Oleh Hisyam Hj Basabah
Jika perkara yang tidak benar digendangkan setiap hari pasti lambat laun ia akan menjadi benar pada mereka yang tidak mahu mengkaji dan membuka mata hati. Kebenaran sifatnya menunggu, ia tidak akan datang pada saat dan jangka waktu yang pantas tetapi ia terletak di pengakhiran. Mengapa sifatnya sedemikian rupa? Ia tidak lain dan tidak bukan hanya sebagai ujian kepada umat manusia. Syurga dan neraka itu benar, janji Allah itu pasti tetapi Allah tidak mendatangkan gambaran syurga dan neraka itu di atas dunia kerana hanya yang beriman dan beramal soleh sahaja akan menikmati nikmat kebenaran kerana berjaya melepasi kedurjanaan fitnah.
Kebenaran adalah untuk sang minoriti. Kerana hanya minoriti sahaja yang berjaya ke syurga Allah daripada berbilion-bilion umat manusia sedari zaman Adam A.S sehinggalah umat Muhammad SAW yang terakhir. Kerana itu Allah telah menyatakan di dalam Al Quran dalam Surah Al Hujurat ayat ke enam bahawasanya " Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah kamu selidik dahulu akan kebenarannya. Supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini hanya kerana sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan".
Dewasa ini, khususnya di negara kita yang tercinta, fitnah semakin bermaharajalela. Ia seakan menjadi santapan ruji masyarakat kita pada hari ini. Kononnya masyarakat madani yang intelek dan maju dalam bidang maklumat sehingga menjadi suatu trend untuk masyarakat kita "memforwardkan" segala apa yang menepati selera dan serakah khasnya dalam menjadikan kepimpinan negara pada hari ini sebagai sasaran. Sedangkan apa yang dihidangkan melalui aplikasi sosial itu tidak benar sama sekali tetapi itulah barah yang sedang melanda masyarakat Malaysia kala ini.
Majoriti rakyat pada hari ini begitu gemar dengan perkara perkara yang memperlihatkan ketempangan sang penguasa. Pelbagai spekulasi, persepsi dan fitnah digendangkan oleh mereka yang berkepentingan dan ia ditarikan oleh masyarakat yang cetek ilmu makrifatnya sekalipun terpelajar. Natijahnya, terhasillah masyarakat yang poros dan menjadikan revolusi sebagai wadah bagi mencapai matlamatnya. Persoalannya apakah yang bakal terjadi kepada kestabilan sebuah negara? Jawapannya ada pada ilmu kerana hanya ilmu yang bisa menerangi kejahilan dan kebobrokan akal.
Allah berfirman di dalam Surah An Nisa, ayat ke 59, " Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan juga taatlah kamu kepada ulul amri yakni pemimpin yang dipilih di kalangan kamu, Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". Makanya setelah Allah dan Rasul, harus untuk kita menturuti dan menghormati pemimpin selagi mana ia tidak berlaku kejam dengan menghalang keimanan rakyatnya kepada Allah. Tetapi apa yang terjadi kepada masyarakat kita pada hari ini? Dalil Al Quran telah membuktikan hujah ini, bagaimana sebagai insan yang menyatakan keimanan kepada Allah kita tegar untuk berpaling terhadap kebenarannya?
Justeru, sebagai sebuah masyarakat madani yang berpegang kepada syariat Islam, seharusnya kita mengamalkan konsep tabbayyun bagi menangkis fitnah dan menindas mereka yang tidak melakukan perbuatan yang salah. Percayalah, kehidupan kita sebagai sebuah masyarakat yang wasatiyyah akan dapat dicapai dan jangan sesekali berlaku "bias" dalam meneliti dan menerima sesuatu perkara yang baik. In shaa Allah, aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah pasti tercapai melalui penyatuan masyarakat yang mengamalkan konsep tabbayyun.
-MHB-