Rabu, 16 Mac 2016

BERSATU SEKALIPUN BERBEDA

Oleh Hisyam Hj Basabah
Sesungguhnya telah dijadikan manusia itu setiap satunya berbeza sekalipun sama. Berbeza hanya dari rupa dan fizikal, tetapi sama dari sudut erti kemanusiaan. Begitu juga bangsa Melayu yang menjadi tunjang dan asas kepada kesepaduan masyarakat di Malaysia ini. Ya, setiap dari kita pasti mempunyai asas pandangan yang berbeza dan sudah pasti mempunyai ideologi tersendiri tetapi harus kita faham dan hadam bahawasanya Melayu harus terus menjadi Melayu yang berpegang kepada Al Quran dan Sunnah dalam menangani perbezaan pendapat dan pertelingkahan.
Islam itu bersaudara!

Hari ini, umat Melayu dan Islam sedang menghadapi krisis dan cabaran yang amat getir. Persaingan untuk mendapatkan kekuasaan semakin menekan kesejahteraan ummah dan menyemakkan udara keharmonian bangsa. Sedangkan kuasa yang sekelumit itu hanyalah sementara dan tidak bisa menjamin ke syurga kerna pabila menjadi seorang pemimpin, sebelah kakinya diibaratkan telah di neraka kerana amat mudah baginya terjerobos ke lembah kecurangan kuasa!
Melayu semakin "melayu" dek pertelingkahan sesama kita, dan bangsa lain tika ini sedang berpesta dan berdansa bagaikan kerasukkan melihat kehancuran kita. Kita pula masih lagi berbangga dan angkuh menyatakan bahawa pertiwi ini milik kita dan kita tuan di negara ini sedangkan telah banyak yang kita sendiri lepaskan melalui tangan-tangan kita kepada mereka dek kelemahan dan kerakusan kita untuk mengejar kuasa yang belum tentu esok masih ada. Demi kuasa ada segelintir dari kita yang tegar menjadi petualang bangsa dengan bersekongkol dengan chauvinis yang terang terang menentang kedaulatan Islam dan Melayu di tanah bertuah ini. Mungkin “iktikad” the enemy of my enemy is my friend digunakan buat sementara waktu bagi merealisasikan hasrat yang sekian lama terpendam di hati mereka tanpa mereka sedari bahawa sebenarnya mereka tidak ubah seperti rusa yang tergoda oleh denak yang dipasang oleh sang pemburu!

Wahai Melayu,ini bukan masa untuk kita bertelingkah dan bergendang tentang siapa yang benar dan siapa yang salah tetapi harus kita mencari titik persefahaman demi kesejahteraan ummah dalam menuju Malaysia yang rahmah. Sambil fikir zikir, sambil zikir fikir maka ke mana sahaja wajah yang kita hadap di situ nampak Tuhan!

-MHB-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan