oleh Hisyam Hj Basabah copyright 11/1/2014
![]() |
Perdana Menteri Malaysia dari Barisan Nasional (Perikatan sebelum 1974) |
Dari rakyat,kepada rakyat dan untuk
rakyat! Terma yang menggambarkan ketulusan demokrasi sebagai sebuah wadah
pentadbiran dan pemerintahan yang memberikan harapan besar untuk rakyat.
Sememangnya demokrasi tulen hanyalah sebuah utopia semata tetapi dengan
pentadbiran yang telus memungkinkan utopia itu mampu dicapai sekalipun bukan
secara mutlak. Sebagai seorang belia, penulis melihat perlunya kita sebagai
rakyat kembali merapatkan saf dengan menyokong dasar-dasar yang baik oleh kerajaan
dan hentikan politik jumud yang membantutkan perkembangan dan kemajuan negara.
Ini kerana, penulis faham pihak kerajaan semestinya sukar melaksanakan
dasar-dasar berkualiti untuk negara sekiranya kerap kali terpaksa berhadapan
dengan serangan pihak-pihak pembangkang dan penyokongnya dengan memainkan isu
politik yang tidak berpenghujung. Kalaulah setiap masa perlu berpolitik dan
mempertahankan dasar-dasar parti makanya bila pula pembangunan negara dapat
dilakukan oleh kerajaan? Penulis menyeru rakyat keseluruhan agar berganding
bahu dengan menyokong pembaharuan dan pembangunan negara yang dilakukan oleh
kerajaan semasa dan hentikan permainan politik yang kurang berakal dengan
menimbulkan isu-isu yang tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap negara secara
keseluruhan. Sokonglah tanpa prejudis wahai anak muda.
Begitu skeptikal mungkin kenyataan
penulis di dalam perenggan di atas dan ia bukan satu kenyataan yang populis
lebih-lebih lagi terhadap mereka yang pro pembangkang. Tetapi yang benar tetap
benar, manakala yang salah tetap salah. Pembangkang salah kerana tidak
mengamalkan politik matang dalam membangkang dan hanya tahu membangkang tanpa
membantu dalam memikirkan alternatif bagi menyelesaikan sesuatu isu, bijak
memanipulasikan isu lebih-lebih lagi dalam alam siber, licik membangkitkan
sentimen perkauman yang sempit dengan pihak-pihak ultrakiasu menjadi sandaran
utama mereka dalam membangkitkan semangat perkauman rakyat, demonstrasi jalanan
yang menganggu gugat keamanan negara, tekanan yang bersistematik terhadap kaum
bumiputera melalui rangkaian kekuatan ekonomi, tentangan sengit dasar-dasar
perpaduan yang baik untuk rakyat contohnya kes sekolah vernakular, memberi
tekanan terhadap dasar-dasar kerajaan yang berkaitan bumiputera seperti hak
keistimewaan bumiputera dan agama Islam serta tidak ketinggalan , licik
menjadikan agenda sentimen agama seperti isu penggunaan kalimah “ALLAH” ,serta menjadikan anak muda khususnya yang secara
dasarnya mempunyai keinginan yang memberontak agar membenci dan menentang kerajaan
dengan dakyah-dakyah yang membangkitkan semangat golongan tersebut. Ia jelas
memperlihatkan pihak pembangkang hebat dalam menolidaritikan kesatuan anak muda
untuk bangkit yang tidak mampu dicabar oleh pihak kerajaan. Oleh itu, penlis
berpendapat ia bukan jenis pembangkang yang diingini oleh sebuah negara bernama
Malaysia!
Kerajaan BN adalah sebuah kerajaan
yang memerintah Malaysia sedari kemerdekaan lagi dan sememangnya diakui banyak
jasa BN dalam menjadikan Malaysia seperti mana hari ini. Mungkin sesetengah
pihak akan menyatakan itulah tanggungjawab kerajaan tetapi barang diingat
sekiranya kerajaan itu tidak mempunyai political
will dan juga perancangan yang jitu maka apa sahaja pembangunan tidak
mungkin dapat dilaksanakan. Sememangnya BN yang dahulunya Perikatan mempunyai
kecekapan dalam memerintah negara melalui dasar-dasar negara yang mapan tetapi
segala kecekapan itu seolah-olah terhenti semenjak 2005 usai PRU11 yang
menyaksikan BN menang besar dalam sejarah pilihanraya Malaysia. BN dilihat gagal
menjelmakan aspirasi rakyat melalui pentadbirannya dan rakyat pada ketika itu
bukan lagi pada era sebelumnya kerana pada ketika itu akses terhadap media
alternatif semakin mudah dicapai. Isu berkaitan perpaduan negara kembali hangat
digendangkan kerana timbul suatu enigma perpaduan dan hubungan kaum di Malaysia
semakin membesar jurangnya. Mungkin kerajaan boleh menuding jari terhadap
golongan-golongan ultrakiasu seperti mana yang kerap disebutkan oleh Dr Ridhuan
Tee , pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia tetapi apakah
tidak wujud lagi kecekapan kerajaan dalam menangani permasalahan itu? Kerajaan
pimpinan Abdullah Badawi dan juga terkini Najib Razak dilihat seperti tidak
berupaya mengembalikan era kegemilangan Mahathir Mohamad ataupun Abd Razak
Husain dan seolah-olah kehilangan pesona dan auranya. Apakah zaman BN semakin
hampir ke penghujungnya? Sebenarnya BN mampu mempertahankan kuasanya
sekurang-kurangnya 100 tahun lagi sekiranya penyelewengan dan korupsi tidak
memasung perjuangan mereka kerana penulis yakin ramai dalam kalangan rakyat
yang sebenarnya amat menyayangi BN khususnya UMNO kerana parti inilah yang
bertanggunjawab memacu pembangunan dan kemajuan negara semenjak penubuhan
Persekutuan Malaysia 56 tahun yang lalu, dan parti inilah parti warisan
khususnya bangsa Melayu. Tetapi UMNO tidak lagi boleh bersandarkan kegemilangan
semalam semata-mata sekiranya barah korupsi ini terus membusung di dalam tubuh
UMNO dan BN. Rakyat sudah semakin celik dan tidak lagi mahu dibodohkan dengan
retorik dan janji yang tidak menjamin apa-apa untuk hari esok.
UMNO khususnya sebagai tulang
belakang dan parti dominan BN pada hari ini seakan menjadi perkara yang amat
dibenci oleh sebilangan rakyat dan sebahagian besar orang muda. Mendengar nama
UMNO sahaja mampu membuatkan mereka rasa mual dan termuntah seolah-olah UMNO
itu seperti najis! UMNO diibaratkan seperti najis bagi mereka kerana
penyelewengan yang dilakukan oleh tangan-tangan pimpinan UMNO sendiri dari
peringkat pucuk pimpinan hinggalah peringkat akar umbi. Bagi mereka UMNO tidak
boleh lagi diselamatkan dan hanya PR sahaja alternatif menggantikan kerajaan sedia
ada. Bagi penulis kedua dua pihak ini sama sahaja. Yang satu mabuk kuasa yang
satu lagi gila kuasa. Yang tersepit adalah rakyat, yang rugi adalah rakyat dan
yang ditindas juga adalah rakyat. Kasihan dengan rakyat terus menerus menjadi
keldai tungangan politikus-politikus licik dan terus rela diperbodohkan atau
diperbodohkan secara tidak sedar.
UMNO/BN akan mengucapkan selamat
tinggal kepada takhta dan kuasa pada PRU14 nanti atau lebih awal dari itu.
Itulah yang penulis rasakan pada ketika ini. Ini kerana pentadbiran PM Najib
Razak seperti sedang membunuh regim mereka sendiri dengan dasar-dasar yang
tolol dan memberikan bola tanggung kepada pihak pembangkang untuk men “smash”
kembali tepat di atas batu jemala kepimpinan kerajaan. Segala isu-isu kenaikan
kos sara diri yang berlaku dalam masa yang singkat dan mendadak ini menjadikan
dendam dan amarah rakyat semakin membuak-buak dan tidak ketinggalan anak muda
yang telah memangkah BN pada PRU13 yang lalu. Mereka berasa menyesal kerana
termakan dengan “akujanji” BN yang begitu lunak dan menggoda. Ada juga dalam
kalangan anak muda yang begitu tegar menyokong UMNO/BN sudah mula berkira-kira
dan mencongak untuk tidak keluar mengundi pada PRU yang akan datang. Mungkin
mustahil bagi sesetengah mereka untuk menyokong parti-parti pembangkang kerana
cinta yang begitu mendalam terhadap UMNO/BN tetapi semestinya mereka tidak mahu
keluar mengundi sebagai satu protes dan itu juga dikira sebagai pilihan.
Sehebat mana Khairy Jamaluddin sebagai figura popular anak muda tidak
memungkinkan sokongan anak muda kembali bertaut terhadap BN kerana dasar-dasar
pucuk pimpinan yang dikemudikan oleh PM Najib Razak tidak langsung menghiraukan
keluhan dan kesusahan rakyat. Jangan salahkan pembangkang semata-mata tetapi
sebenarnya BN sendiri membunuh regim mereka sendiri. Anwar Ibrahim bukan suatu
sosok yang terlalu hebat sebenarnya kerana pernah juga tersungkur di gelanggang
pabila bersilat dengan Tun Mahathir suatu ketika dahulu tetapi kerana kelemahan
BN sendiri sebenarnya telah mengangkat beliau sebagai figura yang popular di
hati rakyat sekalipun kisah-kisah salah laku moralnya yang tidak dapat
dibuktikan cuba dijaja oleh pihak kerajaan. Sepatutnya pihak kerajaan terlebih
dahulu mengamalkan politik matang dengan tidak menyentuh atau cuba
mengada-adakan isu peribadi tokoh pembangkang, dan sekiranya itu dilakukan oleh
pihak kerajaan, rakyat akan melihat betapa beretika sifat pihak kerajaan dalam
berpolitik, tetapi sayangnya itu tidak berlaku!
Penulis sedar kerajaan terpaksa
menarik subsidi bahan api dan juga menaikkan harga barangan lain kerana
didorong defisit negara yang semakin meningkat dan ia menggusarkan kepimpinan
negara untuk mengembalikan gelaran “The Little Tiger” yang pernah dikecapi
Malaysia ketika di bawah pentadbiran Tun Mahathir. Selain itu, pengaruh
sistemik juga mempengaruhi secara signifikan ekonomi politik negara seperti
mana yang disentuh oleh Prof.Michael Yahuda di dalam bukunya The International
Politics of Asia Pasific dengan menyatakan kenaikan harga komoditi dalam sesebuah
negara berkait rapat dengan pengaruh ekonomi dunia yang bersifat “laissez
faire”. Melalui kenyataan beliau itu penulis menyimpulkan Malaysia juga adalah
salah satu pemain ekonomi kapitalis dunia yang terlibat sama dalam aktiviti
perdagangan bebas dan oleh kerana ekonomi adalah aktiviti rentas sempadan telah
mengakibatkan negara terheret sama dalam permasalahan ekonomi global yang
meruncing. Ia disokong lagi dengan kenyataan Robert Gilpin dalam bukunya Global Political Economy yang menyatakan
perdagangan bebas memberikan impak kepada perjalanan dan operasi ekonomi
sesebuah negara. (“review” penulis). Oleh kerana itu, tidak adil sekiranya kita
menyalahkan kerajaan semata dan meletakkan segala kesalahan kepada kerajaan
sekiranya kita tidak memahami perjalanan dan aktiviti ekonomi politik
antarabangsa yang memberikan pengaruh besar kepada negara kecil seperti
Malaysia.
Sebagai rakyat, kita seharusnya
memahami bukan mudah mentadbir negara dan dalam masa yang sama juga terpaksa
berhadapan dengan ancaman neo-kolonialime terhadap ekonomi dan kedaulatan negara
kita yang masih berstatus periphery ini. Kerajaan terpaksa menjalankan polisi
yang tidak populis dengan menarik subsidi terhadap rakyat dan dalam masa yang
sama juga terpaksa menaikkan harga komoditi perkhidmatan dan barangan. Kerajaan
terpaksa menggunakan kebijakan hubungan luar dengan menghalang campur tangan
secara berlebihan dari negara berstatus core terhadap Malaysia. Oleh itu, dasar
“seperti menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut tak putus”
terpaksa dijalankan oleh kerajaan. Walaubagaimanapun, sekalipun menyedari
negara berhadapan defisit dan ancaman spekulasi ekonomi global, kaedah menarik
subsidi, menaikkan harga komoditi dan juga dasar-dasar ekonomi yang menekan
rakyat seharusnya menjadi pilihan terakhir kerajaan di bawah pentadbiran Najib
Razak. Seperti mana yang dinyatakan oleh mantan PM, Tun Mahathir, kerajaan
seharusnya menjalankan penjimatan khasnya dalam kerajaan sendiri dengan
penjimatan yang merangkumi elaun menteri dan timbalan menteri, menghadkan
perbelanjaan keraian kerajaan yang terbukti membazir selain mengurangkan
lawatan keluar negara dengan jumlah romongan yang besar sebelum menarik
subsidi. Kerana hal ini tidak diambil pusing oleh kerajaan, penulis berpendapat
itulah yang menyebabkan rakyat menadi marah dan bangkitlah semangat mereka
untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan. BN harus mengambil iktibar
kejatuhan parti Tai Rak Tai dan regim Thaksin di Thailand, kejatuhan regim
Hosni Mubarak di Mesir, kejatuhan regim Suharto dan partinya Golkar di
Indonesia serta tersungkurnya regim Ferdinand Marcos di Filipina. Semua ini
adalah kerana mereka gagal memahami aspirasi rakyat selain menekan rakyat
dengan pelbagai pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan.
Penulis sebagai anak muda di dalam
era globalisasi ini hanya mampu mencurahkan pandangan melalui mata pena kerana
ketiadaan kudrat untuk menggegar kepimpinan negara agar melihat permasalahan
kronik yang kian mejerut leher rakyat bawahan. BN khususnya seharusnya tidak
leka dengan kuasa yang ada kerana kuasa rakyat dengan pengamatan sejarah kerap
kali menumbangkan regim sekalipun regim itu sangat berkuasa dan dilengkapi
angkatan bersenjata yang agam. Pihak pembangkang pula seharusnya juga tidak
hanya bersandarkan janji serta tindakan populis semata selain jangan sesekali
memainkan isu-isu sensitif masyarakat bagi menjadi hero sesuatu kaum. Jadilah
kerajaan dan pembangkang yang matang serta menguntungkan rakyat dan bukannya
menjadikan rakyat sebagai mangsa anda!
-MHB-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan