Teknologi perkomputeran dewasa ini semakin maju yang mana
kepentingannya khususnya jaringan internet amat signifikan pada masa kini.
Salah satu daripada aplikasi internet adalah media sosial. Media sosial adalah
sebuah medium rentas sempadan yang bersifat non-traditional communication. Ia
juga membentuk ruang lingkup yang mana penghuni-penghuninya membentuk koloni
yang begitu luas jaringan perhubungannya. Oleh itu, apa sahaja yang ditulis,
dimuat naik mahupun di "tweet" oleh pengguna media sosial mampu
menerobos jauh merentasi sempadan negara dalam masa kurang seminit. Penulis
melihat fenomena ini sebagai isu keselamatan yang harus di pandang serius oleh
setiap pemerintah dalam negara moden pada hari ini, khususnya Malaysia dan
tidak lupa juga masyarakat sivil. Penulis juga adalah salah seorang penghuni
maya di alam siber, juga menggunakan media sosial dan blog sebagai medium
perhubungan dan akses mendapatkan maklumat tetapi apa yang berlegar saban hari
di pemikiran penulis adakah maklumat yang diperoleh daripada media sosial
adalah benar-benar sahih? Penulis pernah menyentuh persoalan media sosial ini
pada penulisan yang terdahulu yang bertajuk "Universiti Facebook",
dan penulis cuba secara sinis membicarakan begitu ramai sarjana-sarjana
Facebook yang berlumba-lumba menunjuk pandai dengan mengupas sesuatu itu dengan
hanya semata-mata menggunakan pemerhatian yang dangkal tanpa berlandaskan nilai
ilmiah.
Sememangnya definisi demokrasi tidak
akan dianggap lengkap jika tidak ada kebebasan maklumat, unsur ketelusan,
kebebasan akhbar dan media lainnya dan pelbagai persoalan berhubung dengan asas
memiliki maklumat.(Zaini Othman dan Wan Shawaluddin:2009). Dalam hal ini penulis
melihat di dalam kelompangan negara mencapai demokrasi tulen yang sebenarnya
hanyalah utopia, Malaysia masih lagi berada di dalam kategori yang agak baik
dengan masih membenarkan penggunaan media sosial oleh rakyat di negara ini
tanpa sebarang sekatan. Oleh kerana kebebasan masih diberikan melalui media
sosial khususnya Facebook, Twitter dan juga blog-blog, rakyat dilihat bebas
membuka akaun media sosial tanpa had usia dan perkara ini adalah positif dari
sudut kebebasan media tetapi kurang sihat untuk keselamatan negara dan
kesejahteraan insan (human security). Penulis tidak berhasrat untuk
membicarakan berkenaan kebebasan bersosial melalui jaringan internet, tetapi
penulis ingin menyentuh dan melihat dari aspek keselamatan dan kestabilan sosio
masyarakat serta human security di negara ini di dalam penulisan singkat ini.
Sekiranya kita memerhatikan
perkembangan atau trend semasa di media sosial, segelintir masyarakat begitu gemar
memuat naik status yang dilihat mencerminkan apa yang dilihat, dilalui dan
dialami tanpa merujuk sama ada perkara itu wajar ditulis atau tidak. Mereka
menggunakan segenap ruang yang ada dengan nama kebebasan bersuara dengan tidak
mempedulikan ancaman terhadap kestabilan sosio masyarakat Malaysia yang
berbilang bangsa. Penulis melihat fenomena ini semakin membimbangkan dan berasa
gusar sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan berhemah, ia akan
mengganggu gugat kestabilan sosio masyarakat dan politik negara ini, seterusnya
keselamatan negara kerana perpaduan rakyat yang begitu poros sifatnya.
Media sosial seharusnya digunakan
dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah dan kembai semula kepada sifat
asalnya yakni sebagai medium komunikasi dan maklumat. Penulis melihat masalah
yang timbul berpunca daripada beberapa sebab, yang pertama daftar penggunaan
media sosial yang bebas tanpa perlu diakseskan kepada pengenalan individu.
Sebagai contoh, setiap individu yang membuka laman sosial Facebook, tidak perlu
memberikan maklumat-maklumat peribadi yang menjurus kepada pengenalan diri dan
ia membuka peluang kepada mereka untuk membuka akaun palsu dan seterusnya tidak
bertanggungjawab terhadap tulisan-tulisan yang berbaur hasutan, hinaan, cacian
dan makian serta perkara-perkara yang negatif. Penulis merasakan wajar untuk
sesiapa sahaja yang ingin membuka akaun media sosial agar mendaftarkan nombor
kad pengenalan agar pihak berkuasa seperti SKMM dapat menjalankan tugas dengan
cepat dan berkesan seterusnya mengambil tindakan terhadap individu yang cuba
menulis perkara-perkara negatif yang mampu menganggu gugat kestabilan
masyarakat. Faktor yang kedua adalah sesetengah masyarakat yang cuba menjadi
“hero” dalam penyebaran maklumat yang tidak sahih. Sememangnya diakui
masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat yang prihatin dan begitu mengambil
berat terhadap sesuatu perkara, tetapi dalam masa yang sama spekulasi dan
berita-berita yang tidak sahih semakin bermaharajalela. Perkara ini sekiranya
tidak dibendung mampu mengakibatkan kacau bilau dalam masyarakat kerana
kesahihan berita dan maklumat diragui, seterusnya mampu memudaratkan
masyarakat. Sebagai contoh negara kini digemparkan dengan kehilangan tanpa
jejak pesawat MH370 milik syarikat penerbangan negara MAS pada 7 Mac 2014, yang
mana penerbangan tersebut membawa seramai 239 orang penumpang dari pelbagai
negara berserta 12 orang anak kapal termasuk juruterbang dan sekonyong-konyong
muncullah mereka yang kononnya arif menganalisis, dan menyebarkan berita-berita
palsu sama ada melalui tulisan ataupun gambar yang diedit di media sosial. Penyebaran
berita-berita yang tidak sahih, spekulasi-spekulasi yang tidak bertanggungjawab
serta analisis-analisis yang tidak masuk akal menjadikan keadaan semakin gawat.
Selain itu kehilangan pesawat tersebut juga dipolitikkan oleh mereka yang
begitu fanatik menyebabkan masyarakat yang kurang daya analisisnya dan
kefahamannya menyalahkan pihak berkuasa di dalam insiden ini dan mula membuat
spekulasi yang mengarut, natijahnya cacian dan makian menjadi alat perdebatan
antara kedua belah pihak sama ada pro kerajaan mahupun pro pembangkang. Politik
juga adalah antara perkara yang paling dimanipulasikan oleh mereka yang digelar
sebagai “keyboard warrior” dan “cyber troopers” dengan tujuan menjatuhkan
kredibiliti pihak lawan dan membangkitkan sentimen masyarakat agar membenci
sesuatu pihak. Maka natijahnya, hasutan yang bersifat subversif, kenyataan
berbaur perkauman, fitnah serta caci makian terhadap pemimpin menjadi santapan
masyarakat Malaysia di alam siber.
Perkara ini bagi penulis adalah
sebuah ancaman baru kepada keselamatan negara dari dalam (domestik) kerana
sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan boleh dianggap sebagai sebuah
negara yang baru setahun jagung usia demokrasinya, penyalahgunaan media sosial
mampu meruntuhkan kerukunan rakyat dan negara seterusnya menjadikan keselamatan
negara tergugat serta meruntuhkan jati diri sebagai sebuah masyarakat di dalam
sebuah negara bernama Malaysia. Sebagai contoh, terdapatnya juga laman-laman
yang berbaur hasutan dengan meningkatkan sentimen kebencian sesama rakyat di
antaranya seperti “1Sabah”, Rejimen Anarki” dan berpuluh-puluh mungkin beratus-ratus
lagi laman seumpama itu diwujudkan atas tujuan seperti mana yang penulis
sebutkan sebentar tadi.
Sejujurnya, penulis melihat
sebahagian rakyat negara ini masih belum begitu matang dalam demokrasi. Ada
kalanya mereka melaungkan perkataan demokrasi tetapi tidak memahami dengan
sesungguhnya pengertian demokrasi yang dicanangkan. Demokrasi yang tulen adalah
utopia semata dan ia digunakan oleh Barat sebagai candu kepada masyarakat lain
di dunia ini agar menerima norma dan cara mereka. Demokrasi hari ini adalah
demokrasi acuan Barat, dan kita telah terpenjara di dalam demokrasi acuan
mereka sehinggakan kita merasakan segalanya adalah hak dan kebebasan mutlak
kita semata. Oleh kerana itu kita senantiasa melaungkan hak kebebasan dan
pendemokrasian yang sejajar dengan apa yang kita fikirkan mengikut rentak dan
acuan demokrasi Barat. Hasilnya wujudlah masyarakat yang menzahirkan suara
mereka di media sosial tanpa rasa tanggungjawab atau istilahnya “keyboard
warrior” yang hanya berani di hadapan skrin tetapi bacul realitinya selain kemunculan
wartawan-wartawan segera dan sarjana-sarjana jadian yang “menganalisis” sesuatu
perkara tanpa nilai ilmiah.
Akhir kalam, sememangnya penulis
mengakui mayarakat pada hari majoritinya adalah mereka yang semakin terbuka
nilai inteleknya dan rata-ratanya adalah berpelajaran tinggi tetapi
persoalannya adakah masyarakat hari ini seperti “goyim” ??? Tinggi ilmunya
tetapi rendah akhlaknya, terlalu ego dan sombong. Memetik kata-kata Albert
Einstein, “…perbezaan antara kecerdikan dan kebodohan adalah kecerdikan ada
hadnya tetapi kebodohan tiada batasan dan had”. Oleh itu janganlah kita menjadikan
masyarakat yang rapuh sifatnya ini semakin poros kerana kata-kata yang tidak
bertanggungjawab kita di media sosial dan alam siber. Gunakan secara berhemah
dan sekiranya tidak arif berkenaan sesuatu perkara jangan sesekali menunjuk
kita tahu serba serbi.
-MHB -