Khamis, 13 Mac 2014

Non Traditional Issues (Domestik) : Media Sosial Mampu Menatijahkan Masyarakat Yang Poros!

Teknologi perkomputeran dewasa ini semakin maju yang mana kepentingannya khususnya jaringan internet amat signifikan pada masa kini. Salah satu daripada aplikasi internet adalah media sosial. Media sosial adalah sebuah medium rentas sempadan yang bersifat non-traditional communication. Ia juga membentuk ruang lingkup yang mana penghuni-penghuninya membentuk koloni yang begitu luas jaringan perhubungannya. Oleh itu, apa sahaja yang ditulis, dimuat naik mahupun di "tweet" oleh pengguna media sosial mampu menerobos jauh merentasi sempadan negara dalam masa kurang seminit. Penulis melihat fenomena ini sebagai isu keselamatan yang harus di pandang serius oleh setiap pemerintah dalam negara moden pada hari ini, khususnya Malaysia dan tidak lupa juga masyarakat sivil. Penulis juga adalah salah seorang penghuni maya di alam siber, juga menggunakan media sosial dan blog sebagai medium perhubungan dan akses mendapatkan maklumat tetapi apa yang berlegar saban hari di pemikiran penulis adakah maklumat yang diperoleh daripada media sosial adalah benar-benar sahih? Penulis pernah menyentuh persoalan media sosial ini pada penulisan yang terdahulu yang bertajuk "Universiti Facebook", dan penulis cuba secara sinis membicarakan begitu ramai sarjana-sarjana Facebook yang berlumba-lumba menunjuk pandai dengan mengupas sesuatu itu dengan hanya semata-mata menggunakan pemerhatian yang dangkal tanpa berlandaskan nilai ilmiah.

Sememangnya definisi demokrasi tidak akan dianggap lengkap jika tidak ada kebebasan maklumat, unsur ketelusan, kebebasan akhbar dan media lainnya dan pelbagai persoalan berhubung dengan asas memiliki maklumat.(Zaini Othman dan Wan Shawaluddin:2009). Dalam hal ini penulis melihat di dalam kelompangan negara mencapai demokrasi tulen yang sebenarnya hanyalah utopia, Malaysia masih lagi berada di dalam kategori yang agak baik dengan masih membenarkan penggunaan media sosial oleh rakyat di negara ini tanpa sebarang sekatan. Oleh kerana kebebasan masih diberikan melalui media sosial khususnya Facebook, Twitter dan juga blog-blog, rakyat dilihat bebas membuka akaun media sosial tanpa had usia dan perkara ini adalah positif dari sudut kebebasan media tetapi kurang sihat untuk keselamatan negara dan kesejahteraan insan (human security). Penulis tidak berhasrat untuk membicarakan berkenaan kebebasan bersosial melalui jaringan internet, tetapi penulis ingin menyentuh dan melihat dari aspek keselamatan dan kestabilan sosio masyarakat serta human security di negara ini di dalam penulisan singkat ini.

Sekiranya kita memerhatikan perkembangan atau trend semasa di media sosial, segelintir masyarakat begitu gemar memuat naik status yang dilihat mencerminkan apa yang dilihat, dilalui dan dialami tanpa merujuk sama ada perkara itu wajar ditulis atau tidak. Mereka menggunakan segenap ruang yang ada dengan nama kebebasan bersuara dengan tidak mempedulikan ancaman terhadap kestabilan sosio masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Penulis melihat fenomena ini semakin membimbangkan dan berasa gusar sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan berhemah, ia akan mengganggu gugat kestabilan sosio masyarakat dan politik negara ini, seterusnya keselamatan negara kerana perpaduan rakyat yang begitu poros sifatnya.

Media sosial seharusnya digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah dan kembai semula kepada sifat asalnya yakni sebagai medium komunikasi dan maklumat. Penulis melihat masalah yang timbul berpunca daripada beberapa sebab, yang pertama daftar penggunaan media sosial yang bebas tanpa perlu diakseskan kepada pengenalan individu. Sebagai contoh, setiap individu yang membuka laman sosial Facebook, tidak perlu memberikan maklumat-maklumat peribadi yang menjurus kepada pengenalan diri dan ia membuka peluang kepada mereka untuk membuka akaun palsu dan seterusnya tidak bertanggungjawab terhadap tulisan-tulisan yang berbaur hasutan, hinaan, cacian dan makian serta perkara-perkara yang negatif. Penulis merasakan wajar untuk sesiapa sahaja yang ingin membuka akaun media sosial agar mendaftarkan nombor kad pengenalan agar pihak berkuasa seperti SKMM dapat menjalankan tugas dengan cepat dan berkesan seterusnya mengambil tindakan terhadap individu yang cuba menulis perkara-perkara negatif yang mampu menganggu gugat kestabilan masyarakat. Faktor yang kedua adalah sesetengah masyarakat yang cuba menjadi “hero” dalam penyebaran maklumat yang tidak sahih. Sememangnya diakui masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat yang prihatin dan begitu mengambil berat terhadap sesuatu perkara, tetapi dalam masa yang sama spekulasi dan berita-berita yang tidak sahih semakin bermaharajalela. Perkara ini sekiranya tidak dibendung mampu mengakibatkan kacau bilau dalam masyarakat kerana kesahihan berita dan maklumat diragui, seterusnya mampu memudaratkan masyarakat. Sebagai contoh negara kini digemparkan dengan kehilangan tanpa jejak pesawat MH370 milik syarikat penerbangan negara MAS pada 7 Mac 2014, yang mana penerbangan tersebut membawa seramai 239 orang penumpang dari pelbagai negara berserta 12 orang anak kapal termasuk juruterbang dan sekonyong-konyong muncullah mereka yang kononnya arif menganalisis, dan menyebarkan berita-berita palsu sama ada melalui tulisan ataupun gambar yang diedit di media sosial. Penyebaran berita-berita yang tidak sahih, spekulasi-spekulasi yang tidak bertanggungjawab serta analisis-analisis yang tidak masuk akal menjadikan keadaan semakin gawat. Selain itu kehilangan pesawat tersebut juga dipolitikkan oleh mereka yang begitu fanatik menyebabkan masyarakat yang kurang daya analisisnya dan kefahamannya menyalahkan pihak berkuasa di dalam insiden ini dan mula membuat spekulasi yang mengarut, natijahnya cacian dan makian menjadi alat perdebatan antara kedua belah pihak sama ada pro kerajaan mahupun pro pembangkang. Politik juga adalah antara perkara yang paling dimanipulasikan oleh mereka yang digelar sebagai “keyboard warrior” dan “cyber troopers” dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti pihak lawan dan membangkitkan sentimen masyarakat agar membenci sesuatu pihak. Maka natijahnya, hasutan yang bersifat subversif, kenyataan berbaur perkauman, fitnah serta caci makian terhadap pemimpin menjadi santapan masyarakat Malaysia di alam siber.

Perkara ini bagi penulis adalah sebuah ancaman baru kepada keselamatan negara dari dalam (domestik) kerana sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan boleh dianggap sebagai sebuah negara yang baru setahun jagung usia demokrasinya, penyalahgunaan media sosial mampu meruntuhkan kerukunan rakyat dan negara seterusnya menjadikan keselamatan negara tergugat serta meruntuhkan jati diri sebagai sebuah masyarakat di dalam sebuah negara bernama Malaysia. Sebagai contoh, terdapatnya juga laman-laman yang berbaur hasutan dengan meningkatkan sentimen kebencian sesama rakyat di antaranya seperti “1Sabah”, Rejimen Anarki” dan berpuluh-puluh mungkin beratus-ratus lagi laman seumpama itu diwujudkan atas tujuan seperti mana yang penulis sebutkan sebentar tadi.

Sejujurnya, penulis melihat sebahagian rakyat negara ini masih belum begitu matang dalam demokrasi. Ada kalanya mereka melaungkan perkataan demokrasi tetapi tidak memahami dengan sesungguhnya pengertian demokrasi yang dicanangkan. Demokrasi yang tulen adalah utopia semata dan ia digunakan oleh Barat sebagai candu kepada masyarakat lain di dunia ini agar menerima norma dan cara mereka. Demokrasi hari ini adalah demokrasi acuan Barat, dan kita telah terpenjara di dalam demokrasi acuan mereka sehinggakan kita merasakan segalanya adalah hak dan kebebasan mutlak kita semata. Oleh kerana itu kita senantiasa melaungkan hak kebebasan dan pendemokrasian yang sejajar dengan apa yang kita fikirkan mengikut rentak dan acuan demokrasi Barat. Hasilnya wujudlah masyarakat yang menzahirkan suara mereka di media sosial tanpa rasa tanggungjawab atau istilahnya “keyboard warrior” yang hanya berani di hadapan skrin tetapi bacul realitinya selain kemunculan wartawan-wartawan segera dan sarjana-sarjana jadian yang “menganalisis” sesuatu perkara tanpa nilai ilmiah.

Akhir kalam, sememangnya penulis mengakui mayarakat pada hari majoritinya adalah mereka yang semakin terbuka nilai inteleknya dan rata-ratanya adalah berpelajaran tinggi tetapi persoalannya adakah masyarakat hari ini seperti “goyim” ??? Tinggi ilmunya tetapi rendah akhlaknya, terlalu ego dan sombong. Memetik kata-kata Albert Einstein, “…perbezaan antara kecerdikan dan kebodohan adalah kecerdikan ada hadnya tetapi kebodohan tiada batasan dan had”. Oleh itu janganlah kita menjadikan masyarakat yang rapuh sifatnya ini semakin poros kerana kata-kata yang tidak bertanggungjawab kita di media sosial dan alam siber. Gunakan secara berhemah dan sekiranya tidak arif berkenaan sesuatu perkara jangan sesekali menunjuk kita tahu serba serbi.


-MHB -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan