Selasa, 28 Januari 2014

University of Facebook (CAWANGAN MALAYSIA)

Facebook, sebuah laman sosial yang menjadi fenomena. Di sini juga melahirkan ramai "sarjana-sarjana" segera yang perasan bagus!

Universiti Facebook adalah sebuah univeriti yang mempunyai penuntut paling ramai di dunia dan mempunyai cawangan di seluruh dunia. Universiti ini menawarkan pelbagai bidang pengajian dan institut. Keunikan universiti ini adalah pengajian, perbincangan, kuliah mahupun tutorial dijalankan melalui laman maya atau “virtual” dan dikendalikan oleh professor-profesor tidak bertauliah dan merasakan diri mereka bijak. Tetapi bukan itu yang menjadi perkara penting kerana majoriti penuntut di Universiti Facebook ini tidak mempedulikan siapa yang menjadi guru mereka tetapi apa yang lebih penting perkara itu populis dan mampu menjadi viral. Pendek kata, lagi menipu lebih viral dan lagi bagus!

Sesiapa sahaja mampu melanjutkan pengajian ke Unversiti Facebook ini dan sesiapa sahaja mampu menjadi professor asalkan bijak memanipulasikan isu serta tidak gentar dilabel bodoh! Tiada yuran pengajian yang ada Cuma yuran elektrik bagi melayari kuliah ataupun tutorial secara maya, para penuntut pula boleh memasuki mana-mana fakulti yang mereka suka sebagai contoh hari ini menuntut di Fakulti Pengajian Islam, esok Fakulti Sains Sosial dan mungkin lusa menuntut pula di Fakulti Kejuruteraan ataupun Undang-Undang. Yang penting berani berhujah dan berdebat serta yakin bahawa diri adalah betul dan lebih pandai dari orang lain.

Mark Zuckenberg, pengasas " University of Facebook".
Universiti ini diasaskan oleh seorang pemuda negara Uncle Sam yang bernama Mark Zuckenberg menerusi pemerahan otak, pemerhatian secara impirikal dan akademik bagi memahami sosio masyarakat khasnya masyarakat Islam, modal yang penulis sendiri tidak pasti berapa jumlahnya serta sokongan beberapa tokoh zionis agar berdirinya sebuah universiti yang dengan harapan  mampu menyatukan pemikiran serta segala kebodohan bersatu sehingga tiada lagi batasan antara nilai ilmiah dan kebenaran dengan nilai kebodohan dan keegoan. Penubuhan universiti ini selaras dengan cita-cita dan aspirasi kerajaan (hegemoni dunia) untuk mewujudkan sebuah masyarakat dunia yang bersatu padu dalam nilai kebodohan serta mengurangkan seberapa banyak masyarakat yang berpegang kepada prinsip dan nilai ilmiah yang bersandarkan kebenaran. Penulis mengakui masih ramai lagi penuntut-penuntut yang sememangnya berpegang erat dengan nilai intelektual dan kebenaran tetapi golongan ini mengalami keterbalikan di dalam universiti ini yang mana golongan ini pula digelar sebagai golongan yang bodoh dan sering ditertawakan. Mereka juga sering didiskriminasikan serta golongan ini juga membentuk golongan minority yang semakin hari semakin berkurang jumlahnya.

Tutorial dan juga kuliah lazimnya dijalankan melalui kemaskini “post” oleh mereka yang merasakan perlu sesuatu isu itu dikupas dan diberikan pendapat oleh para penuntut yang “bijaksana” dalam sesebuah isu. Sebagai contoh, tiga kursus yang kerapkali mendapat perhatian oleh para penuntut Universiti Facebook cawangan Malaysia ini adalah kursus Sains Politik, Sains Sukan dan tidak ketinggalan Psikologi dan Kaunseling. Ketiga-tiga kursus ini adalah kursus yang paling popular dan mendapat tempat di hati para penuntut serta sarjana-sarjana Univeriti Facebook cawangan Malaysia ini kerana ia mempunyai tarikan yang unik dan hebat selain melalui kursus-kursus tersebut mereka mudah menonjolkan diri sebagai sarjana ataupun intelek Facebook yang mempunyai masa hadapan cerah menjadi popular dan “trending”. Persetankan sahaja nilai akademik dan ilmiah yang memeningkan kepala untuk memahaminya oleh kalangan sarjana tersohor Universiti ini, yang penting kenyataan mereka serta pandangan mereka adalah populis dan mampu menarik minat penuntut-penuntut yang lain. Kenyataan-kenyataan yang perasan bijak semakin menguasai atmosfera univeriti ini dan segala usaha mahupun cita-cita pengasas universiti ini bersana para penajanya semakin hampir Berjaya dan mungkin juga Univeriti Facebook cawangan Malaysia adalah universiti cawangan pertama di dunia yang mencapai standard yang diharapkan oleh “mereka, para penajanya”! Tahniah untuk rakyat Malaysia, tahniah untuk para sarjana-sarjana Facebook di Malaysia!!

Penulis terpanggil untk mengupas serba sedikit berkenaan kenyataan penulis di perenggan ebelum ini iaitu “Sebagai contoh, tiga kursus yang kerapkali mendapat perhatian oleh para penuntut Universiti Facebook cawangan Malaysia ini adalah kursus Sains Politik, Sains Sukan dan tidak ketinggalan Psikologi dan Kaunseling. Ketiga-tiga kursus ini adalah kursus yang paling popular dan mendapat tempat di hati para penuntut serta sarjana-sarjana Univeriti Facebook cawangan Malaysia “. Sebagai salah seorang penuntut juga di Universiti Facebook ini, penulis lebih gemar melihat padagogi pengajian yang berjalan saban hari di laman maya universiti ini. Begitu ramai sarjana-sarjana dan para intelektual Facebook yang bersungguh-sungguh mengupas isu-isu politik khasnya politik Malaysia menggunakan hujah-hujah  yang juga sumbernya didapati melalui gedung-gedung maklumat daripada blog dan laman youtube serta tidak ketinggalan kenyataan-kenyataan politikus pujaan  yang bagi mereka adalah sumber yang sangat sahih dan sangat-sangat tepat apatah lagi sekiranya ia menepati selera dan ideologi mereka. Ada juga sebahagian sarjana facebook ini yang mengeluarkan kenyataan dan teori mereka sendiri bagi menyokong hujah mereka. Begitu hebat para sarjana tidak bertauliah ini dan penulis merasakan sarjana-sarjana dari Harvard Univerity, Oxford University, John Hopkins University, Cambridge University serta tidak ketinggalan di Malaysia Sarjana-sarjana tulen sains politik dari Univeriti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya mahupun sarjana dari universiti yang lain dalam bidang ini pasti terpegun dan tercabar kerana kenyataan mereka tidak mampu menjadi “trending” di atmofera Universiti Facebook ini. Kenyataan-kenyataan yang bersandarkan nilai akademik yang seharusnya diperolehi dari sarjana tulen sains politik dibakulsampahkan sahaja kerana ia memeningkan kepala dan menyusahkan untuk difikirkan!. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sesetengah sarjana ini tidak diketahui sumber sahih yang mana, ia ditulis dan dimuat naik dengan penuh bias, pemuat naik juga kadang kala tidak langsung mengetahui secara ilmiah teori dan apa itu politik tetapi kerana sentimen perasaan yang dibakar oleh sumber-sumber tidak bertanggungjawab maka hasilnya begitu banyak kenyataan-kenyataan yang haprak dikeluarkan oleh para penuntut univeriti ini. Makin haprak, makin baik bagi kerajaan (hegemoni dunia).

Kursus sains sukan juga tidak kurang popularnya di univeriti ini. Di Malaysia, bolasepak menjadi fenomena semenjak sekian lama tetapi dengan adanya facebook, bahang fenomenanya semakin membara. Apatah lagi dengan sentimen kenegerian yang mendasari sokongan para penuntutnya maka teori caci maki menjadi pilihan untuk menjatuhkan moral penyokong negeri lain melalui laman-laman penyokong negeri masing-maing. Melalui perkara ini, semangat kenegerian sedikit sebanyak melunturkan semangat kenegaraan yang sekian lama menyatukan rakyat di Malaysia. Hal ini juga berlaku di dalam politik, kerana berlainan ideologi politik, kecintaan terhadap negara tidak diendahkan lagi oleh sesetengah sarjana-sarjana Facebook yang ekstrim.

Penubuhan Universiti Facebook oleh Mark Zuckenberrg secara umum diketahui adalah sebagai wadah komunikasi rentas sempadan, dan mengapa penulis melabelkan ia sebagai universiti? Ini kerana penulis secara sinikal cuba mengetengahkan persoalan-persoalan berhubung nilai integriti, keintelektualan, perpaduan masyarakat khususnya masyarakat Islam Malaysia, serta penampakan sarjana-sarjana Facebook yang cuba mengetengahkan sesebuah isu mengikut ideologi sendiri berlandaskan emosi. Seharusnya kita menggunakan facebook sebagai wadah penyatuan kerana dengan adanya laman sosial ini, kita dapat membentuk komuniti yang lebih besar seterusnya menerapkan nilai perpaduan yang utuh tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita cuba menunjuk pandai di atas sesebuah perkara yang bukan bidang kita, maka perpecahanlah natijahnya. Marilah kita renungkan sejenak dengan akal dan budi yang celik agar kita mampu mencari sebuah titik persamaan.


-MHB-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan