Aku mungkin menjadi salah seorang mahasiswa yang beruntung kerana ketika berada di alam pengajian aku berpeluang membuat lawatan sambil belajar ke Beijing,China atas kapasiti sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah sesi 2009/2010. Itulah pengalaman pertama aku berkunjung ke luar negara buat pertama kali dalam hidupku. Selama ini, aku hanya berpeluang melihat negara China di dalam televisyen ataupun di internet tetapi pada kali itu aku berpeluang menjejakkan kaki ke negara tersebut. Lawatan itu bertujuan untuk membuat lawatan muhibbah ke Peking University dan mengadakan dialog dengan perwakilan pelajar di sana tetapi malangnya pada ketika itu keadaan tidak mengizinkan untuk kami mengadakan sesi dialog tersebut atas beberapa faktor yang tidak dapat dielak.
![]() |
Aku@Kedutaan Malaysia, Beijing |
Selain itu, rombongan MPP UMS mengadakan lawatan ke kedutaan Malaysia di sana dan berpeluang berjumpa dengan atase pelajaran Malaysia serta berpeluang membincangkan perkembangan atau usahasama yang boleh dijalankan oleh UMS khususnya dengan beberapa universiti di sana. Melalui sesi perbincangan tersebut dapat disimpulkan bukan mudah untuk membuat usahasama dengan universiti-universiti di China kerana salah satunya adalah faktor bahasa selain wujudnya beberapa kerenah birokrasi yang begitu ketat. Seperti yang sedia maklum, China adalah sebuah negara yang kini bergerak ke arah sebuah negara kuasa besar dunia selain perbezaan ideologi pentadbiran mereka yang masih bertunjangkan fahaman komunis sekalipun beberapa dasar liberal telah mula meresap masuk ke negara tersebut melalui sektor ekonomi yang pernah dibawa oleh Deng Xiopeng.
Aku melihat banyak perbezaan yang ketara khususnya budaya masyarakatnya yang seperti hidup kais pagi makan pagi dan kesukaran berkomunikasi kerana majoriti rakyat negara tersebut kurang fasih berbahasa inggeris. Mungkin dasar kerajaannya yang menerapkan keunggulan bahasa mandarin secara holistik serta berjaya mengangkat bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu di China telah menjadikan rakyat di negara tersebut tidak perlu terlalu menguasai bahasa inggeris. Mungkin secara ilmiahnya kenyataan aku ini kurang tepat tetapi itulah yang aku perhatikan ketika berada di sana. Selain itu yang ingin aku sentuh adalah disiplin rakyatnya . Aku lihat sebahagian besar masyarakat China adalah mereka yang sangat menepati waktu. Sebagai contoh, rombongan kami diiringi oleh seorang jurupandu rakyat tempatan China . Sekalipun kami mempunyai hak untuk berlengah kerana dia telah dibayar oleh pihak kami, tetapi mungkin kerana telah menjadi kebiasaan olehnya, beliau kerapkali menegur serta mengesa rombongan kami agar bergerak dan bersiap lebih awal dari waktu yang ditetapkan. Walaupun telah dibayar tetapi prinsip yang dipegang olehnya itu walaupun pada mulanya menjelekkan kami tetapi lama kelamaan kami mula mengakui profesionalisme beliau yang boleh diikuti oleh rombongan kami. Beijing adalah sebuah bandaraya yang begitu besar, sistem jalanraya yang sangat kompleks dan pembangunan perbandaran yang begitu bersistematik. Aku mengatakan sedemikian kerana, melalui pengamatan aku dan juga hasil perbualan bersama pemandu pelancong tersebut, Beijing terdiri daripada lima lingkaran yang mana pusat lingkaran adalah Dataram Tiannanmen dan Kota Larangan. Sekalipun begitu pesat membangun, aku melihat ciri-ciri warisan seperti bangunan bersejarah serta perkampungan tradisional yang digelar sebagai "huotong" masih lagi dikekalkan,sejenak aku teringat tentang penempatan Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur iaitu Kampung Baru. Alangkah cantiknya sekiranya imej Kampung Baru itu diperkemaskan dengan pembinaan semula rumah-rumah penduduk yang bercirikan tradisional Malaysia dapat dibangunkan dan dalam masa yang sama rumah-rumah setinggan yang menyakitkan mata dan hati dapat diganti. Mungkin para pelancong dalam masa yang sama menikmati kemajuan KL dapat juga melihat seni warisan perkampungan Melayu.
![]() |
Kampung Baru, Kuala Lumpur |
Suatu perkara yang mungkin membuatkanku rimas adalah ramainya penjaja-penjaja cenderamata seperti berebut dan mengejar rombongan kami agar membeli barangan yang dijual oleh mereka. Sekiranya kami tidak membeli, mereka akan merungut dan memarahi kami dalam bahasa mandarin.Mujur juga dalam rombongan kami terdiri dari pelajar-pel;ajar berbangsa Cina yang memahami percakapan mereka, jadi senang juga kami membuat tawar menawar sekiranya berhajat benar membeli barangan dari mereka. Aku juga melihat kegigihan penjaja-penjaja Muslim yang datang dari wilayah Xinjiang menjaja di kota Beijing ini. Kebanyakkan mereka menjual roti pita serta bijirin-bijirin tradisional masyarakat Uyghur. Bila melihat mereka ini aku berasa amat bersyukur dan bertuah lahir di bumi Malaysia sehinggakan salah seorang temanku yang berbangsa Cina menyatakan betapa beruntungnya dia dilahir di Malaysia dan berterima kasih dengan kerajaan. Ini adalah realiti, bukan kenyataan yang sengaja diadakan olehku. Bagiku pula, rasa bersyukur dan berterima kasih itu sepenuhnya ku panjatkan kepada Allah SWT kerana memberiku nikmat dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara bernama Malaysia!
Pembangunan pesat negara Tembok besar ini juga terdiri daripada sistem perkhidmatan pengangkutannya yang mapan seperti keretapi peluru atau "Bullet train". Rombongan kami berpeluang merasai kelajuan keretapi ini menuju ke Tianjin sebuah bandaraya setelit Beijing yang juga menjadi lubuk warisan China. Kelajuan keretapi peluru ini boleh mencecah sehingga hampir 400 KM/J ! Seandainya kami menaiki bas atau pengangkutan biasa yang lain mungkin memakan masa hampir 3 jam perjalanan tetapi dengan adanya bullet train ini, perjalanan rombongan kami hanya mengambil masa selama 1 jam 15 minit sahaja. Di Tianjin bagiku tiada apa yang lebih istimewa dari berpeluang berkunjung di pasar tradisional China seperti yang sering kulihat di dalam filem-filem kungfu Jet Li, Jackie Chan, Donnie Yen dan juga Bruce Lee..Amat mengujakan bagiku kerana China dilihat cuba menaikkan imej negaranya dengan gigih dengan mewujudkan pasar-pasar yang mesra pelancong. Perkara ini tidak dapat dilihat olehku di negara sendiri kerana contohnya di ibu kota terdapat Petaling Street yang berorientasikan pasar masyarakat Cina, Little India yang bertunjangkan pasar masyarakat India serta Arab Street yang berkonsepkan Al Suq negara-negara Arab tetapi pasar tradisional masyarakat Melayu selaku bangsa peribumi tidak dibangunkan secara komersil sedangkan warisan Melayu adalah tunjang pembentukan negara! Begitu juga di Johor Bahru, tempat aku bermaustatin kini. Ditengah-tengah bandaraya JB terdapatnya Little India tetapi pada sebelah malamnya hanya Bazar Karat JB sahaja yang mungkin secara kasarnya sebagai pasar tradisi orang Melayuberoperasi dan , bagiku tidak! Pembinaan secara kekal oleh pihak-pihak berwajib seharusnya dilaksanakan bagi menaikkan imej Melayu sebagai bangsa tunjang Malaysia dengan terbinanya pasar atau pusat perniagaan khas orang Melayu. Jangan terlalu liberal dalam perpaduan ditakuti kelak mewujudkan permasalahan yang lain.
![]() |
Aku ketika di Tianjin, China |
Berbalik kepada pasar warisan masyarakat Cina di Tianjin, mereka menjual barangan dalam kadar harga yang cukup murah. Sebagai contoh pedang samurai di Malaysia mungkin berharga mencecah ratusan ringgit tetapi aku membelinya dengan harga 25 Yuan bersamaan RM12.50!!! Sistem perbandaran yang bersistematik juga dapat kulihat dengan pembinaan kota warisan khusus terhadap industri pelancongan di Tianjin ini. Mungkin melalui catatanku ini dapat memberi sedikit sebanyak gambaran kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia agar industri pelancongan yang berteraskan kebudayaan tunjang Malaysia dapat dibangunkan.
Ketika lawatan ini dijalankan, negara China baru sahaja berakhirnya musim sejuk dan walaupun sudah memasuki musim luruh, suhunya pada waktu itu masih lagi sejuk hingga mencengkam ke tulang hitam! Walaupun matahari terik memancarkan cahaya, tetapi suhu yang disukat adalah sekitar 19-22 darjah celcius dan mulai ektstrim bagi kami rakyat Malaysia pada waktu malam hinggakan mampu mencapai 2-5 darjah celcius pada waktu malam. Pada ketika itu juga aku melihat sekalian anggota rombongan mula bertukar menjadi hantu bungkus!! Ketika lawatan ke Tembok Besar China, angin di sana begitu kuat hinggakan barangkali teman-temanku yang kurus melidi boleh diterbangkan angin sekiranya tidak berhati-hati!
![]() |
Di Tembok Besar China |
Apa yang boleh kukutip ketika berada di Tembok Besar ini adalah kebanggan orang tempatan terhadap warisan mereka dan bagiku sememangnya wajar untuk mereka berbangga kerna memiliki sebuah monumen yang tersenarai sebagai salah sebuah keajaiban di dunia. Tembok yang merentasi sepanjang hampir 5000km ini dilihat masih gagah kerana penjagaan rapi oleh pemerintah republik tersebut dalam memastikan warisan bangsa mereka terus terpelihara. Beberapa teman-temanku begitu teruja mendaki tembok besar ini sehinggakan aku ditinggalkan oleh mereka kerana begitu asyik menikmati panorama selain melakukan beberapa aktiviti wajib segelintir rakyat Malaysia iaitu vandalisme dengan mengukir namaku di salah satu batuan tembok besar tersebut!!!!!Ahhh aku tahu sememangnya perbuatanku itu tidak bermoral tetapi apakan daya darah muda dan sikap nakalku begitu melonjak-lonjak keinginanya pada ketika itu. Kuharapkan agar namaku masih kekal sehingga kini di tembok tersebut!
Pengalamanku sepanjang berada di sana amat berharga dan sangat membantu pengajianku dalam ilmu pengajian Hubungan Antarabangsa. Ini kerana, sebagai sebuah negara kuasa besar ekonomi dunia, China berperanan penting dalam mewujudkan keseimbangan ekonomi di rantau Asia Pasifik agar campurtangan Amerika dapt dikurangkan. Aku juga melihat banyaknya usahasama syarikat-syarikat Malaysia yang berkolaborasi dengan syarikat-syarikat dari China dalam mewujudkan rantaian kerjasama yang kukuh dalam bidang ekonomi khususnya perindustrian teknologi dan pembuatan. Seperti yang kita sedia maklum, lambakan barangan tiruan dari China sebenarnya secara tidak langsung menaikkan ekonomi China kerana bagi mereka sekalipun kualiti tidak sama dengan barangan original tetapi mereka dapat bersaing kerana harga yang ditawarkan sangat murah, oleh itu konsep pakai buang dan beli lagi seakan menjadi matlamat keluaran barangan mereka kerana hasil sumber yang cukup banyak mampu diadakan oleh mereka. Di tengah bandaraya Beijing juga terdapat sebuah pusat perindustrian khas usahasama China dan Malaysia dan tapak tersebut berkonsepkan R&D dalam bidang teknologi pembuatan. Bagiku ia satu usaha yang cukup baik kerana mungkin Malaysia dapat mempelajari sesuatu selain berkongsi kepakaran dengan republik China. Harapanku agar negara kita tidak dimanipulasikan oleh republik itu kerana sudah lumrah negara besar memanipulasikan negara-negara periphery seperti Malaysia dan juga semoganya konsep "dependency theory" yang dikemukakan oleh Andre Gunder Frank dapat diperhalusi oleh Malaysia dengan sebaiknya.
Tiannanmen Square dan juga Forbidden City menjadi destinasi seterusnya rombongan kami dalam meneliti sejarah peradaban negara China sebagai sebuah kerajaan yang digelar "Middle Kingdom" oleh sejarawan. Sejarah yang cukup panjang itu menjadikan negara China sebagai salah sebuah tamadun terawal dunia selepas tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir purba, dan tamadun India dan aku juga dipaksa meneliti karya Sun Tzu, seorang realis iaitu The Art of War yang begitu penting dalam memahami dengan lebih lanjut berkenaan ilmu pengajianku ketika di alam pengajian yang berkaitan ilmu keselamatan dan ketenteraan negara. Karya tersebut membuktikan bahawa peradaban China telah berkembang maju sehinggakan pemikiran tentang kedaulatan negara yang bersandarkan keselamatan dan ketenteraan telah mula difikirkan oleh masyarakat pada zaman dinasti-dinasti China terdahulu.
![]() |
MPP UMS di Tiannamen Square |
Tiannanmen Squre pernah mencatat sejarah berdarah pada tahun 1989 apabila pemberontakan pelajar dan orang awam sebagai bantahan terhadap parti Komunis China dan menuntut demokrasi dijalankan sepenuhnya oleh pemerintah China dibalas dengan kejam oleh pemerintah China pada ketika itu. Di dataran ini juga menjadi saksi ratusan pelajar dan orang awam terbunuh apabila "tank" tentera China mengasak mereka hinggakan ada dalam kalangan peserta demonstrasi yang terburai isi perutnya akibat digilis dengan kejam oleh tank tentera China. Perkara itu mendapat perhatian seluruh dunia dan dikecam kerana melanggar hak asasi manusia selain tindakan melampau pemerintah China ketika itu. Dataran Tiannanmen adalah dataran berbatuan terbuka yang terbesar di dunia yang mana aku melihat ia di kawal dengan rapi oleh pasukan keselamatan negara China. Pasukan keselamatan ini memang tidak mempunyai apa-apa perasaan barangkali kerana tidak langsung senyum, ketawa mahupun marah. Mereka kelihatan serius dan menolak apabila diminta bergambar dengan hanya berlalu pergi tanpa mengeluarkan sepatah kata atau isyarat. Dataran ini berhadapan dengan Forbidden City atau Kota Larangan dan dipisahkan oleh sebatang jalanraya yang besar. Dataran ini dibina pada zaman Dinasti Ming pada 1420 dan sebagai sebuah lambang kebangsaan Republik Rakyat China juga monumen terpenting sebuah negara bangsa bernama China.
![]() |
Aku di pintu gerbang Kota Larangan |
Kota Larangan pula sebenarnya adalah kediaman rasmi atau istana bagi maharaja China yang digunakan oleh Maharaja Dinasti Ming sehingga Maharaja Dinasti Qing. Kota ini menurut pemerhatianku sebuah kota yang mempunyai banyak pintu gerbang dan berlapis-lapis sebelum tiba ke bahagian utama. Di pintu gerbang utama kota ini terpampang potret pemimpin agung Republik Rakyat China dan juga presiden pertama Republik China selepas pengisyhtiharaan China sebagai sebuah republik pada tahun 1949 iaitu Mao Zedong, yang menjadi ikon dan idola rakyat China sehingga kini. Selain istana, kota ini menempatkan pejabat-pejabat, rumah-rumah pegawai kanan maharaja dan yang paling mengujakan barangkali adalah tempat tinggal gundik-gundik maharaja yang mencecah 1000 bilik! Bayangkan betapa banyaknya gundik maharaja. Mungkin hanya untuk pakai buang barangkali! Kota ini adalah imej utama negara China dan juga mencerminkan ketamadunan yang masih utuh di China. Senibina kota ini amat mengujakan kerana ia dilihat begitu gah sekali selain kawasannya yang luas. Aku terpaksa berhimpit-himpit untuk memasuki ke kota ini kerana pada ketika rombongan kami terlalu ramai pelancong yang datang melawat. Mereka terdiri dari pelbagai negara dan keadaan pada ketika itu amat menyesakkan. Sejujurnya, pemandangan di dalam kota ini amat indah kerana selain senibina yang memukau, ia juga dihiasi dengan taman-taman yang cantik.
Setelah berakhirnya lawatan kami ke China, kami kembali semula ke tanah air dan terpaksa menghadapi penerbangan yang memakan masa selama 6 jam. Sesungguhnya ia adalah antara waktu yang sangat membosankan. Sekembalinya aku ke kampus, aku telah ditegur dan oleh pensyarah merangkap penyelia tesisku Dr Mohd Noor Yazid dengan mendakwa aku tidak serius menyiapkan tesis dan masih sempat lagi mengikuti lawatan ke China.. Aduh, mungkin itu antara saat sukar ketika aku bergelar mahasiswa, aku tidak menjawab apa-apa tetapi menghulurkan juga cenderahati yang aku beli khas buatnya. Alhamdulillah bodekanku berhasil barangkali kerana aku dapat melihat nada suaranya mulai tenang dan kendur. Aku menyahut cabaran beliau dengan memasukkan segala hasil dapatan yang aku perolehi ketika di China ke dalam tesisku! Itu juga sebagai bukti bahawa aku tidak hanya pergi sekadar sebuah lawatan biasa tetapi ia adalah lawatan yang bermakna dan dalam masa yang sama aku telah melaksanakan kajian lapangan di China!!!
Sememangnya lawatan selama 8 hari 7 malam ke China ini menjadi momen yang indah dalam hidupku kerana terlalu banyak yang telah kupelajari, kuperhati, dan kualami. Ia bukan semata-mata sebagai sebuah lawatan "makan angin" tetapi ia lebih dari itu dengan memberiku sebuah pengalaman yang cukup bermakna. Ucapan terima kasih khas aku dedikasikan untuk HEP Universiti Malaysia Sabah, sahabat-sahabat pimpinan MPP UMS 09/10, seluruh jentera Aspirasi dan juga rakan-rakan yang lain kerana menyokong aku ketika saat susah dan senang. Masih banyak lagi sebenarnya pelajaran dan pengalaman yang telah kukutip ketika berada di sana tetapi tidak aku coretkan di sini. Walau apa pun aku semakin bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia sekalipun negaraku ini kecil, tidak mempunyai monumen gah seperti Tembok Besar China, Kota Larangan dan juga Stadium Sarang Burung yang unik, tetapi taraf kehidupan rakyat bawahan di Malaysia sekurang-kurangnya tidak melarat seperti mana di China!
-MHB-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan