Selasa, 17 Disember 2013

BAGAIMANA NASIB RAKYAT DI TAHUN 2014?


Tahun 2013 adalah tahun yang begitu mencabar, tahun yang agak sukar dan mungkin juga tahun yang penuh debaran. Aku melihat dan meneliti di bawah kaca mata aku sebagai seorang rakyat bawahan terhadap perspektif politik tanah air. Tahun 2013 adalah tahun yang menyaksikan PRU13 terus mengekalkan BN sebagai parti pemerintah dan PR masih berperanan sebagai pembangkang. Sekalipun secara majoriti rakyat memilih PR tetapi undi elektorial masih menyelamatkan BN daripada tersembam dari puncak kuasa. Tahun ini juga bagi aku sebagai tahun politik dan ekonomi bergolak, tahun yang juga menyaksikan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan semakin teruk merosot dan tergampang. Mengapa aku berkata sebegitu? Hanya kerana pertelingkahan politik mutu kehidupan rakyat masih tiada beza, kerana politik nilai keagamaan dan kewarasan menjadi hina, kerana perbezaan ideologi politik keamanan menjadi taruhan dan seterusnya menjadikan nilai ekonomi semakin menyusut. Tahun 2020 hanya kurang 7 tahun saja lagi tetapi aku merasakan seperti wawasan itu tidak mampu dicapai pabila fajar 1 Januari 2020 mulai menyinsing. Ini kerana segala perkara asas seperti mana yang digariskan oleh mantan PM, Tun Dr. Mahathir telah terhenti dalam 5 tahun kebelakangan ini khususnya dalam persoalan perpaduan kaum dan kekuatan ekonomi.

Pentadbiran kerajaan semasa pada hari ini sememangnya terbukti cekap dalam pembuatan dasar-dasar pembangunan dan ekonomi rakyat dan gagasan 1Malaysia adalah sebuah dasar yang wajar dipuji kerana bertujuan untuk menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum. Dasar-dasar pembangunan dan pentadbiran seperti GTP memberikan hasil yang signifikan kepada rakyat melalui jentera pentadbiran yang licin. Pembuatan dasar-dasar sama ada domestik mahupun luar negara begitu mapan. Malangnya dasar-dasar yang pragmatik itu seperti lumpuh akhir akhir ini kerana politiking yang tidak habis-habis sama ada dari parti kerajaan mahupun pembangkang. Apabila saling serang menyerang di antara satu sama lain maka pembangunan untuk rakyat juga akan perlahan dan lebih dasyat akan terhenti. Korupsi khususnya dalam kerajaan semakin membimbangkan apabila natijah korupsi yang tidak terkawal kini terbeban kepada rakyat. Rakyat yang berpendapatan rendah semakin tertekan dengan segala kenaikan kos taraf hidup yang memaku kepala mereka tanpa belas ihsan. Apa yang akan terjadi kepada rakyat bawahan khususnya orang Melayu yang berpendapatan rendah? Inikah yang dinamakan kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat? Barangkali kerap bagi kita mendengar kenyataan-kenyataan haprak oleh pak menteri apabila mengulas kenaikan harga barang seperti sekiranya tol naik, sila guna jalan alternatif yang tidak ada tol. Sekiranya gula naik, sila kurangkan penggunaan gula kerana ia boleh menyebabkan diabetis! Sekiranya tariff elektrik naik, sila berjimat cermat dan mungkin silap-silap boleh terkeluar dari mulut mereka , SILA GUNAKAN LILIN!!! Kenyataan-kenyataan atau ulasan-ulasan sebegini menggambarkan betapa rendahnya keprihatinan menteri-menteri dalam kabinet terhadap kesukaran rakyat!

Korupsi yang sekian lama bermaharajalela oleh golongan kapitalis politik tidak pernah mengendahkan jerih perih rakyat bawahan. Ya, aku sedar dan mengakui betapa perlunya usaha gigih bagi menjamin kelangsungan hidup dan seharusnya itu menjadi pegangan semua lapisan rakyat sekiranya ingin memperbaiki taraf hidup. Aku juga sedar tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata kerana naik turun ekonomi sesebuah negara juga dicaturkan oleh struktur kapitalis dunia. Tetapi tidak wujudkah golongan "think tank" dan golongan "intelligencia" dalam kerajaan dalam menangani krisis kos sara hidup rakyat? Adakah penasihat kerajaan kini benar-benar berperanan sebagai penasihat atau menjadi "punahsihat" yang hanya ingin memenuhkan tembolok golongan-golongan tertentu? Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah sebuah amanah yang harus dijelmakan semula melalui dasar-dasar yang menguntungkan rakyat khususnya golongan majoriti dalam negara ini. Oleh kerana sikap segelintir seperti ini dalam kerajaanlah yang menjadikan pihak pembangkang semakin mendapat tempat di hati rakyat khususnya golongan bawahan dan pertengahan.

Tahun 2013 juga menyaksikan nilai kemanusiaan dan keagamaan semakin diperlecehkan hanya semata-mata ingin mengejar kuasa. Politik fitnah memfitnah sama ada dari pihak kerajaan kepada pihak pembangkang atau sebaliknya telah menjadi perencah wajib dalam politik negara yang tidak sebesar mana ini. Politik caci mencaci dan menghina telah menjadi santapan wajib para politikus kedua dua pihak, tidak kiralah mereka dari parti chauvinis, parti berserban dan berjubah labuh , parti liberal ataupun parti yang berideologi nasionalis, metodologi politik mereka sama untuk menggenggam kuasa. Nilai-nilai hak asasi tanpa sempadan agama dilaungkan oleh mereka sehingga mereka turun dan berarak beramai-ramai mengadakan rapat umum. Sekalipun jelas nilai-nilai tersebut tidak sesuai dengan sosiologi Malaysia sebagai negara yang kaya dengan adat ketimuran dan Islam sebagai agama majoriti, mereka tetap menyuarakan "hak" tersebut kerana kuasa politik golongan majoriti yang pada hari ini telah lemah kerana terpecah kepada 3 bahagian. Oleh kerana golongan majoriti lemah dan ada dalam kalangan mereka yang turut sama merestui permintaan mereka, maka pihak-pihak liberal ini menjadi berani. Maka persoalannya di sini, pihak mana yang semakin me-layu?? Sudah tentu MELAYU!!! Nilai keagamaan sepertimana yang kukatakan semakin merosot kerana ada segelintir dari parti pembangkang yang membisu seribu bahasa apabila sekutu mereka menyuarakan perkara yang mampu mengganggu gugat kedaulatan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu. Ini semua demi kepentingan dan survival politik mereka semata-mata.

Bagiku, pembangkang dilihat begitu gila kuasa dan begitu terdesak untuk menawan Putrajaya. Pelbagai isu dimainkan untuk membuka keaiban kerajaan dengan menyerang individu-individu yang dilihat mampu memberikan keuntungan politik kepada mereka sebagai contoh individu tersebut ialah isteri Perdana Menteri. Sebuah pakatan pembangkang yang mempunyai satu tujuan – menumbangkan kerajaan sedia ada tetapi tidak bermimpikan matlamat yang sama kerap kali menimbulkan keraguan khususnya kepada para penganalisis politik ataupun para ahli akademik berkenaan matlamat akhir mereka. Aku yakin, perkara ini bukan suatu perkara yang penting untuk dicanai pemikirannya oleh rakyat bawahan yang begitu kronik kebencian mereka terhadap kerajaan tetapi sampai bila kebencian yang begitu meluap-luap menutupi akal waras mereka?

Bagiku yang benar tetap benar, yang salah tetap salah. Kerajaan salah bagiku kerana mengamalkan politik kotor, korupsi dan penyelewengan kuasa yang sudah menjadi barah, manakala pembangkang benar kerana dilihat lebih telus dalam menangani isu ekonomi terutamanya negeri-negeri di bawah pentadbirannya, cakna berkaitan permasalahan rakyat bawahan, mampu mengemukakan bukti yang sahih dalam memerangkap kerajaan sehingga kerajaan terpaksa melakukan sesuatu perkara yang lebih lunak terhadap rakyat, menyuarakan penyelewengan kerajaan selain menuntut keadilan dan pentadbiran yang bersih dari kerajaan. Pembangkang melakukan kesilapan kerana mereka mengamalkan juga politik fitnah, politik tidak matang yang hanya tahu membangkang semata-mata, latar belakang pemimpin yang boleh diragui, politik perkauman yang melahirkan golongan ultrakiasu, mempersoalkan hak kaum peribumi semata-mata mahu menjuarai hati kaum sendiri, politik revolusi yang mengakibatkan ketidaktenteraman, liberalisasi nilai hidup yang tidak terkawal serta memburukkan imej negara di mata dunia dengan mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan negara . Kerajaan bagiku betul kerana melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang mapan, berwawasan, begitu komited dalam membawakan kemajuan khususnya infrastruktur sekalipun ada juga yang mengambil sedikit di bawah meja walaupun itu tidak adil untuk menyalahkan keseluruhan barisan kerajaan kerana menurut pandanganku, masih ramai politikus kerajaan yang begitu ikhlas berjuang demi rakyat dan menghindari amalan rasuah. Selain itu kerajaan juga berpandangan jauh dan begitu kritikal dalam isu yang mampu mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan negara.

Tetapi sejak akhir-akhir ini aku kembali bertanya kepada diri sendiri, apa sudah jadi dengan kerajaan? Begitu bijak menabur janji sebelum pilihanraya tetapi mengapa harus segala “Akujanji” itu dilanggar? Di manakah perginya slogan “Janji Ditepati”? Kerajaan melalui BN menggunakan terma akujanji dan bukannya manifesto sekaligus menggambarkan betapa serius kononnya segala apa yang dijanjikan itu akan ditunaikan. Sekiranya tidak mampu mengotakan janji mengapa harus menabur janji? Mengapa sebelum melaksanakan “akujanji” tidak dikaji segala kemungkinan dan kesannya sekiranya janji itu ditaburkan? Rakyat tidak mahu lagi mendengar segala retorik dari kerajaan, melainkan suatu tindakan pantas dilakukan oleh kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat. Adakah kerajaan hari ini akan tumbang pada PRU14 atau berlakukanya kebangkitan rakyat melalui rampasan kuasa? Segala-galanya terletak pada pilihan kerajaan sendiri dalam menentukan survival politik mereka. Barang diingat, sekiranya kerajaan tewas dalam pilihanraya, kemungkinan mereka masih ada harapan untuk meneruskan kesinambungan politik mereka sebagai pembangkang pula dan mungkin masih boleh merebut takhta kuasa, tetapi sekiranya mereka jatuh dalam rampasan kuasa atau kudeta, maka berakhirlah segala legasi politik mereka mungkin buat selama-lamanya.


Aku seperti merasakan tahun 2014 yang bakal menjelang tiba dalam masa hanya beberapa hari sahaja lagi ini tidak begitu cerah langitnya untuk rakyat-rakyat bawahan sepertiku. Sekiranya segala kos kenaikan taraf hidup ini semakin membebani rakyat, tidak mustahil negara yang dicintai ini terjerumus ke dalam suasana anarki. Sekiranya suasana anarki ini berterusan berlaku, tidak mustahil campurtangan asing akan mengambil tempat dan kekallah rakyat menjadi golongan yang paling ditindas dan dalam masa yang sama kedaulatan negara telah tergadai. Kuncinya terletak pada kerajaan yang memerintah sekarang, anarki atau aman menjadi pilihan anda? Rakyat juga seharusnya lebih terbuka dan celik mindanya dan semoga ideologi politik sempit tidak menjadikan kita terbungkam untuk menerima perkara yang baik sekalipun berbeza ideologi.

-MHB-

Jumaat, 13 Disember 2013

Sekelumit Pengalaman di Negara Tembok Besar


Aku mungkin menjadi salah seorang mahasiswa yang beruntung kerana ketika berada di alam pengajian aku berpeluang membuat lawatan sambil belajar ke Beijing,China atas kapasiti sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah sesi 2009/2010. Itulah pengalaman pertama aku berkunjung ke luar negara buat pertama kali dalam hidupku. Selama ini, aku hanya berpeluang melihat negara China di dalam televisyen ataupun di internet tetapi pada kali itu aku berpeluang menjejakkan kaki ke negara tersebut. Lawatan itu bertujuan untuk membuat lawatan muhibbah ke Peking University dan mengadakan dialog dengan perwakilan pelajar di sana tetapi malangnya pada ketika itu keadaan tidak mengizinkan untuk kami mengadakan sesi dialog tersebut atas beberapa faktor yang tidak dapat dielak. 
Aku@Kedutaan Malaysia, Beijing

Selain itu, rombongan MPP UMS mengadakan lawatan ke kedutaan Malaysia di sana dan berpeluang berjumpa dengan atase pelajaran Malaysia serta berpeluang membincangkan perkembangan atau usahasama yang boleh dijalankan oleh UMS khususnya dengan beberapa universiti di sana. Melalui sesi perbincangan tersebut dapat disimpulkan bukan mudah untuk membuat usahasama dengan universiti-universiti di China kerana salah satunya adalah faktor bahasa selain wujudnya beberapa kerenah birokrasi yang begitu ketat. Seperti yang sedia maklum, China adalah sebuah negara yang kini bergerak ke arah sebuah negara kuasa besar dunia selain perbezaan ideologi pentadbiran mereka yang masih bertunjangkan fahaman komunis sekalipun beberapa dasar liberal telah mula meresap masuk ke negara tersebut melalui sektor ekonomi yang pernah dibawa oleh Deng Xiopeng.

Aku melihat banyak perbezaan yang ketara khususnya budaya masyarakatnya yang seperti hidup kais pagi makan pagi dan kesukaran berkomunikasi kerana majoriti rakyat negara tersebut kurang fasih berbahasa inggeris. Mungkin dasar kerajaannya yang menerapkan keunggulan bahasa mandarin secara holistik serta berjaya mengangkat bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu di China telah menjadikan rakyat di negara tersebut tidak perlu terlalu menguasai bahasa inggeris. Mungkin secara ilmiahnya kenyataan aku ini kurang tepat tetapi itulah yang aku perhatikan ketika berada di sana. Selain itu yang ingin aku sentuh adalah disiplin rakyatnya . Aku lihat sebahagian besar masyarakat China adalah mereka yang sangat menepati waktu. Sebagai contoh, rombongan kami diiringi oleh seorang jurupandu rakyat tempatan China . Sekalipun kami mempunyai hak untuk berlengah kerana dia telah dibayar oleh pihak kami, tetapi mungkin kerana telah menjadi kebiasaan olehnya, beliau kerapkali menegur serta mengesa rombongan kami agar bergerak dan bersiap lebih awal dari waktu yang ditetapkan. Walaupun telah dibayar tetapi prinsip yang dipegang olehnya itu walaupun pada mulanya menjelekkan kami tetapi lama kelamaan kami mula mengakui profesionalisme beliau yang boleh diikuti oleh rombongan kami. Beijing adalah sebuah bandaraya yang begitu besar, sistem jalanraya yang sangat kompleks dan pembangunan perbandaran yang begitu bersistematik. Aku mengatakan sedemikian kerana, melalui pengamatan aku dan juga hasil perbualan bersama pemandu pelancong tersebut, Beijing terdiri daripada lima lingkaran yang mana pusat lingkaran adalah Dataram Tiannanmen dan Kota Larangan. Sekalipun begitu pesat membangun, aku melihat ciri-ciri warisan seperti bangunan bersejarah serta perkampungan tradisional yang digelar sebagai "huotong" masih lagi dikekalkan,sejenak aku teringat tentang penempatan Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur iaitu Kampung Baru. Alangkah cantiknya sekiranya imej Kampung Baru itu diperkemaskan dengan pembinaan semula rumah-rumah penduduk yang bercirikan tradisional Malaysia dapat dibangunkan dan dalam masa yang sama rumah-rumah setinggan yang menyakitkan mata dan hati dapat diganti. Mungkin para pelancong dalam masa yang sama menikmati kemajuan KL dapat juga melihat seni warisan perkampungan Melayu.


Kampung Baru, Kuala Lumpur
Suatu perkara yang mungkin membuatkanku rimas adalah ramainya penjaja-penjaja cenderamata seperti berebut dan mengejar rombongan kami agar membeli barangan yang dijual oleh mereka. Sekiranya kami tidak membeli, mereka akan merungut dan memarahi kami dalam bahasa mandarin.Mujur juga dalam rombongan kami terdiri dari pelajar-pel;ajar berbangsa Cina yang memahami percakapan mereka, jadi senang juga kami membuat tawar menawar sekiranya berhajat benar membeli barangan dari mereka. Aku juga melihat kegigihan penjaja-penjaja Muslim yang datang dari wilayah Xinjiang menjaja di kota Beijing ini. Kebanyakkan mereka menjual roti pita serta bijirin-bijirin tradisional masyarakat Uyghur. Bila melihat mereka ini aku berasa amat bersyukur dan bertuah lahir di bumi Malaysia sehinggakan salah seorang temanku yang berbangsa Cina menyatakan betapa beruntungnya dia dilahir di Malaysia dan berterima kasih dengan kerajaan. Ini adalah realiti, bukan kenyataan yang sengaja diadakan olehku. Bagiku pula, rasa bersyukur dan berterima kasih itu sepenuhnya ku panjatkan kepada Allah SWT  kerana memberiku nikmat dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara bernama Malaysia!

Pembangunan pesat negara Tembok besar ini juga terdiri daripada sistem perkhidmatan pengangkutannya yang mapan seperti keretapi peluru atau "Bullet train". Rombongan kami berpeluang merasai kelajuan keretapi ini menuju ke Tianjin sebuah bandaraya setelit Beijing yang juga menjadi lubuk warisan China. Kelajuan keretapi peluru ini boleh mencecah sehingga hampir 400 KM/J ! Seandainya kami menaiki bas atau pengangkutan biasa yang lain mungkin memakan masa hampir 3 jam perjalanan tetapi dengan adanya bullet train ini, perjalanan rombongan kami hanya mengambil masa selama 1 jam 15 minit sahaja. Di Tianjin bagiku tiada apa yang lebih istimewa dari berpeluang berkunjung di pasar tradisional China seperti yang sering kulihat di dalam filem-filem kungfu Jet Li, Jackie Chan, Donnie Yen dan juga Bruce Lee..Amat mengujakan bagiku kerana China dilihat cuba menaikkan imej negaranya dengan gigih dengan mewujudkan pasar-pasar yang mesra pelancong. Perkara ini tidak dapat dilihat olehku di negara sendiri kerana contohnya di ibu kota terdapat Petaling Street yang berorientasikan pasar masyarakat Cina, Little India yang bertunjangkan pasar masyarakat India serta Arab Street yang berkonsepkan Al Suq negara-negara Arab tetapi pasar tradisional masyarakat Melayu selaku bangsa peribumi tidak dibangunkan secara komersil sedangkan warisan Melayu adalah tunjang pembentukan negara! Begitu juga di Johor Bahru, tempat aku bermaustatin kini. Ditengah-tengah bandaraya JB terdapatnya Little India tetapi pada sebelah malamnya hanya Bazar Karat JB sahaja yang mungkin secara kasarnya sebagai pasar tradisi orang Melayuberoperasi dan , bagiku tidak! Pembinaan secara kekal oleh pihak-pihak berwajib seharusnya dilaksanakan bagi menaikkan imej Melayu sebagai bangsa tunjang Malaysia dengan terbinanya pasar atau pusat perniagaan khas orang Melayu. Jangan terlalu liberal dalam perpaduan ditakuti kelak mewujudkan permasalahan yang lain. 

Aku ketika di Tianjin, China
Berbalik kepada pasar warisan masyarakat Cina di Tianjin, mereka menjual barangan dalam kadar harga yang cukup murah. Sebagai contoh pedang samurai di Malaysia mungkin berharga mencecah ratusan ringgit tetapi aku membelinya dengan harga 25 Yuan bersamaan RM12.50!!! Sistem perbandaran yang bersistematik juga dapat kulihat dengan pembinaan kota warisan khusus terhadap industri pelancongan di Tianjin ini. Mungkin melalui catatanku ini dapat memberi sedikit sebanyak gambaran kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia agar industri pelancongan yang berteraskan kebudayaan tunjang Malaysia dapat dibangunkan.

Ketika lawatan ini dijalankan, negara China baru sahaja berakhirnya musim sejuk dan walaupun sudah memasuki musim luruh, suhunya pada waktu itu masih lagi sejuk hingga mencengkam ke tulang hitam! Walaupun matahari terik memancarkan cahaya, tetapi suhu yang disukat adalah sekitar 19-22 darjah celcius dan mulai ektstrim bagi kami rakyat Malaysia pada waktu malam hinggakan mampu mencapai 2-5 darjah celcius pada waktu malam. Pada ketika itu juga aku melihat sekalian anggota rombongan mula bertukar menjadi hantu bungkus!! Ketika lawatan ke Tembok Besar China, angin di sana begitu kuat hinggakan barangkali teman-temanku yang kurus melidi boleh diterbangkan angin sekiranya tidak berhati-hati! 

Di Tembok Besar China
Apa yang boleh kukutip ketika berada di Tembok Besar ini adalah kebanggan orang tempatan terhadap warisan mereka dan bagiku sememangnya wajar untuk mereka berbangga kerna memiliki sebuah monumen yang tersenarai sebagai salah sebuah keajaiban di dunia. Tembok yang merentasi sepanjang hampir 5000km ini dilihat masih gagah kerana penjagaan rapi oleh pemerintah republik tersebut dalam memastikan warisan bangsa mereka terus terpelihara. Beberapa teman-temanku begitu teruja mendaki tembok besar ini sehinggakan aku ditinggalkan oleh mereka kerana begitu asyik menikmati panorama selain melakukan beberapa aktiviti wajib segelintir rakyat Malaysia iaitu vandalisme dengan mengukir namaku di salah satu batuan tembok besar tersebut!!!!!Ahhh aku tahu sememangnya perbuatanku itu tidak bermoral tetapi apakan daya darah muda dan sikap nakalku begitu melonjak-lonjak keinginanya pada ketika itu. Kuharapkan agar namaku masih kekal sehingga kini di tembok tersebut! 

Pengalamanku sepanjang berada di sana amat berharga dan sangat membantu pengajianku dalam ilmu pengajian Hubungan Antarabangsa. Ini kerana, sebagai sebuah negara kuasa besar ekonomi dunia, China berperanan penting dalam mewujudkan keseimbangan ekonomi di rantau Asia Pasifik agar campurtangan Amerika dapt dikurangkan. Aku juga melihat banyaknya usahasama syarikat-syarikat Malaysia yang berkolaborasi dengan syarikat-syarikat dari China dalam mewujudkan rantaian kerjasama yang kukuh dalam bidang ekonomi khususnya perindustrian teknologi dan pembuatan. Seperti yang kita sedia maklum, lambakan barangan tiruan dari China sebenarnya secara tidak langsung menaikkan ekonomi China kerana bagi mereka sekalipun kualiti tidak sama dengan barangan original tetapi mereka dapat bersaing kerana harga yang ditawarkan sangat murah, oleh itu konsep pakai buang dan beli lagi seakan menjadi matlamat keluaran barangan mereka kerana hasil sumber yang cukup banyak mampu diadakan oleh mereka. Di tengah bandaraya Beijing juga terdapat sebuah pusat perindustrian khas usahasama China dan Malaysia dan tapak tersebut berkonsepkan R&D dalam bidang teknologi pembuatan. Bagiku ia satu usaha yang cukup baik kerana mungkin Malaysia dapat mempelajari sesuatu selain berkongsi kepakaran dengan republik China. Harapanku agar negara kita tidak dimanipulasikan oleh republik itu kerana sudah lumrah negara besar memanipulasikan negara-negara periphery seperti Malaysia dan juga semoganya konsep "dependency theory" yang dikemukakan oleh Andre Gunder Frank dapat diperhalusi oleh Malaysia dengan sebaiknya.

Tiannanmen Square dan juga Forbidden City menjadi destinasi seterusnya rombongan kami dalam meneliti sejarah peradaban negara China sebagai sebuah kerajaan yang digelar "Middle Kingdom" oleh sejarawan. Sejarah yang cukup panjang itu menjadikan negara China sebagai salah sebuah tamadun terawal dunia selepas tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir purba, dan tamadun India dan aku juga dipaksa meneliti karya Sun Tzu, seorang realis iaitu The Art of War yang begitu penting dalam memahami dengan lebih lanjut berkenaan ilmu pengajianku ketika di alam pengajian yang berkaitan ilmu keselamatan dan ketenteraan negara. Karya tersebut membuktikan bahawa peradaban China telah berkembang maju sehinggakan pemikiran tentang kedaulatan negara yang bersandarkan keselamatan dan ketenteraan telah mula difikirkan oleh masyarakat pada zaman dinasti-dinasti China terdahulu. 

MPP UMS di Tiannamen Square
Tiannanmen Squre pernah mencatat sejarah berdarah pada tahun 1989 apabila pemberontakan pelajar dan orang awam sebagai bantahan terhadap parti Komunis China dan menuntut demokrasi dijalankan sepenuhnya oleh pemerintah China dibalas dengan kejam oleh pemerintah China pada ketika itu. Di dataran ini juga menjadi saksi ratusan pelajar dan orang awam terbunuh apabila "tank" tentera China mengasak mereka hinggakan ada dalam kalangan peserta demonstrasi yang terburai isi perutnya akibat digilis dengan kejam oleh tank tentera China. Perkara itu mendapat perhatian seluruh dunia dan dikecam kerana melanggar hak asasi manusia selain tindakan melampau pemerintah China ketika itu. Dataran Tiannanmen adalah dataran berbatuan terbuka yang terbesar di dunia yang mana aku melihat ia di kawal dengan rapi oleh pasukan keselamatan negara China. Pasukan keselamatan ini memang tidak mempunyai apa-apa perasaan barangkali kerana tidak langsung senyum, ketawa mahupun marah. Mereka kelihatan serius dan menolak apabila diminta bergambar dengan hanya berlalu pergi tanpa mengeluarkan sepatah kata atau isyarat. Dataran ini berhadapan dengan Forbidden City atau Kota Larangan dan dipisahkan oleh sebatang jalanraya yang besar. Dataran ini dibina pada zaman Dinasti Ming pada 1420 dan sebagai sebuah lambang kebangsaan Republik Rakyat China juga monumen terpenting sebuah negara bangsa bernama China.
Aku di pintu gerbang Kota Larangan

Kota Larangan pula sebenarnya adalah kediaman rasmi atau istana bagi maharaja China yang digunakan oleh Maharaja Dinasti Ming sehingga Maharaja Dinasti Qing. Kota ini menurut pemerhatianku sebuah kota yang mempunyai banyak pintu gerbang dan berlapis-lapis sebelum tiba ke bahagian utama. Di pintu gerbang utama kota ini terpampang potret pemimpin agung Republik Rakyat China dan juga presiden pertama Republik China selepas pengisyhtiharaan China sebagai sebuah republik pada tahun 1949 iaitu Mao Zedong, yang menjadi ikon dan idola rakyat China sehingga kini. Selain istana, kota ini menempatkan pejabat-pejabat, rumah-rumah pegawai kanan maharaja dan yang paling mengujakan barangkali adalah tempat tinggal gundik-gundik maharaja yang mencecah 1000 bilik! Bayangkan betapa banyaknya gundik maharaja. Mungkin hanya untuk pakai buang barangkali! Kota ini adalah imej utama negara China dan juga mencerminkan ketamadunan yang masih utuh di China. Senibina kota ini amat mengujakan kerana ia dilihat begitu gah sekali selain kawasannya yang luas. Aku terpaksa berhimpit-himpit untuk memasuki ke kota ini kerana pada ketika rombongan kami terlalu ramai pelancong yang datang melawat. Mereka terdiri dari pelbagai negara dan keadaan pada ketika itu amat menyesakkan. Sejujurnya, pemandangan di dalam kota ini amat indah kerana selain senibina yang memukau, ia juga dihiasi dengan taman-taman yang cantik.

Setelah berakhirnya lawatan kami ke China, kami kembali semula ke tanah air dan terpaksa menghadapi penerbangan yang memakan masa selama 6 jam. Sesungguhnya ia adalah antara waktu yang sangat membosankan. Sekembalinya aku ke kampus, aku telah ditegur dan oleh pensyarah merangkap penyelia tesisku Dr Mohd Noor Yazid dengan mendakwa aku tidak serius menyiapkan tesis dan masih sempat lagi mengikuti lawatan ke China.. Aduh, mungkin itu antara saat sukar ketika aku bergelar mahasiswa, aku tidak menjawab apa-apa tetapi menghulurkan juga cenderahati yang aku beli khas buatnya. Alhamdulillah bodekanku berhasil barangkali kerana aku dapat melihat nada suaranya mulai tenang dan kendur. Aku menyahut cabaran beliau dengan memasukkan segala hasil dapatan yang aku perolehi ketika di China ke dalam tesisku! Itu juga sebagai bukti bahawa aku tidak hanya pergi sekadar sebuah lawatan biasa tetapi ia adalah lawatan yang bermakna dan dalam masa yang sama aku telah melaksanakan kajian lapangan di China!!!

Sememangnya lawatan selama 8 hari 7 malam ke China ini menjadi momen yang indah dalam hidupku kerana terlalu banyak yang telah kupelajari, kuperhati, dan kualami. Ia bukan semata-mata sebagai sebuah lawatan "makan angin" tetapi ia lebih dari itu dengan memberiku sebuah pengalaman  yang cukup bermakna. Ucapan terima kasih khas aku dedikasikan untuk HEP Universiti Malaysia Sabah, sahabat-sahabat pimpinan MPP UMS 09/10, seluruh jentera Aspirasi dan juga rakan-rakan yang lain kerana menyokong aku ketika saat susah dan senang. Masih banyak lagi sebenarnya pelajaran dan pengalaman yang telah kukutip ketika berada di sana tetapi tidak aku coretkan di sini. Walau apa pun aku semakin bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia sekalipun negaraku ini kecil, tidak mempunyai monumen gah seperti Tembok Besar China, Kota Larangan dan juga Stadium Sarang Burung yang unik, tetapi taraf kehidupan rakyat bawahan di Malaysia sekurang-kurangnya tidak melarat seperti mana di China!

-MHB-



Khamis, 12 Disember 2013

Catitan Kecil Seorang Aku Untuk Dunia




Sebagai anak marhaen, aku melihat semakin banyak kecelaruan yang terpampang di depan mataku, segalanya kerna dunia kian songsang , dayus dan semakin keparat oleh mereka yang berkuasa. Aku sedar, ramai lagi marhaen yang berkubang penderitaan untuk melangsungkan kesinambungan kehidupan yang dipinjamkan oleh  Yang Maha Esa yang entah sampai bila. Tetapi sekurang-kurangnya terdetik di hati mereka kiranya dapatlah meneguk sedikit nikmat kesenangan hidup di dunia. Aku kerap terfikir ketika di usia remajaku, mengapa aku tidak dilahirkan sebagai anak raja atau anak bangsawan, yang hidupnya tidak pernah melalui penderitaan dan kesengsaraan? Mengapa aku dilahirkan sebagai anak marhaen yang hidupnya sentiasa dicatur dan ditindas oleh orang atasan? Sampai bila harus kehidupan aku dibuli dan ditekan? Bagaimanakah legasi yang akan aku tinggalkan pabila aku pulang kepada Sang Pencipta kelak? Ahhh, persoalan ini seakan membenakkanku untuk terus berfikir...Persoalan ini semakin mengasak sehingga aku termengah bernafas. Ya, mungkin aku ditakdirkan untuk hidup dalam dunia yang anarki ini, Mungkin juga telah tertulis ranjau kehidupanku tidak semudah mereka yang lain. Sekiranya begitu, takdir sebenarnya telah mendidik aku menjadi seorang anak muda yang memiliki sosok yang cekal dan tabah. Aku seharusnya berbangga kerna mereka yang lain tidak merasai pengalaman berharga yang kukutip dalam penghidupan yang singkat ini..Aku seharusnya berbangga dengan kedua orang tuaku kerna dari benih keturunan mereka aku lahir dalam penghidupan marhaen agar aku lebih kenal ketabahan, arti cinta yang lebih mendalam kepada maha pencipta, juga agar aku tidak hanyut dibuai gelodak nafsu nafsi sekiranya lahirnya aku sebagai anak bangsawan!

Usiaku kini menginjak ke frasa penghidupan terpenting. Terpenting bagiku kerna di usia sebegini harusku usaha seolah-olah tiada lagi kehidupan yang bakal kuhirup pada hari esok. Agar apa yang kugali dan ku cungkil bisa menjadi bekalan kepada pewaris keturunanku, semoganya! Aku pasrah kiranya takdir Tuhan telah menetapkan sekian rezekiku, tetapi aku tidak tegar mengalah kiranya ada sinar yang bisa ku jala tetapi dibiarkan sahaja ia berlalu! Mungkin berkat didikan orang tuaku, mungkin juga kerna kehidupan sebagai anak marhaen telah mendidikku sedikit sebanyak agar pantang menyerah! Lumrah hidup marhaen, ditindas dan tertindas. Lumrah juga bagi marhaen retorik si penguasa menjadi santapan halwa telinga. Aku juga yakin, mereka yang sama denganku mampu membezakan antara keikhlasan dan juga retorik! Kerna itu, tidak hairan mengapa acapkali kulihat sang pendemonstran sanggup berasak, berpekikan bagaikan disampuk serta bersolidariti mengancam sang penguasa walaupun adakala mereka sendiri tidak tahu arti sebuah perjuangan yang sebenarnya.Aku juga seperti mereka, adakalanya perasaan membara kepanasan kerna persundalan dan perselingkuhan yang telah dilakukan si penguasa pabila memegang kuasa. Berselindung di sebalik retorik yang membuai tidak mampu mententeramkan hati mereka yang berasakan diri ditindas. Tetapi itu tidak pernah menghambat jiwa mudaku agar turut membuntuti cara sebegitu. Bagiku, perubahan totok yang dituntut itu seharusnya dimulakan dengan merobah skeptikal, idealisme, personaliti yang berasaskan ilmu bagi mereka yang berdemonstrasi.  Ahhhh, bukan itu yang menjadi pokok catitanku ini, tetapi apa yang inginku laksanakan dalam penghidupan yang semakin mencemburuiku!! Persetankan sahaja apa yang mahu mereka lakukan, kerna di dalam dunia ini bukan semua manusia diberikan sikap yang sama.

Adakalanya aku terfikir, apa yang ingin kukejar di dalam penghidupan ini? Terdetik juga untuk aku mendaki ke puncak kuasa agar segalanya dapat aku kawal dengan mutlak. Juga agar dapat ku raih kuasa semoga tiada siapa lagi yang bisa memijak dan membangsatiku seperti mana kini. Mungkin aku mampu menjadi sebegitu tetapi adakah aku juga cukup hebat pabila di hari pengadilan nanti yang mana si penguasa adalah golongan pertama bakal di adili oleh yang Maha Kuasa??Aku sendiri khuatir terhadap kemampuan diriku berdepan sepak terajang dan godaan pabila di puncak kuasa....Mungkin seharusnya biarkan saja aku menjadi seorang pendidik dan aktivis. Menggali ilmu semahu-mahunya dan kemudian mendidik anak-anak bangsa yang dahagakan ilmu agar mereka tidak kecundang di hari muka. Mungkin dengan apa yang ku pelajari dan ku hadapi hari ini mampu menjadi azimat pada anak-anak didikku, siapa tahu? Atau mungkin juga bisa ku tebarkan ideaku agar ia sebati di setiap pelosok kota dan desa walaupun tidak sehebat Hamka, sekurang-kurangya setitis dari kehebatannya cukup sudah bagiku. Mungkin juga itulah yang cocok buat diriku, menghambakan diri menjadi pendidik dan seorang aktivis! Aku sedar, bukan mudah menjadi seorang Syed Husin Ali, seorang ilmuan dan aktivis yang pernah terpenjara kerna idealisma yang dibawakannya, sukar juga menjadi seperti mana Pramoedya Ananta Toer yang terpenjara di kamar besi lebih dua dekad hanya kerna kegusaran pemerintah terhadap ketajaman mata penanya, serta amat sukar menjadi seorang Nelson Mandela yang sebelum ditabalkan ke puncak kuasa meringkuk lebih dua dekad di dalam tirai besi kerana radikalnya dia dalam memperjuangkan keadilan! Mungkinkah aku akan meraung seperti keanak-anakan sekiranya perkara sebegitu terjadi ke atasku? Aduh, payah dan sukar menjadi seperti mereka, tetapi apa yang dapat kita lihat kini? Nah, sekalipun Prem telah tiada dan Mandela baru sahaja dicabut nyawa, tetapi idea, ilmu serta semangat perjuangan mereka akan tetap hidup mungkin buat selamanya. Prem juga pernah menukilkan, betapa menulis itu adalah bekerja untuk keabadian, makanya tepat apa yang dinukilkan olehnya itu. Menulis atau memberi ilmu adalah jasa yang tidak mampu dipadam sekalipun oleh sejarah! Tuntas di sini, aku ingin menjadi seperti mereka, kalaupun bukan harta yang akan ku tinggalkan untuk legasiku, semoganya ilmu dan penulisanku akan terus menemani mereka. Kalaulah persoalan takut menjadi seorang aktivis itu menjadi alasan bagiku serta sekalian hamba marhaen, maka menjadi tragedi dalam peradaban manusia kerna berakhir sudah kelahiran pemuda yang kuat jati diri dan semangatnya!

Ayuh teman, ayuh sekalian hamba marhaen sepertiku, cukuplah kita menjadi keldai tunggangan politikus-politikus oportunis walau apa jua parti mereka. Kerna pernah guruku bertitah politikus itu adalah raksasa yang rakus! Rakus membaham dan memanipulasikanmu sekiranya kamu tidak cukup akal! Cukup juga menjadi abdi kepada aristokrat dan kapitalis jalang yang menghirup kejam darah sang proletariat. Sebarkan ideamu dengan kekuatan ilmumu nescaya namamu akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah.
-MHB-