berlarutan hingga ke tahun 2013 yang mana secara tiba-tiba ramai yang memperkatakan sebuah kelab yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC kini melalui penjenamaan semula sebagai Johor Darul Takzim FC (JDT) . 

Seluruh negeri Johor khasnya dan negara amnya mulai memperkatakan berkenaan pasukan ini sama ada dalam nada positif mahupun negatif dan sebagai anak jati negeri Johor juga aku tidak terkecuali terkena tempias ini. Kini di mana sahaja aku pergi pasti terlihat sosok mereka tidak kira tua atau muda waima pakcik yang berumur 60 tahun serta anak kecil yang masih bayi mengenakan jersi pasukan JDT. Ia suatu fenomena yang tidak pernah aku lihat sebelum ini, malahan tidak pernah terlintas di fikiran aku. Ketika aku masih di alam pengajian, pasukan Johor adalah sebuah pasukan belasahan dan pada waktu itu juga pasukan seperti Kedah dan Kelantan adalah kuasa besar bolasepak negara. Oleh kerana pada ketika itu aku mempunyai ramai rakan-rakan dari Kelantan, ketika aksi final yang melibatkan Kelantan,aku diheret oleh teman-temanku agar menyokong Kelantan.Sungguh sadis keadaan aku ketika itu, dan agak kejam perlakuan rakan-rakanku membuli seseorang rakan berasal dari negeri yang mempunyai pasukan bolasepak negeri tang tidak segagah pasukan mereka! Mahu tidak mahu, aku juga ikut bersorak apabila pasukan Kelantan menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Walaupun sorakkanku tertumpu untuk meraikan kemenangan pasukan Kelantan, tetapi dalam benakku aku sempat berimaginasi bahawa alangkah indahnya jika pasukan yang menjaringkan gol dan menjulang piala itu adalah pasukan JOHOR! Penulisan aku ini adalah dari perspektif peribadi aku sebagai peminat kecil bolasepak negara dan Johor.Aku bukan seorang pakar atau penganalisis sukan tetapi aku berpegang dengan perlembagaan persekutuan yang mengizinkan kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang,dan menyentuh sensitiviti orang lain. (Sekiranya ada, aku memohon sepuluh jari tanda kemaafan) Perkembangan pasukan JDT ini bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) mula mengambil alih jawatan sebagai Presiden PBNJ dan beliau melakukan transformasi besar-besaran dengan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain ternama negara dan pemain-pemain import yang mempunyai nama yang agak besar. Aku melihat kebanyakkan penyokong-penyokong negeri lain ada yang kurang senang dengan dasar ini kerana bagi mereka pasukan JDT sebuah pasukan yang rakus berbelanja besar dan "merembat" pemain-pemain tonggak negeri masing-masing, dan jika dilihat dengan mata kasar sememangnya benar dan mungkin juga faktor ini menyumbang kepada kebencian mereka terhadap JDT. Rata-rata pula pemain yang menyarung jersi JDT bukan berasal dari negeri Johor, dan ia menguatkan lagi dakwaan mereka pasukan JDT menggunakan wang untuk membeli bakat pemain. Sebagai peminat bolasepak negeri Johor aku agak kurang setuju PBNJ membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli pemain-pemain ternama. Ya, aku mengakui betapa nama-nama besar harus ada dalam memperkuatkan pasukan tetapi janganlah majoriti pemain di dalam pasukan bertaraf " superstar"..Pelbagai faktor negatif boleh memberikan kesan terhadap pasukan dan pemain antaranya ialah ia secara tidak langsung membunuh karier pemain kerana apabila persaingan sengit berlaku antara pemain untuk mendapatkan tempat kesebelasan utama, sudah tentu akan ada yang tersingkir, natijahnya apabila pemain yang dalam ketogori "A" ini kerap tidak bermain, ia juga memberi kesan terhadap mutu permainan mereka. Fakta kes : Safee Sali. Selain itu, menurut pemerhatianku kebanyakkan pasukan yang dibanjiri pemain bintang sukar memperagakan aksi berpasukan dalam erti kata sebenarnya.Kebanyakkan dari mereka lebih senang bermain secara individu sekalipun bolasepak adalah sukan berpasukan. Ia juga menjadikan yuran perpindahan para pemain beserta gaji mereka melambung dengan begitu tinggi. Mungkin faktor ini tidak memberi apa-apa masalah kepada pasukan kaya atau pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh tetapi bagaimana pula pasukan negeri yang keadaan kewangan mereka goyah? Sebagai contoh pasukan Perlis, pada suatu ketika dahulu antara pasukan yang menjadi pencabar terkuat dan salah sebuah kuasa besar bolasepak negara pada tahun awal 2000, kini tidak mampu lagi membayar gaji pemain mereka, dan dengar kata pasukan Perlis tidak bermain di dalam liga Malaysia dalam waktu terdekat ini. Pasukan seperti Kelantan ( agak boleh tahan kaya) juga menurut berita baru-baru ini terpaksa melepaskan beberapa pemain tonggak kerana tidak mampu memberi gaji seperti yang dituntut oleh beberapa pemainnya.(sesetengah pemain2 tersebut berpindah ke JDT) cuma sebagai pemerhati, aku amat memuji kepada sesetengah pemain Kelantan sekalipun ditawarkan gaji yang sangat lumayan oleh pasukan lain, tetapi masih memilih untuk berkhidmat bersama pasukan Kelantan , fakta kes : Badhri Radzi (Piya). Sejujurnya, aku melihat disebalik kejayaan pasukan Kelantan muncul sebagai kuasa besar bolasepak Tanah Air, adalah kerana semangat, jati diri, serta keinginan yang kuat untuk mengangkat negeri mereka sebagai juara. 

Johor juga mampu menjadi seperti itu dan In Shaa Allah mungkin lebih lagi tetapi bukan dengan terus menerus membeli dan melaburkan jutaan ringgit kepada pemain tetapi membina akademik bolasepak negeri diseluruh pelosok negeri Johor. Seperti mana yang aku lihat, kemasukkan Pablo Aimar ke dalam skuad Johor bukan semata-mata sebagai pemain tetapi untuk pembangunan bolasepak Johor dalam jangka masa yang panjang dengan mencari dan membangunkan bakat-bakat muda anak jati negeri Johor melalui akademik bolasepak negeri. Tetapi apa yang aku harapkan, dibina akademik secara meyeluruh di kesemua 10 daerah dalam Johor tanpa hanya memusatkan pembangunan bakat semata-mata di Johor Bahru. Johor tidak hanya mempunyai Johor Bahru sahaja tetapi juga mengandungi Mersing,Kota Tinggi,Kulaijaya,Kluang,Segamat,Ledang,Muar,Batu Pahat dan juga Pontian.Kerjasama antara PBNJ dan juga Jabatan Belia dan Sukan setiap daerah amat penting selain penjenamaan semula liga bolasepak negeri Johor. Aku berharap selepas ini pembangunan yang holistik mampu dilaksanakan tanpa bergantung dengan pemain luar negeri Johor semata-mata dan jadikan sekiranya boleh, jadikan Johor sebagai pengeksport dan pengeluar pemain-pemain bolasepak yang menjadi rebutan pasukan-pasukan lain di Malaysia.... 

 -MHB-

Selasa, 12 November 2013

NASIB ANAK BANGSA DI IPTS ( coretan pengalaman dan pemerhatian)


Sekilas Pandang.
Sekian lama saya memerhatikan senario pendidikan tinggi di kolej swasta yang beraneka ragam dan rencam, sekian lama juga saya merasakan dosa kepada anak bangsa yang semakin lama semakin tidak tertanggung di bahu kiri saya. Sebagai seorang kakitangan kolej saya juga terikat dengan kesetiaan dan etika ebagai kakitangan kolej yang seharusnya tegar menjaga nama baik kolej sebagai IPTS yang bercita-cita ingin menjadi kolej terunggul di dalam bidang pengajian tinggi negara. Tetapi saya tidak sanggup melihat nasib anak bangsa saya terumbang ambing dek kerakusan sesetengah pihak yang melahap keuntungan atas nama pendidikan kerana bagi saya pendidikan tidak akan seekali menjadi sebuah komoditi yang boleh diniagakan.

Saya merasa terpangil untuk menulis artikel ini adalah tidak lain tidak bukan kerana perasaan kasih dan sayang kepada masa depan dan nasib anak bangsa saya yang belajar di IPTS di negara kita ini.Mungkin sebagai kakitangan kolej swasta, saya mampu berkongsi sesuatu kepada anak bangsa saya khsusnya pemilihan IPT yang terbaik untuk mereka melanjutkan pengajian. Saya juga ingin anak bangsa saya mempunyai cita-cita yang jelas agar mereka tidak tersalah percaturan kerana terpengaruh dengan unit pemasaran IPTS yang begitu licik mempengaruhi mereka agar memilih IPTS yang mereka wakili sebagai destinasi pengajian kepada para remaja lepasan SPM khususnya. Apa yang ingin saya nukilkan dalam penulian ini adalah cetusan rasa selain pengalaman dan pemerhatian saya terhadap senario dan isu pendidikan di IPTS di negara kita.

IPTS  oh IPTS…….
Rata –rata dari kita mempunyai pandangan bahawa syarat kemasukkan ke IPTS adalah sangat rendah dengan hanya perlu mendapatkan 3 kredit sahaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma berbanding 5 kredit untuk pengajian diploma IPTA. Ya, dengan syarat kemasukkan yang longgar itulah memungkinkan pelajar-pelajar yang tercicir dari mendapatkan tempat ke IPTA dapat menyambung cita-cita mereka bergelar mahasiswa dan menggapai pelangi kejayaan sekalipun terpaksa membayar harga yang berlipat kali ganda .Tetapi itulah harga yang harus dibayar oleh anak bangsa yang yang tercicir ke IPTA. Mungkin untuk pelajar-pelajar berketurunan Cina, ia tidak menjadi masalah kerana mereka disokong oleh kewangan yang kukuh dari keluarga selain sesetengah dari mereka yang sememangnya meilih IPTS sebagai destinai pengajian mereka khsusnya di Kolej Universiti Tunku Abd Rahman atau TARC yang dibina hasil usaha MCA sebagai wadah pendidikan terhadap anak –anak Cina walaupun ia juga dibuka kepada semua bangsa. Tetapi penulisan saya ini ingin menyoroti nasib anak bangsa saya iaitu anak Melayu yang berasal dari keluarga pertengahan, keluarga miskin, anak-anak peneroka FELDA dan juga tidak ketinggalan anak petani yang tercicir ke IPTA tetapi bersemangat untuk bangkit semula menggapai impian memajukan diri dan membahgiakan ibu dan ayah.

Sekiranya saya menyenaraikan satu persatu kolej-kolej dan kolej universiti swasta di negara ini, mungkin penulisan ini tidak cukup menampung betapa banyaknya bilangan IPTS di Malaysia dewasa ini. Tetapi sejauh mana IPTS di negara ini berkualiti dalam memastikan pendidikan tinggi yang diberikan kepada pelajar setanding dengan yuran yang dibayar oleh para pelajar? Adakah ia setanding juga dengan infrastruktur dan kemudahan di kolej merangkumi asrama, pusat riadah serta tidak ketinggalan bilik kuliah? Ini kerana, melalui pemerhatian saya, sebilangan IPTS baru di negara ini boleh diibaratkan begitu mengejar keuntungan semata-mata dengan meminggirkan tanggungjawab hakiki mereka untuk membantu anak bangsa yang ingin Berjaya. Saya berkata sedemikian kerana, sesetengah IPTS cuba bertopengkan mereka adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membantu pelajar-pelajar khususnya anak Melayu . Mereka juga tanpa segan silu menjanjikan bulan dan bintang kepada bakal penuntut dengan pelbagai janji yang sebenarnya amat sukar dan hampir mustahil mereka tunaikan. Selepas pelajar ini mendaftarkan diri mereka di IPTS tersebut, barulah para pelajar mengetahui tembelang yang sebenarnya dan pada ketika itu adalah terlewat bagi pelajar kerana segala perjanjian yang melibatkan soal kewangan sekiranya mereka ingin berhenti dari IPTS tersebut terpaksa ditanggung.Mahu tidak mahu, anak bangsa yang pada asalnya meluap-luap semangat ingin Berjaya ini terkubur aspirasinya. Maka bersenang lenanglah pihak yang tidak bertanggungjawab itu dengan mengaut keuntungan hasil pemerasan wang anak bangsa yang terpaksa berhutang dengan pembiaya pelajaran sehingga mencecah ratusan ribu ringgit hanya semata-mata sekeping diploma! Dalam masa yang sama perkhidmatan terbaik tiodak diberikan kepada penuntut dan hanya berkata “nanti, segala infrastruktur tersebut akan siap dalam waktu terdekat”.


Coretan Pengalaman di IPTS
Bukan semua IPTS bersikap sedemikian, malah ada di antaranya yang begitu cemerlang dalam melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan mampu memenuhi aspirasi nasional dengan kepakaran yang mereka perolehi dari IPTS-IPTS tertentu. Tetapi apa yang ingin saya kupas dalam penulisan ini adalah IPTS yang menjadikan pendidikan sebagai komoditi utama bagi mengaut keuntungan dengan mengenepikan nasib anak bangsa terutamanya Melayu. Seperti yang kita sedia maklum, bahawa hamper semua IPT di negara kita mempunyai majlis perwakilan pelajar yang berperanan sebagai mewakili suara pelajar kepada pihak pengurusan selain menjadi perantara antara penuntut dan juga pihak pengurusan IPT dan ia tidak terkecuali IPTS. Persoalannya adalah sejauh mana berkesannya majlis perwakilan pelajar ini di sesetengah IPTS? Penuntut adalah pelanggan dan kolej adalah penyedia perkhidmatan. Sekiranya falsafah “ Customer Always Right” atau “ Customer First” di teliti, maka seharusnya pihak kolej mesti mengutamakan pelajar kerana mereka adalah pelanggan dan tanpa mereka mustahil sesebuah IPTS itu mampu beroperasi dan seharusnya juga tuntutan-tuntutan mereka yang menuntut janji pihak kolej agar mengotakan janji ketika ingin menarik mereka melanjutkan pengajian di kolej tersebut dipenuhi. Dari kaca mata saya sebagai pemerhati, pihak kolej begitu mudah membisukan majlis perwakilan pelajar ini dengan menggertak atau secara diam-diam melakukan sabotaj terhadap keputusan peperiksaan mereka sekiranya mereka agresif menentang dan juga menuntut sesuatu dari pihak kolej.Natijahnya, anggota perwakilan pelajar ini terpaksa mengulang sesetengah subjek untuk lulus dan dalam masa yang sama juga terpaksa membayar ratusan ringgit untuk mengambil peperiksaan ulangan. Ini adalah suatu bentuk penindasan dan persundalan yang nyata dilakukan oleh sesetengah pihak pengurusan IPTS!
Pengalaman saya juga menyaksikan betapa tinggi dan menggunungnya harapan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke IPTS ini kerana beranggapan anak-anak mereka kelak akan menjadi seorang yang berjaya sekalipun puluhan ribu ringgit terpaksa dilaburkan oleh mereka. Ada juga dari kalangan mereka ini yang datang dari pedalaman Sabah dan Sarawak semata-mata terpengaruh dengan “prestij” yang dicanangkan oleh unit pemasaran sesetengah IPTS , dan sekiranya kita perhalusi terlalu banyak yang dikorbankan mereka bukan sahaja wang ringgit tetapi juga perjudian masa hadapan. Bukan seorang dua penuntut dari Sabah atau Sarawak yang saya saksikan terpaksa kembali semula ke kampong halaman kerana berasakan diri mereka tertipu dengan apa yang dijanjikan oleh pihak pengurusan sesetengah IPTS, selain tidak mampu lagi meneruskan kehidupan mereka di kota metropolitan yang segalanya memerlukan wang. 

Saya pernah berhadapan dengan seorang penuntut dari Kedah yang begitu bersemangat untuk melanjutkan pengajian beliau ke salah sebuah IPTS di Johor Bahru, berbekalkan dua buah beg pakaian yang lusuh dan bertemankan seorang bapa yang telah uzur yang mana perkiraan saya umurnya dalam lingkungan awal 70-an, anak muda Melayu ini jika mengikut dari pencapaian SPM beliau adalah dalam katogori pelajar yang cemerlang, bersemangat menyatakan IPTS tersebut mampu menjadikan beliau sebagai anak bangsa yang unggul selain ingin sekali berkhidmat dan berbakti kepada bapanya kelak yang telah uzur. Ketika sesi pembayaran yuran, saya begitu terkejut kerana bapa pelajar tersebut mengeluarkan wang sebanyak RM2000 dari sakunya dan dalam benak saya memikirkan mereka ini mestilah bukan dari calang-calang keluarga sekalipun rupa mereka sangat daif. Setelah saya dan beberapa orang rakan sejawat selidiki, rupa-rupanya bapa pelajar itu hanyalah seorang pesawah yang memerah keringat di bendang selama hampir 4 bulan semata-mata untuk menyediakan RM 2000 sebagai yuran pendaftaran anaknya. Alangkah sedih dan terharunya kami, sehinggakan ada sesetengah rakan tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata kerana terlalu sedih. Kami sepakat membuat keputusan yang sekiranya diketahui oleh pengurusan kolej, sudah tentu kami akan dipecat serta merta dengan memberikan semangat kepada pelajar tersebut untuk menyambung pengajiannya di IPTA kerana beliau tidak ada masalah untuk melanjutkan pengajian ke IPTA berbekalkan keputusannya yang cemerlang di dalam SPM. Kami berasakan ketika itu kewajiban terhadap masa depan seorang anak bangsa jauh mengatasi tanggungjawab kami terhadap majikan dan sekiranya kedapatan, kami rela dipertanggungjawabkan atas tindakan kami ini. Itu adalah secebis pengalaman saya terhadap sebuah persoalan yang kerap dimainkan oleh pihak pengurusan IPTS yang kononnya menganggap mereka sebagai pejuang nasib anak bangsa. Sekiranya ingin menjadi pejuang, anda seharusnya memberikan persekitaran yang kondusif agar ia setanding dengan yuran pengajian yang berpuluh ribu ringgit selain hanya mengambil keuntungan setakat mana kewajaran dan tidak berlebih-lebihan. Ia tidak mencerminkan apa yang anda katakan kerana walaupun kolej anda baru sahaja beroperasi tidak sampai tiga tahun, anda begitu gah membina sebuah kampus yang bertaraf dunia, gah membina ruang pejabat anda yang juga bertaraf dunia tetapi bagaimana pula dengan janji-janji anda kepada penuntut? Sebagai pemimpin,anda seharusnya mempunyai ilmu,dan ilmu yang dimaksudkan itu adalah ilmu memahami keutamaan.Keutamaan “jamaah” seharusnya mengatasi keutamaan sendiri ( keuntungan segera)[1]. Memperbesarkan perkara yang kecil iaitu kehebatan ruang pejabat anda dan mengabaikan perkara yang besar iaitu janji anda kepada penuntut adalah suatu perkara yang merugikan masa hadapan kolej anda kerana sudah semestinya para pelajar akan “berkempen” dalam senyap dengan memburukkan kolej anda dan tidak sesekali mempromosikan kolej anda agar menjadi pilihan dan destinasi adik-adik serta rakan taulan mereka.

Kesimpulan
Saya berharap agar semua IPTS mengutamakan dasar keilmuan sebagai perkara terpenting dan jangan sesekali anda melacurkan pendidikan semata-mata ingin cepat mengaut keuntungan. Berikan pendidikan yang terbaik kepada anak bangsa kerana merekalah penerus legasi kita di hari mendatang…Jangan terlalu enak bermain kata dan retorik untuk menutup segala kepincangan yang berlaku di kolej anda . Berikan hak mereka kembali sebagai “customer” dan jangan jadikan mereka sebagai musuh anda.Harus diingat, terutamanya bagi IPTS yang baru, pemilihan pegawai tertinggi yang akan mengetuai IPTS anda juga harus diambil kira kerana tanpa seorang ketua yang cemerlang, maka hayat institusi pengajian yang anda asaskan akan berakhir dengan segera!

-MHB-






[1] Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah,”Meneruskan legasi pemimpin terdahulu”, Melayu Menjadi Minoriti dalam Majoriti, Utusan Publications,Kuala Lumpur,hal75.