Tahun 2013 adalah tahun yang begitu
mencabar, tahun yang agak sukar dan mungkin juga tahun yang penuh debaran. Aku
melihat dan meneliti di bawah kaca mata aku sebagai seorang rakyat bawahan
terhadap perspektif politik tanah air. Tahun 2013 adalah tahun yang menyaksikan
PRU13 terus mengekalkan BN sebagai parti pemerintah dan PR masih berperanan
sebagai pembangkang. Sekalipun secara majoriti rakyat memilih PR tetapi undi
elektorial masih menyelamatkan BN daripada tersembam dari puncak kuasa. Tahun
ini juga bagi aku sebagai tahun politik dan ekonomi bergolak, tahun yang juga
menyaksikan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan semakin teruk merosot dan
tergampang. Mengapa aku berkata sebegitu? Hanya kerana pertelingkahan politik
mutu kehidupan rakyat masih tiada beza, kerana politik nilai keagamaan dan
kewarasan menjadi hina, kerana perbezaan ideologi politik keamanan menjadi
taruhan dan seterusnya menjadikan nilai ekonomi semakin menyusut. Tahun 2020
hanya kurang 7 tahun saja lagi tetapi aku merasakan seperti wawasan itu tidak
mampu dicapai pabila fajar 1 Januari 2020 mulai menyinsing. Ini kerana segala
perkara asas seperti mana yang digariskan oleh mantan PM, Tun Dr. Mahathir
telah terhenti dalam 5 tahun kebelakangan ini khususnya dalam persoalan
perpaduan kaum dan kekuatan ekonomi.
Pentadbiran kerajaan semasa pada hari
ini sememangnya terbukti cekap dalam pembuatan dasar-dasar pembangunan dan
ekonomi rakyat dan gagasan 1Malaysia adalah sebuah dasar yang wajar dipuji
kerana bertujuan untuk menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum. Dasar-dasar
pembangunan dan pentadbiran seperti GTP memberikan hasil yang signifikan kepada
rakyat melalui jentera pentadbiran yang licin. Pembuatan dasar-dasar sama ada
domestik mahupun luar negara begitu mapan. Malangnya dasar-dasar yang pragmatik
itu seperti lumpuh akhir akhir ini kerana politiking yang tidak habis-habis
sama ada dari parti kerajaan mahupun pembangkang. Apabila saling serang
menyerang di antara satu sama lain maka pembangunan untuk rakyat juga akan perlahan
dan lebih dasyat akan terhenti. Korupsi khususnya dalam kerajaan semakin
membimbangkan apabila natijah korupsi yang tidak terkawal kini terbeban kepada
rakyat. Rakyat yang berpendapatan rendah semakin tertekan dengan segala
kenaikan kos taraf hidup yang memaku kepala mereka tanpa belas ihsan. Apa yang
akan terjadi kepada rakyat bawahan khususnya orang Melayu yang berpendapatan
rendah? Inikah yang dinamakan kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat? Barangkali
kerap bagi kita mendengar kenyataan-kenyataan haprak oleh pak menteri apabila
mengulas kenaikan harga barang seperti sekiranya tol naik, sila guna jalan
alternatif yang tidak ada tol. Sekiranya gula naik, sila kurangkan penggunaan
gula kerana ia boleh menyebabkan diabetis! Sekiranya tariff elektrik naik, sila
berjimat cermat dan mungkin silap-silap boleh terkeluar dari mulut mereka ,
SILA GUNAKAN LILIN!!! Kenyataan-kenyataan atau ulasan-ulasan sebegini
menggambarkan betapa rendahnya keprihatinan menteri-menteri dalam kabinet
terhadap kesukaran rakyat!
Korupsi yang sekian lama
bermaharajalela oleh golongan kapitalis politik tidak pernah mengendahkan jerih
perih rakyat bawahan. Ya, aku sedar dan mengakui betapa perlunya usaha gigih
bagi menjamin kelangsungan hidup dan seharusnya itu menjadi pegangan semua
lapisan rakyat sekiranya ingin memperbaiki taraf hidup. Aku juga sedar tidak
adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata kerana naik turun ekonomi sesebuah
negara juga dicaturkan oleh struktur kapitalis dunia. Tetapi tidak wujudkah
golongan "think tank" dan golongan "intelligencia" dalam
kerajaan dalam menangani krisis kos sara hidup rakyat? Adakah penasihat
kerajaan kini benar-benar berperanan sebagai penasihat atau menjadi
"punahsihat" yang hanya ingin memenuhkan tembolok golongan-golongan
tertentu? Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah sebuah amanah yang harus
dijelmakan semula melalui dasar-dasar yang menguntungkan rakyat khususnya
golongan majoriti dalam negara ini. Oleh kerana sikap segelintir seperti ini
dalam kerajaanlah yang menjadikan pihak pembangkang semakin mendapat tempat di
hati rakyat khususnya golongan bawahan dan pertengahan.
Tahun 2013 juga menyaksikan nilai
kemanusiaan dan keagamaan semakin diperlecehkan hanya semata-mata ingin
mengejar kuasa. Politik fitnah memfitnah sama ada dari pihak kerajaan kepada
pihak pembangkang atau sebaliknya telah menjadi perencah wajib dalam politik
negara yang tidak sebesar mana ini. Politik caci mencaci dan menghina telah
menjadi santapan wajib para politikus kedua dua pihak, tidak kiralah mereka
dari parti chauvinis, parti berserban dan berjubah labuh , parti liberal
ataupun parti yang berideologi nasionalis, metodologi politik mereka sama untuk
menggenggam kuasa. Nilai-nilai hak asasi tanpa sempadan agama dilaungkan oleh
mereka sehingga mereka turun dan berarak beramai-ramai mengadakan rapat umum.
Sekalipun jelas nilai-nilai tersebut tidak sesuai dengan sosiologi Malaysia
sebagai negara yang kaya dengan adat ketimuran dan Islam sebagai agama
majoriti, mereka tetap menyuarakan "hak" tersebut kerana kuasa
politik golongan majoriti yang pada hari ini telah lemah kerana terpecah kepada
3 bahagian. Oleh kerana golongan majoriti lemah dan ada dalam kalangan mereka
yang turut sama merestui permintaan mereka, maka pihak-pihak liberal ini
menjadi berani. Maka persoalannya di sini, pihak mana yang semakin me-layu?? Sudah
tentu MELAYU!!! Nilai keagamaan sepertimana yang kukatakan semakin merosot
kerana ada segelintir dari parti pembangkang yang membisu seribu bahasa apabila
sekutu mereka menyuarakan perkara yang mampu mengganggu gugat kedaulatan agama
Islam dan hak istimewa orang Melayu. Ini semua demi kepentingan dan survival
politik mereka semata-mata.
Bagiku, pembangkang dilihat begitu
gila kuasa dan begitu terdesak untuk menawan Putrajaya. Pelbagai isu dimainkan
untuk membuka keaiban kerajaan dengan menyerang individu-individu yang dilihat
mampu memberikan keuntungan politik kepada mereka sebagai contoh individu
tersebut ialah isteri Perdana Menteri. Sebuah pakatan pembangkang yang
mempunyai satu tujuan – menumbangkan kerajaan sedia ada tetapi tidak
bermimpikan matlamat yang sama kerap kali menimbulkan keraguan khususnya kepada
para penganalisis politik ataupun para ahli akademik berkenaan matlamat akhir
mereka. Aku yakin, perkara ini bukan suatu perkara yang penting untuk dicanai
pemikirannya oleh rakyat bawahan yang begitu kronik kebencian mereka terhadap
kerajaan tetapi sampai bila kebencian yang begitu meluap-luap menutupi akal
waras mereka?
Bagiku yang benar tetap benar, yang
salah tetap salah. Kerajaan salah bagiku kerana mengamalkan politik kotor, korupsi
dan penyelewengan kuasa yang sudah menjadi barah, manakala pembangkang benar kerana
dilihat lebih telus dalam menangani isu ekonomi terutamanya negeri-negeri di
bawah pentadbirannya, cakna berkaitan permasalahan rakyat bawahan, mampu
mengemukakan bukti yang sahih dalam memerangkap kerajaan sehingga kerajaan terpaksa
melakukan sesuatu perkara yang lebih lunak terhadap rakyat, menyuarakan
penyelewengan kerajaan selain menuntut keadilan dan pentadbiran yang bersih dari
kerajaan. Pembangkang melakukan kesilapan kerana mereka mengamalkan juga politik
fitnah, politik tidak matang yang hanya tahu membangkang semata-mata, latar
belakang pemimpin yang boleh diragui, politik perkauman yang melahirkan
golongan ultrakiasu, mempersoalkan hak kaum peribumi semata-mata mahu menjuarai
hati kaum sendiri, politik revolusi yang mengakibatkan ketidaktenteraman,
liberalisasi nilai hidup yang tidak terkawal serta memburukkan imej negara di
mata dunia dengan mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan negara . Kerajaan bagiku
betul kerana melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang mapan, berwawasan,
begitu komited dalam membawakan kemajuan khususnya infrastruktur sekalipun ada
juga yang mengambil sedikit di bawah meja walaupun itu tidak adil untuk
menyalahkan keseluruhan barisan kerajaan kerana menurut pandanganku, masih
ramai politikus kerajaan yang begitu ikhlas berjuang demi rakyat dan
menghindari amalan rasuah. Selain itu kerajaan juga berpandangan jauh dan
begitu kritikal dalam isu yang mampu mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan
negara.
Tetapi sejak akhir-akhir ini aku
kembali bertanya kepada diri sendiri, apa sudah jadi dengan kerajaan? Begitu
bijak menabur janji sebelum pilihanraya tetapi mengapa harus segala “Akujanji”
itu dilanggar? Di manakah perginya slogan “Janji Ditepati”? Kerajaan melalui BN
menggunakan terma akujanji dan bukannya manifesto sekaligus menggambarkan
betapa serius kononnya segala apa yang dijanjikan itu akan ditunaikan. Sekiranya
tidak mampu mengotakan janji mengapa harus menabur janji? Mengapa sebelum
melaksanakan “akujanji” tidak dikaji segala kemungkinan dan kesannya sekiranya
janji itu ditaburkan? Rakyat tidak mahu lagi mendengar segala retorik dari
kerajaan, melainkan suatu tindakan pantas dilakukan oleh kerajaan dalam
memperbaiki taraf hidup rakyat. Adakah kerajaan hari ini akan tumbang pada
PRU14 atau berlakukanya kebangkitan rakyat melalui rampasan kuasa?
Segala-galanya terletak pada pilihan kerajaan sendiri dalam menentukan survival
politik mereka. Barang diingat, sekiranya kerajaan tewas dalam pilihanraya,
kemungkinan mereka masih ada harapan untuk meneruskan kesinambungan politik
mereka sebagai pembangkang pula dan mungkin masih boleh merebut takhta kuasa, tetapi
sekiranya mereka jatuh dalam rampasan kuasa atau kudeta, maka berakhirlah
segala legasi politik mereka mungkin buat selama-lamanya.
Aku seperti merasakan tahun 2014 yang
bakal menjelang tiba dalam masa hanya beberapa hari sahaja lagi ini tidak
begitu cerah langitnya untuk rakyat-rakyat bawahan sepertiku. Sekiranya segala kos
kenaikan taraf hidup ini semakin membebani rakyat, tidak mustahil negara yang
dicintai ini terjerumus ke dalam suasana anarki. Sekiranya suasana anarki ini
berterusan berlaku, tidak mustahil campurtangan asing akan mengambil tempat dan
kekallah rakyat menjadi golongan yang paling ditindas dan dalam masa yang sama
kedaulatan negara telah tergadai. Kuncinya terletak pada kerajaan yang
memerintah sekarang, anarki atau aman menjadi pilihan anda? Rakyat juga
seharusnya lebih terbuka dan celik mindanya dan semoga ideologi politik sempit
tidak menjadikan kita terbungkam untuk menerima perkara yang baik sekalipun berbeza
ideologi.
-MHB-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan