![]() |
Facebook, sebuah laman sosial yang menjadi fenomena. Di sini juga melahirkan ramai "sarjana-sarjana" segera yang perasan bagus! |
Universiti Facebook adalah sebuah
univeriti yang mempunyai penuntut paling ramai di dunia dan mempunyai cawangan di seluruh dunia. Universiti ini
menawarkan pelbagai bidang pengajian dan institut. Keunikan universiti ini
adalah pengajian, perbincangan, kuliah mahupun tutorial dijalankan melalui
laman maya atau “virtual” dan dikendalikan oleh professor-profesor tidak
bertauliah dan merasakan diri mereka bijak. Tetapi bukan itu yang menjadi
perkara penting kerana majoriti penuntut di Universiti Facebook ini tidak
mempedulikan siapa yang menjadi guru mereka tetapi apa yang lebih penting
perkara itu populis dan mampu menjadi viral. Pendek kata, lagi menipu lebih
viral dan lagi bagus!
Sesiapa sahaja mampu melanjutkan
pengajian ke Unversiti Facebook ini dan sesiapa sahaja mampu menjadi professor
asalkan bijak memanipulasikan isu serta tidak gentar dilabel bodoh! Tiada yuran
pengajian yang ada Cuma yuran elektrik bagi melayari kuliah ataupun tutorial
secara maya, para penuntut pula boleh memasuki mana-mana fakulti yang mereka
suka sebagai contoh hari ini menuntut di Fakulti Pengajian Islam, esok Fakulti
Sains Sosial dan mungkin lusa menuntut pula di Fakulti Kejuruteraan ataupun
Undang-Undang. Yang penting berani berhujah dan berdebat serta yakin bahawa
diri adalah betul dan lebih pandai dari orang lain.
![]() |
Mark Zuckenberg, pengasas " University of Facebook". |
Universiti ini diasaskan oleh seorang
pemuda negara Uncle Sam yang bernama Mark Zuckenberg menerusi pemerahan otak,
pemerhatian secara impirikal dan akademik bagi memahami sosio masyarakat
khasnya masyarakat Islam, modal yang penulis sendiri tidak pasti berapa
jumlahnya serta sokongan beberapa tokoh zionis agar berdirinya sebuah
universiti yang dengan harapan mampu
menyatukan pemikiran serta segala kebodohan bersatu sehingga tiada lagi batasan
antara nilai ilmiah dan kebenaran dengan nilai kebodohan dan keegoan. Penubuhan
universiti ini selaras dengan cita-cita dan aspirasi kerajaan (hegemoni dunia)
untuk mewujudkan sebuah masyarakat dunia yang bersatu padu dalam nilai
kebodohan serta mengurangkan seberapa banyak masyarakat yang berpegang kepada
prinsip dan nilai ilmiah yang bersandarkan kebenaran. Penulis mengakui masih
ramai lagi penuntut-penuntut yang sememangnya berpegang erat dengan nilai
intelektual dan kebenaran tetapi golongan ini mengalami keterbalikan di dalam
universiti ini yang mana golongan ini pula digelar sebagai golongan yang bodoh
dan sering ditertawakan. Mereka juga sering didiskriminasikan serta golongan
ini juga membentuk golongan minority yang semakin hari semakin berkurang
jumlahnya.
Tutorial dan juga kuliah lazimnya
dijalankan melalui kemaskini “post” oleh mereka yang merasakan perlu sesuatu
isu itu dikupas dan diberikan pendapat oleh para penuntut yang “bijaksana”
dalam sesebuah isu. Sebagai contoh, tiga kursus yang kerapkali mendapat perhatian
oleh para penuntut Universiti Facebook cawangan Malaysia ini adalah kursus
Sains Politik, Sains Sukan dan tidak ketinggalan Psikologi dan Kaunseling.
Ketiga-tiga kursus ini adalah kursus yang paling popular dan mendapat tempat di
hati para penuntut serta sarjana-sarjana Univeriti Facebook cawangan Malaysia
ini kerana ia mempunyai tarikan yang unik dan hebat selain melalui
kursus-kursus tersebut mereka mudah menonjolkan diri sebagai sarjana ataupun
intelek Facebook yang mempunyai masa hadapan cerah menjadi popular dan
“trending”. Persetankan sahaja nilai akademik dan ilmiah yang memeningkan
kepala untuk memahaminya oleh kalangan sarjana tersohor Universiti ini, yang
penting kenyataan mereka serta pandangan mereka adalah populis dan mampu
menarik minat penuntut-penuntut yang lain. Kenyataan-kenyataan yang perasan
bijak semakin menguasai atmosfera univeriti ini dan segala usaha mahupun
cita-cita pengasas universiti ini bersana para penajanya semakin hampir Berjaya
dan mungkin juga Univeriti Facebook cawangan Malaysia adalah universiti
cawangan pertama di dunia yang mencapai standard yang diharapkan oleh “mereka,
para penajanya”! Tahniah untuk rakyat Malaysia, tahniah untuk para
sarjana-sarjana Facebook di Malaysia!!
Penulis terpanggil untk mengupas
serba sedikit berkenaan kenyataan penulis di perenggan ebelum ini iaitu “Sebagai
contoh, tiga kursus yang kerapkali mendapat perhatian oleh para penuntut
Universiti Facebook cawangan Malaysia ini adalah kursus Sains Politik, Sains
Sukan dan tidak ketinggalan Psikologi dan Kaunseling. Ketiga-tiga kursus ini
adalah kursus yang paling popular dan mendapat tempat di hati para penuntut
serta sarjana-sarjana Univeriti Facebook cawangan Malaysia “. Sebagai salah
seorang penuntut juga di Universiti Facebook ini, penulis lebih gemar melihat
padagogi pengajian yang berjalan saban hari di laman maya universiti ini.
Begitu ramai sarjana-sarjana dan para intelektual Facebook yang
bersungguh-sungguh mengupas isu-isu politik khasnya politik Malaysia
menggunakan hujah-hujah yang juga sumbernya
didapati melalui gedung-gedung maklumat daripada blog dan laman youtube serta
tidak ketinggalan kenyataan-kenyataan politikus pujaan yang bagi mereka adalah sumber yang sangat
sahih dan sangat-sangat tepat apatah lagi sekiranya ia menepati selera dan
ideologi mereka. Ada juga sebahagian sarjana facebook ini yang mengeluarkan
kenyataan dan teori mereka sendiri bagi menyokong hujah mereka. Begitu hebat
para sarjana tidak bertauliah ini dan penulis merasakan sarjana-sarjana dari
Harvard Univerity, Oxford University, John Hopkins University, Cambridge
University serta tidak ketinggalan di Malaysia Sarjana-sarjana tulen sains
politik dari Univeriti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya mahupun sarjana
dari universiti yang lain dalam bidang ini pasti terpegun dan tercabar kerana
kenyataan mereka tidak mampu menjadi “trending” di atmofera Universiti Facebook
ini. Kenyataan-kenyataan yang bersandarkan nilai akademik yang seharusnya
diperolehi dari sarjana tulen sains politik dibakulsampahkan sahaja kerana ia
memeningkan kepala dan menyusahkan untuk difikirkan!. Kenyataan-kenyataan yang
dibuat oleh sesetengah sarjana ini tidak diketahui sumber sahih yang mana, ia
ditulis dan dimuat naik dengan penuh bias, pemuat naik juga kadang kala tidak
langsung mengetahui secara ilmiah teori dan apa itu politik tetapi kerana
sentimen perasaan yang dibakar oleh sumber-sumber tidak bertanggungjawab maka
hasilnya begitu banyak kenyataan-kenyataan yang haprak dikeluarkan oleh para
penuntut univeriti ini. Makin haprak, makin baik bagi kerajaan (hegemoni
dunia).
Kursus sains sukan juga tidak kurang
popularnya di univeriti ini. Di Malaysia, bolasepak menjadi fenomena semenjak
sekian lama tetapi dengan adanya facebook, bahang fenomenanya semakin membara.
Apatah lagi dengan sentimen kenegerian yang mendasari sokongan para penuntutnya
maka teori caci maki menjadi pilihan untuk menjatuhkan moral penyokong negeri
lain melalui laman-laman penyokong negeri masing-maing. Melalui perkara ini,
semangat kenegerian sedikit sebanyak melunturkan semangat kenegaraan yang
sekian lama menyatukan rakyat di Malaysia. Hal ini juga berlaku di dalam
politik, kerana berlainan ideologi politik, kecintaan terhadap negara tidak
diendahkan lagi oleh sesetengah sarjana-sarjana Facebook yang ekstrim.
Penubuhan Universiti Facebook oleh
Mark Zuckenberrg secara umum diketahui adalah sebagai wadah komunikasi rentas
sempadan, dan mengapa penulis melabelkan ia sebagai universiti? Ini kerana
penulis secara sinikal cuba mengetengahkan persoalan-persoalan berhubung nilai
integriti, keintelektualan, perpaduan masyarakat khususnya masyarakat Islam
Malaysia, serta penampakan sarjana-sarjana Facebook yang cuba mengetengahkan
sesebuah isu mengikut ideologi sendiri berlandaskan emosi. Seharusnya kita
menggunakan facebook sebagai wadah penyatuan kerana dengan adanya laman sosial
ini, kita dapat membentuk komuniti yang lebih besar seterusnya menerapkan nilai
perpaduan yang utuh tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita cuba
menunjuk pandai di atas sesebuah perkara yang bukan bidang kita, maka
perpecahanlah natijahnya. Marilah kita renungkan sejenak dengan akal dan budi
yang celik agar kita mampu mencari sebuah titik persamaan.
-MHB-